Ramai wanita kini memilih untuk menangguhkan untuk memulakan keluarga. Wanita (dan lelaki) mungkin ingin membina kerjaya, menjalinkan hubungan dengan pasangan yang sesuai, menjadi lebih stabil dari segi kewangan dan emosi, atau salah satu daripada kombinasi faktor tersebut.
Menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke Lima (KPKM), 35.7% daripada wanita masih belum berkahwin kerana belum mendapat pasangan yang sesuai. Manakala 56% lelaki menyatakan masalah kewangan sebagai sebab utama mereka melengahkan perkahwinan.
Namun, ramai orang muda tidak sedar akan kesan umur terhadap kesuburan. Apabila wanita semakin matang, kebarangkalian kehamilan semakin menurun manakala keberangkalian ketidaksuburan meningkat. Kesuburan lelaki juga menurun mengikut umur dan sperma yang dihasilkan berkemungkinan mempunyai kromosom tidak normal.
Tahukah Anda?
Ketaksuburan disifatkan sebagai kegagalan pasangan untuk hamil selepas setahun menjalani hubungan kelamin secara tetap tanpa perlindungan. Hampir satu per tiga daripada masalah ketaksuburuan berpunca daripada ketaksuburan perempun, dan satu per tiga lagi disebabkan oleh ketaksuburan lelaki. Satu per tiga lagi disebabkan oleh kedua-duanya atau punca yang tidak diketahui.
Apabila wanita semakin menua, ovulasi tidak lagi kerap dan jumlah telur yang berkualiti berkurangan dengan ketara, maka mereka semakin sukar untuk hamil. Kajian juga menunjukkan bahawa terdapatnya peningkatan kadar ketaknormalan kromosom dalam kalangan wanita yang lanjut usia.
Keguguran dan komplikasi lain berkaitan kehamilan, termasuk diabetes gestasi dan darah tinggi, lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita berumur 35 tahun ke atas. Kemerosotan kesuburan yang berkait dengan umur dan peningkatan risiko keguguran bermakna menangguh mendapatkan anak akan memberi lebih tekanan fizikal terhadap tubuh wanita dan menjejaskan kesihatan bayinya. Terdapat juga wanita yang tidak inginkan anak langsung kerana dia (atau pasangannya, atau kedua-duanya) mungkin mempunyai masalah genetik (contohnya Talasemia, Sindrom Down) dan bimbang akan masa depan anak yang belum dilahirkan.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda berfikir untuk memulakan sebuah keluarga tetapi mempunyai kebimbangan seperti yang disebutkan di atas, anda harus pertimbangkan perkara-perkara berikut:
- dapatkan pengetahuan tentang peningkatan risiko ketaknormalan kromosom dan jenis ujian yang ada untuk mengesannya. Seorang kaunselor genetik, pakar kesuburan atau pakar ginekologi boleh memberi maklumat terperinci dan membantu anda memilih ujian yang sesuai.
- sekiranya anda menghidapi masalah kesihatan (contohnya darah tinggi, diabetes, penyakit tiroid, obesiti), pastikan ianya stabil dan terkawal sebelum memikirkan tentang kehamilan. Bincang dengan doktor anda tentang kehamilan dan bagaimana ia boleh menjejaskan masalah kesihatan yang sedia ada.
- amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil diet yang berkhasiat dan seimbang serta banyak bersenam.
Kemajuan dalam rawatan kesuburan dan pencapaian dalam bidang teknologi reproduktif sejak kebelakangan ini juga memberi peluang kepada ramai pasangan mencapai impian mereka untuk mendapat anak dan memulakan sebuah keluarga. Sebagai contoh:
- Pensenyawaan in vitro atau In vitro Fertilization (IVF) – proses di mana telur disenyawakan dengan sperma di dalam makmal, dan kemudian embrio dialih ke dalam rahim.
- Permanian intrauterin atau Intrauterine Insemination (IUI) – dengan menggunakan peranti khas, sperma dimasukkan ke dalam rahim berdekatan dengan telur pada waktu ovulasi.
- Suntikan sperma intrasitoplasmik atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) – dilakukan sebagai sebahagian daripada pusingan rawatan pensenyawaan in vitro di mana satu sperma disuntik ke dalam sebiji telur mengguna alat manipulasi mikro yang sangat halus.
- Penyimpanan krio – pembekuan tisu manusia (contohnya air mani, telur dan embrio) dan menyimpannya di dalam tangki yang direka khas untuk diguna apabila pasangan membuat keputusan untuk mendapat anak.
- PGD & PGS – prosedur di mana embrio hasil rawatan IVF diuji untuk mengesan masalah genetik dan hanya embrio yang sihat dipilih untuk implantasi.
Namun begitu, adalah penting untuk ingat bahawa anda mempunyai peluang lebih tinggi untuk hamil serta melahirkan bayi yang sihat dan gembira ketika berumur dalam lingkungan 20an dan awal 30an. Sekiranya anda mempunyai masalah kesuburan, lebih awal anda berjumpa pakar sakit puan, lebih mudah doktor mengatasi masalah kesuburan anda. Oleh itu, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan seorang pakar.
Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.
Komen