Gabungan setiap bahagian melengkapkan peranan
Pemakanan memainkan peranan penting untuk perkembangan kanak-kanak. Namun, ia perlu dilengkapi dengan rangsangan mental untuk melancarkan perkembangan keupayaan kognitif. Kebanyakan tumpuan bagi perkembangan otak adalah pada rangsangan mental, tetapi ia tidak bermakna anda tidak perlu mementingkan rangsangan fizikal atau tubuh.
Walau bagaimanapun, anda perlu menyedari bahawa untuk anak anda membesar menjadi orang dewasa yang berjaya, bukan sahaja daya ingatan, pengetahuan dan perhatian sahaja yang mustahak. Anak anda perlu mengembangkan setiap bahagian keupayaan kognitifnya untuk menghadapi alam persekolahan dan seterusnya.
Keupayaan kognitif bukan sahaja merangkumi daya ingatan dan kecerdasan, tetapi juga pelbagai komponen yang berkait rapat seperti kemahiran memberi perhatian, tumpuan dan memfokus, persepsi, memproses maklumat, kreativiti, pemikiran lateral, kebolehan membuat keputusan, penyelesaian masalah, dan pelbagai kemahiran lain seperti memproses bahasa, kefahaman sosial dan koordinasi pancaindera.
Senaman membantu mengembangkan keupayaan kognitif
Dengan begitu banyak keupayaan kognitif, pelbagai senaman diperlukan untuk menguatkan pemprosesan otak dengan tujuan menghasilkan individu-individu yang mempunyai kemahiran tingkah laku yang mencukupi untuk terus hidup. Contohnya kemahiran berkomunikasi, kemahiran aktiviti kehidupan harian, bergaul, serta kemahiran pergerakan motor halus dan kasar.
Manfaat senaman otak bukan sahaja membentuk daya ingatan yang baik. Malah, senaman otak yang menyeluruh dapat menghasilkan kesan penyesuaian seperti peningkatan kemahiran perseptif, kecekapan kemahiran memproses maklumat, kemahiran menyesuaikan diri dengan pembelajaran disebabkan kelebihan kreativiti dan kecekapan menyelesaikan masalah, serta kemahiran sosial yang berkesan apabila diberi kefahaman emosi yang mencukupi dan pengawalan menggunakan komunikasi berfungsi yang berkesan.
Menggabungkan senaman ke dalam kehidupan keluarga anda
Menggabungkan senaman ke dalam kehidupan keluarga anda pada asasnya melibatkan seluruh keluarga untuk melakukan senaman, terutamanya ibu bapa sebagai contoh kepada anak-anak mereka.
Senaman penting dilakukan dengan cara yang bersahaja dan menyeronokkan agar ia menarik minat dan semangat yang akan meningkatkan motivasi, sifat ingin tahu dan minat yang berterusan. Adakan cabaran ringkas sepanjang hari dan juga sesi-sesi pembelajaran tidak langsung mengikut rutin keluarga yang sedia ada. Sesi-sesi tersebut merupakan peluang spontan untuk mengajar – dengan contoh kehidupan harian yang disokong dengan perkara yang boleh dipelajari di sekolah atau melalui buku atau TV. Ia juga meningkatkan peluang anak anda untuk menunjukkan kebolehannya melakukan tugasan dengan jayanya. Kejayaan melahirkan peluang untuk dipuji, sekali gus mengukuhkan kaitan antara tugas kognitif dengan hasil yang menyeronokkan dan meningkatkan lagi motivasi untuk mencuba lebih banyak senaman.
Otak yang menakjubkan
Otak mudah dibentuk dan ia bukan sahaja digunakan untuk daya ingatan pengetahuan. Otak paling baik diguna untuk meningkatkan kebolehan menyelesaikan masalah, kreativiti dan membuat keputusan berhubung dengan penyesuaian diri sepanjang tempoh perkembangan kanak-kanak dan seterusnya ke alam dewasa.
Adalah lebih penting untuk mengembangkan otak/keupayaan kognitif dengan cara yang holistik yang memberi tumpuan melebihi sekadar kecemerlangan persekolahan dan akademik.
Keupayaan kognitif yang harus dibangunkan adalah yang berhubung dengan penggunaan tingkah laku penyesuaian dalam bahasa dan komunikasi, penjagaan diri, hubungan keluarga yang rapat, kesedaran komuniti, pergaulan, bermain, mengawal dan mengendali emosi, serta pergerakan motor halus dan kasar.
Bagi perkembangan otak, jangan hanya melihat pada faktor pemakanan atau pembelajaran sahaja. Aktiviti dan pergerakan fizikal membantu membina laluan-laluan saraf neurologi yang memudahkan perkembangan kognitif, contohnya; pelbagai jenis aktiviti fizikal yang merangsang pelbagai bahagian otak akan meningkatkan perkembangan kognitif. Oleh itu, jangan menyuruh anak-anak anda membaca buku, menyiapkan kerja sekolah, melakukan latihan rumit dalam komputer tablet dan aktiviti-aktiviti akademik yang lain sahaja – pastikan mereka bergaul, berbicara, bermain, mencuba aktiviti-aktiviti baharu di dalam dan luar rumah, dan mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal seperti sukan, permainan fizikal, menjelajahi tempat-tempat baharu – di bandar, kawasan perumahan, luar bandar dan taman-taman atau kawasan hijau.
Komen