Pengasuhan Positif

Langkah Kecil Ke Arah Penyuapan Sendiri

Semasa enam bulan pertamanya, susu ibu merupakan satu-satunya makanan yang si manja anda perlukan. Pemberian makanan pelengkap, iaitu memberi makanan lain sebagai tambahan kepada susu ibu, merupakan peralihan yang biasanya bermula apabila si manja anda mencapai usia enam bulan. Ini sebenarnya merupakan masa belajar yang begitu menyeronokkan bagi si manja anda kerana sifat ingin tahu dan keinginannya untuk merasa, menyentuh dan memeriksa segalagalanya. Tambahan lagi, bayi akan lebih terangsang apabila dapat menggunakan sudu dan garpu untuk menyuap diri sendiri!

Bilakah masanya untuk mula memberi makanan pejal?

Secara amnya, usia disyorkan untuk memulakan makanan pejal adalah pada usia 6 bulan. Namun demikian, usia hanyalah salah satu daripada faktornya; kemahiran motor dan peringkat perkembangan seseorang kanak-kanak juga menentukan kesediaan mereka untuk menerima makanan pejal. Bayi perlu boleh menegakkan kepalanya dan tidak lagi menolak makanan dengan lidah sehingga mengakibatkan makanan keluar daripada mulut mereka.

Petanda lain yang menunjukkan si manja anda telah bersedia untuk makanan pejal termasuk:

  • Boleh duduk secara stabil.
  • Memasukkan objek di dalam mulutnya.
  • Telah mula mengunyah.
  • Memegang payu dara atau botol semasa menyusu.

Makan sendiri…

Apabila si manja anda berusia lebih kurang 9 bulan, dia biasanya telah mempunyai koordinasi yang diperlukan untuk mengambil makanan menggunakan jari telunjuk dan ibu jarinya – pegangan sepit (pincer grasp). Pada peringkat ini, bayi sepatutnya telah biasa dengan makanan seperti bijirin nasi dan daging atau sayuran puri. Anda boleh terus menggalakkannya dengan memberi finger food seperti potongan kecil betik atau pisang yang boleh dipegang dengan jarinya dan dimakan sendiri. Anda juga boleh memberikannya sudu bayi supaya dia dapat belajar memegang atau bermain dengan sudu walaupun belum pandai menyuap dirinya.

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh membantu anda memperkenal dan menggalakkan si manja anda menggunakan sudu dan garpu:

  • Perhatikan petandanya. Jika si manja anda boleh memegang makanan menggunakan jari telunjuk dan ibu jarinya, maka dia mungkin sudah bersedia untuk menggunakan sudu. Ramai kanak-kanak mula menunjukkan minat untuk menyuap sendiri sekitar usia 9 dan 14 bulan.
  • Melekitnya! Berikan makanan yang separa melekit seperti keledek lecek yang tidak mudah jatuh daripada sudu. Ini meningkatkan kejayaan si manja anda untuk menyuap sendiri. Makanan yang mudah jatuh daripada sudu mungkin menyebabkan bayi putus asa.
  • Puji usaha si manja anda. Bina keyakinan si manja anda dengan memuji percubaannya menggunakan sudu. Gunakan komen yang boleh menggalakkan kemajuan si manja anda seperti, “Wah! Pandainya anak mama menggunakan sudu.”
  • Jangan paksa. Jangan paksa si manja anda jika dia masih belum bersedia. Ketepikan sudu dan cuba semula dalam beberapa minggu lagi.
  • Jadilah teladan yang baik. Bayi sering memerhatikan bagaimana anda menggunakan perkakas makan anda. Oleh itu, gunakannya secara betul.
  • Jangan marah jika tempat menjadi kotor. Adalah menjadi kebiasaan jika tempat makan menjadi amat kotor apabila anak anda belajar menyuap diri. Letakkan lapik lantai di bawah kerusi tinggi bayi untuk mengurangkan kerja kebersihan. Gunakan alas dada bayi agar bajunya tidak kotor.

Gunakan perkakas makan yang betul!

  • Dapatkan sudu khusus untuk kanakkanak bertatih yang mempunyai pemegang pendek serta senang dipegang, pinggan berpinggir getah yang tidak mudah bergerak dan alas dada bayi yang sesuai.
  • Perkenalkan cawan sedut yang diisi air atau susu apabila si manja anda menghampiri usia setahun. Apabila bayi memegang cawan dengan kedua-dua belah tangannya, ia akan menggalakkan perkembangan kemahiran motor dan juga penyuapan sendiri.
  • Perkakas yang mudah digunakan akan menggalakkan kejayaan penyuapan sendiri.
  • Perkakas makan yang digunakan perlulah bebas plumbum, bebas PVC dan bebas BPA.

Membenarkan si manja anda menyuap sendiri memerlukan kesabaran dan masa. Menggunakan perkakas makan seperti pinggan, sudu dan cawan merupakan suatu proses pembelajaran dan koordinasi’ dan kemahiran motor bayi anda akan bertambah baik dengan peningkatan usianya. Pastikan si manja anda tidak bersendirian semasa makan kerana takut tercekik. Jangan paksa dia makan dan cuba perkenalkan makanan dan tekstur baru dalam kuantiti yang kecil. Bersabar, berkreatif dan nikmatilah setiap saat si manja anda melalui proses ini!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen