Perkembangan kognitif merupakan sebahagian penting daripada pertumbuhan kanak-kanak. ‘Kognitif’ merujuk kepada sesuatu yang melibatkan pemprosesan mental seperti persepsi, pembelajaran, daya ingatan, pertimbangan logik, membuat keputusan, penyelesaian masalah, perkembangan bahasa dan kreativiti.
Kemahiran akademik hanyalah sebahagian kecil daripada perkembangan minda kerana pendidikan formal di sekolah lazimnya terikat pada kurikulum yang ditetapkan dan tidak menerokai bahagian perkembangan kognitif yang lain.
Sebarang perkembangan mental khusus untuk kanak-kanak harus bersifat lebih menyeluruh dan melangkau persekolahan formal. Di sinilah aktiviti luar kurikulum boleh memainkan peranan dengan meningkatkan kebolehan akademik dan komponen perkembangan mental atau minda yang lain.
Apakah Permainan Minda?
Pada dasarnya, sebarang aktiviti yang memudahkan atau mencetuskan daya pemikiran dan melibatkan penyelesaian masalah, pertimbangan logik, daya ingatan dan kreativiti boleh dipanggil sebagai permainan minda. Ia juga termasuk permainan pertimbangan sosial dan emosi kerana perkembangan sosio-emosi sangat berkait rapat dengan perkembangan kognitif.
Anggaplah permainan minda sebagai asas kepada pembelajaran anak anda. Apabila anak anda mempelajari pengetahuan baru melalui pembelajaran secara formal atau tidak, dia perlu berusaha lebih kuat untuk mendapat lebih banyak pengetahuan dan kefahaman. Asas kebolehan kognitif tersebut mampu membantu anak anda menimba ilmu pengetahuan akademik (seperti membaca, menulis, mengira, menghafal, mengurus, merancang lebih awal, menyusun, dan mengikuti peraturan).
Penggunaan permainan minda untuk memupuk perkembangan mental kanak-kanak harus bersesuaian dengan umur dan berbentuk progresif. Dengan cara ini, kemahiran yang dipelajari boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran dan kehidupan sebenar.
Apakah Jenis Permainan Minda Yang Terbaik?
Contoh-contoh lazim permainan minda adalah permainan memori (daya ingatan) dan teka-teki. Permainan memori lazimnya adalah yang paling mudah kerana ia memerlukan kanak-kanak untuk menghafal sesuatu gambar, nombor atau simbol. Terdapat sesetengah permainan memori yang juga memerlukan strategi di mana kanak-kanak perlu mengingati turutan untuk memenangi permainan. Oleh itu, walaupun permainan minda kelihatan mudah, namun ia boleh melibatkan pelbagai komponen kognitif.
Dari teka-teki bertulis (contohnya, Sudoku) dan teka-teki tangan (contohnya, Kiub Rubik) ke teka-teki aplikasi digital (contohnya, permainan tablet atau telefon pintar), terdapat pelbagai jenis teka-teki yang boleh dimain. Permainan klasik seperti permainan daun terup ataupun papan permainan yang menggunakan dadu dan wang tiruan membantu kanak-kanak menghitung dan menghafal. Permainan-permainan tersebut juga memerlukan pemain mengatur strategi untuk menang. Apabila kanak-kanak belajar mengatur strategi, mereka juga belajar untuk menjadi kreatif dalam penyelesaian masalah.
Selain menyelesaikan masalah dalam pertimbangan logik, fizikal atau angka, permainan minda lain juga menggunakan pertimbangan verbal seperti permainan perkataan, anagram, teka-teki, dan permainan seperti Sahibba. Ia membantu memperbaiki perbendaharaan kata, pemahaman serta penggunaan bahasa dan pada masa yang sama meningkatkan kebolehan kognitif dalam memproses perkataan atau aktiviti berkaitan dengan bahasa. Permainan-permainan tersebut mempunyai aplikasi dalam kehidupan sebenar bagi kanak-kanak terutama di sekolah kerana ia membantu mempercepatkan proses pembelajaran mereka.
Di samping itu, teka-teki pula biasanya melibatkan aktiviti menyelesaikan masalah secara langsung, terdapat juga teka-teki yang menggunakan kaedah tidak langsung di mana ia memerlukan lebih input sosial dan emosi dalam membuat keputusan atau pertimbangan. Contoh yang mudah ialah permainan ‘padankan pekerjaan’ yang dimainkan dengan cara meneka pekerjaan antara satu sama lain. Permainan yang mempunyai cerita sosial boleh digunakan untuk mengenali dan mengendalikan emosi serta menyelesaikan masalah sosial.
Permainan pertimbangan sosial tersebut lebih baik dimainkan bersama seorang rakan, agar interaksi sebenar boleh berlaku dan membantu memberi maklum balas sosial apabila bermain dan kawalan diri. Permainan seperti ini juga membantu membentuk persahabatan yang mengukuhkan harga diri, kecekapan diri serta keyakinan kanak-kanak. Permainan bukan sosial yang dimainkan secara berkumpulan (multiplayer) juga membantu meningkatkan kemahiran sosial kanak-kanak.
Adalah penting bahawa permainan minda dibentuk agar dapat diaplikasikan dalam aktiviti harian seperti situasi sosial, kegiatan ekonomi, dan isu-isu persekitaran agar kanak-kanak boleh mempelajari nilai kebolehan kognitif mereka berhubung dengan peranan mereka sebagai individu dalam masyarakat. Ini akan membantu memupuk semangat kekitaan, kecekapan diri dan kesejahteraan psikososial secara amnya. Sebagai ibu bapa, tanggung jawab anda adalah untuk menerangkan kepada anak anda bagaimana kemahiran yang diperoleh daripada bermain permainan boleh digunakan dalam kehidupan sebenar.
Kini, amat mudah untuk mendapatkan permainan minda atas talian tetapi anda juga perlu pastikan bahawa anak anda terdedah kepada permainan manual yang juga membantu melatih pergerakan motor halus dan kasar mereka. Dapatkan nasihat daripada pakar psikologi atau pendidik yang berkhususan sekiranya anda tidak pasti bagaimana untuk menggunakan permainan minda bagi anak anda.
Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.
Komen