Pengasuhan Positif

Putuskan Hubungan Digital, Berhubung Semula Secara Emosi

Sudah pasti, trend masa depan bersifat digital. Namun, kita perlu tahu di mana batasnya dan cegah diri kita daripada terlalu asyik dengannya. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menjurus kepada ketagihan digital. Ibu bapa kini begitu mudah menyerahkan telefon pintar atau tablet kepada anak mereka supaya mereka kekal terhibur, ia telah menjadi satu kebiasaan pula.

Walau bagaimanapun, di sinilah ibu bapa harus mengenakan disiplin diri untuk mengelakkan masalah. Sebagai ibu bapa, anda harus menunjukkan teladan yang baik.

Tiada Pengganti Kepada Ibu Bapa

Salah satu kegunaan lazim peranti elektronik ialah sebagai ‘pengasuh digital’. Sering kali, ibu bapa mencari jalan keluar mudah dengan memberi peranti kepada anak mereka untuk menonton rancangan atau bermain permainan demi mendapat sedikit keamanan.

Namun, cara ini sangat berisiko terutamanya jika ia menjadi kebiasaan atau rutin anak anda (bahagian seterusnya artikel utama ini akan menekankan bahaya penggunaan peranti elektronik dalam perkembangan anak anda). Apa yang bermula sebagai cara untuk menghabiskan masa lapang lama kelamaan bertukar menjadi tabiat berbahaya. Malah, kanak-kanak seawal empat tahun dilaporkan ketagih kepadanya. Pakar-pakar memberi amaran bahawa membenarkan kanak-kanak petatih bermain dengan tablet atau telefon pintar secara berlebihan boleh menyebabkan ketagihan kepada teknologi digital dan menyebabkan kesan jangka panjang yang serius.

Masa Bersama Keluarga Adalah Penting

Sememangnya, masa berkualiti bersama keluarga kini adalah sama penting seperti pada masa dahulu. Malangnya, terlalu banyak keluarga di Malaysia yang memasuki perangkap digital – keluarga yang dahulunya berhubung secara erat (terutama semasa waktu makan), kini mata masing-masing memandang peranti sendiri dan tidak bercakap dengan satu sama lain.

Sebagai ibu bapa, anda perlu membina hubungan dengan anak anda. Perhubungan yang kukuh adalah kritikal dan meluangkan masa berkualiti bersama akan memastikan anak anda rasa penting dan disayangi. Ini akan membolehkan anda membina kasih sayang yang erat sebagai satu keluarga.

Walaupun terdapat pelbagai cara untuk mencapainya, kunci kejayaan ialah perhatian yang tidak berbelah bagi. Setiap ibu bapa perlu komited – ini bermaksud tidak melakukan berbilang tugas semasa waktu keluarga, iaitu tidak menonton (contohnya, permainan, menghantar pesanan ringkas, menonton filem, dll). Anda boleh mengadakan beberapa ‘tradisi’ mudah dalam keluarga, seperti:

  • Waktu makan bersama keluarga – lakukan seberapa kerap yang boleh. Ia melibatkan perkara kecil seperti duduk makan bersama atau mengadakan satu perjumpaan besar dengan keluarga atau kawan-kawan. Libatkan anak anda dalam semua aspek termasuk memilih menu, makanan dan persediaan meja. Semua aktiviti ini memberi anda banyak peluang untuk berhubung rapat dengan anak anda, gunakan peluang tersebut sebaik mungkin.
  • Kerja sekolah – gunakannya sebagai satu cara untuk mengeratkan hubungan dengan anak anda. Untuk mencapainya, anda harus bersikap positif seberapa yang boleh dan jauhi konflik.
  • Sukan/Senaman – mengajak seluruh keluarga untuk bermain badminton, tenis, futsal, atau hanya bermain kejar-kejar di taman merupakan cara baik untuk meluangkan masa dan bersenam bersama. Ini juga termasuk aktiviti luar seperti mengembara, berjalan kaki, berbasikal, berkelah atau berkhemah bersama.
  • Aktiviti luar bersama keluarga – sebarang aktiviti yang melibatkan seluruh keluarga memberi peluang untuk berhubung. Aktiviti-aktiviti ini termasuk membeli belah, menonton wayang, persembahan konsert, atau aktiviti keagamaan.

Ingat, masa bersama keluarga harus menyeronokkan bagi semua orang. Dengan cara ini, anak anda akan rasa gembira dan paling penting, disayangi. Pada mulanya, sesi ‘detok digital’ ini mungkin kelihatan sukar tetapi teruskan dan jangan berputus asa. Dengan meluangkan sedikit masa untuk keluarga perhubungan sesama ahli akan menjadi semakin erat. Hanya satu sahaja peraturan utama – peranti elektronik tidak dibenarkan!

disconnect-digitally-2

Bukan semuanya negatif

Peranti elektronik mempunyai kegunaan, dan boleh memberi faedah kepada anak anda sekiranya digunakan dengan berhati-hati. Dengan pengawasan yang betul, anak-anak kecil boleh mendapat manfaat daripada:

  • Rangsangan deria dan imaginasi mereka.
  • Membantu menggalakkan kebolehan mereka mendengar dan mempelajari bunyi/pertuturan.
  • Membantu menggalakkan pembelajaran kognitif dan mengembangkan minda yang lebih analitis. Contohnya permainan atau aplikasi yang fokus kepada membangunkan pemikiran inovatif dan kemahiran menyiasat, pemikirian strategik dan kreativiti.

Jangan Biarkan Digital Mengawal Kehidupan Anda

Dalam usaha anda untuk menjadikan masa bersama keluarga penting semula, anda perlu meletakkan batasan. Setiap ahli keluarga harus terlibat. Sudah tentu tiada satu kaedah yang sesuai untuk semua. Anda perlu menggunakan budi bicara anda apabila menentukan batasan. Beberapa cara yang boleh membantu termasuk:

  • Jadualkan masa menonton anak anda dan pastikan anda mengikuti had yang anda letakkan contohnya, tiada masa menonton sebelum tidur atau semasa waktu makan.
  • Bincangkan dengan anak anda mengenai penggunaan peranti, iaitu bagaimana, bila, dan di mana ia harus digunakan dan paling penting bila mereka harus berhenti. Anda juga mungkin boleh pertimbangkan untuk mengekalkan kawalan penggunaan peranti sama ada dengan memasang sejenis aplikasi/program pengasuhan atau menggunakan kata laluan untuk memastikan anak anda tidak mudah mengaksesnya.
  • Galakkan perbualan “bebas teknologi” – yang bermaksud bahawa semua telefon atau alat elektronik hendaklah disimpan apabila perbualan sedang berlangsung. Sebarang perbualan atau perbincangan harus mendapat perhatian penuh setiap orang. Didik anak anda untuk mengadakan hubungan mata ketika berbual sebagai satu cara untuk menggalakkan mereka untuk menumpukan perhatian kepada perbualan “secara langsung”.
  • Menempatkan komputer di tempat yang terbuka akan membantu menghalang anak anda daripada menyalahgunakan kemudahan komputer, memandangkan anda juga mudah untuk mengawasinya. Menghadkan akses anak anda kepada internet juga cara yang baik untuk memastikan dia hanya boleh melayari internet semasa anda ada. Ini boleh dilakukan sama ada dengan memasang program komputer yang hanya membenarkan akses pada masa-masa yang ditentukan sahaja. Anda juga harus mengawasi aktiviti dalam taliannya.

Lakukan Usaha Bersungguh-Sungguh

Dahulukan keluarga anda daripada peranti atau gajet! Pastikan terdapat masa bersama keluarga yang bebas daripada menonton di mana semua orang menyimpan peranti mereka. Adakan perbualan yang bermakna atau berinteraksi antara satu sama lain. Jangan terlalu asyik menekan-nekan skrin kecil itu. Sudah tentu kehidupan nyata mengatasi kehidupan digital atau kehidupan maya. Dengan menjadi contoh kepada anak anda mereka akan lebih mudah berbuat demikian. Memandangkan peraturan yang sama dikenakan kepada semua orang, tiada alasan bagi anak anda untuk meminta dikecualikan daripada peraturan yang mudah ini!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen