Pengasuhan Positif

Melahirkan Bayi: Jangkaan & Persediaan Menghadapinya

Proses kelahiran merupakan satu proses semula jadi dan selalunya berakhir dalam keadaan baik. Jika ini pengalaman pertama anda melahirkan bayi, anda pasti berasa gementar. Cara terbaik untuk mengurangkan sebarang kebimbangan adalah dengan mengambil beberapa langkah untuk menyediakan diri anda dari segi mental dan fizikal bagi sebarang kemungkinan.

Persediaan Mental

Apabila anda bersedia dari segi mental untuk menghadapi proses kelahiran, ia dapat membantu mengurangkan kebimbangan dan anda akan lebih berupaya menghadapi sebarang kemungkinan.

  • Kenang kembali saat-saat di akhir kehamilan anda dan nantikan apa yang akan datang.
  • Beritahu pasangan anda tentang apa yang anda harapkan daripada mereka sepanjang proses kelahiran.
  • Berbicara dengan rakan-rakan anda tentang pengalaman mereka melahirkan anak dan dapatkan nasihat yang konstruktif.
  • Kongsi keterujaan dan jangkaan anda dengan pasangan-pasangan lain yang anda temui di kelas antenatal, atau kawan-kawan lain yang mempunyai anak.

Jika anda sukar untuk relaks, terdapat banyak teknik untuk relaks yang berkesan yang anda boleh cuba, seperti:

  • Yoga
  • Senaman ringan (contohnya, berjalan, berenang)
  • Urutan aromaterapi
  • Teknik kelahiran hypnobirthing

Apakah Hypnobirthing?

Hypnobirthing merupakan program antenatal yang unik dan terbukti berkesan. Ia mengajar teknik untuk relaks dan hipnosis diri yang khusus tetapi mudah agar kelahiran menjadi lebih mudah. Ia melibatkan pernafasan mendalam, pembayangan positif, dan langkah-langkah untuk kelahiran yang selesa. Ibu-ibu boleh melatih otak mereka untuk membangkitkan tindak balas ketenangan yang mendalam.

Persediaan Fizikal

Tidur awal dan tidur yang mencukupi merupakan salah satu cara terbaik untuk menyediakan diri anda dari segi fizikal bagi kelahiran bayi. Bentuk senaman yang ideal sebelum melahirkan bayi juga membantu mengurangkan stres, ini termasuk:

  • Regangan dan senaman ringan
  • Berenang atau senaman aerobik dalam air
  • Pilates

Kawasan di antara vagina dan dubur, dikenali sebagai perineum akan tegang ketika proses kelahiran. Anda boleh menjadikan kawasan ini lebih lembab dengan mengurutnya menggunakan sedikit minyak zaitun sekitar 4-6 minggu sebelum tarikh kelahiran. Ini membantu meningkatkan keregangan dengan menggalakkan pengaliran darah ke kawasan tersebut.

Karbohidrat bijirin penuh yang berkhasiat melepaskan tenaga secara perlahan-lahan, dan membantu memberi anda tenaga sepanjang kelahiran. Oleh itu, cuba untuk menjadikannya sebagai diet anda dalam tempoh beberapa minggu terakhir sebelum kelahiran.

Tiga Peringkat Kelahiran

Apabila kelahiran bermula, ia akan mengikuti corak tiga peringkat yang boleh dijangkakan: pada peringkat pertama, serviks anda mengembang, pada peringkat kedua, anda meneran bayi anda keluar, dan uri dikeluarkan pada peringkat ketiga.

Peringkat pertama

Peringkat pertama proses kelahiran adalah peringkat paling lama di antara ketiga-tiga peringkat dan sebenarnya ianya terdiri daripada dua fasa: fasa pendam dan fasa aktif. Tanda-tanda fasa pendam termasuk sakit belakang atau abdomen, mual dan keluar ‘tanda’

Dengan bermulanya fasa aktif, pengecutan semakin kerap berlaku dan apabila serviks membuka sehingga 10 cm – ia terbuka sepenuhnya dan cukup luas untuk mengeluarkan kepala bayi anda. Pengecutan akan terasa pada bahagian yang lebih tinggi di abdomen dan bergerak ke bawah ke arah pelvis dan bahagian bawah di belakang apabila bayi anda menekan ke bawah.

Berikut cara yang boleh melegakan kesakitan ketika kelahiran.

  • Entonox: gabungan gas oksigen dan nitrus oksida.
  • Suntikan Petidina
  • Epidural
  • Teknik rileks (seperti yang telah dibincangkan)

Maksud keluar ‘tanda’

Keluar ‘tanda’ adalah apabila mukus yang menutup serviks anda terlerai. Ia kelihatan seperti mukus yang melekit seakan-akan jeli berwarna merah jambu.

Peringkat kedua

Pada peringkat kedua proses kelahiran, anda meneran bayi keluar melalui serviks yang terbuka sepenuhnya. Peringkat kedua proses kelahiran boleh mengambil masa sekitar 30 minit hingga dua jam.

Posisi tegak: Menggunakan tekanan graviti untuk membantu bayi anda bergerak ke bawah menuju pelvis. Wanita yang melahirkan bayi dalam posisi tegak atau melutut akan kurang mengalami kesakitan, proses kelahiran dan masa meneran juga lebih singkat serta kurang koyakan perineum.

Posisi lateral/sisi: Satu lagi posisi ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sambil bidan atau pasangan anda memegang kaki kanan anda ke atas setiap kali anda meneran.

posisi-lateral

Peringkat ketiga

Peringkat ketiga bermula apabila bayi anda dilahirkan dan berakhir apabila uri serta membran dikeluarkan. Setelah bayi anda dilahirkan, tali pusat mungkin dibiarkan berdenyut selama dua hingga tiga minit sebelum dipotong. Ini bagi membolehkan bayi anda mendapat lebih banyak darah uri dan meningkatkan bekalan oksigen serta isi padu darah bayi. Sekiranya anda telah melalui episiotomi (perineum anda koyak), kawasan yang terjejas akan dibersihkan dan dijahit.

Sebaik sahaja doktor mengesahkan bahawa anda dan bayi sihat, anda harus diberi sedikit masa yang tenang untuk bersendirian bersama bayi anda dan mengenali satu sama lain. Akhirnya, bayi anda berada dalam dakapan anda! Jika semuanya berjalan lancar, anda dan bayi akan dibenarkan pulang bersama keesokan harinya.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen