Idola merupakan individu yang menjadi contoh dengan memberi pengaruh kepada orang lain. Biasanya di peringkat awal kehidupan, ibu bapa dan ahli keluarga terdekat serta pengasuh merupakan idola pertama dan terpenting. Apabila anak anda meningkat remaja, lingkungan sosial mereka menjadi lebih luas. Oleh sebab itu, mereka mula menjadikan guru, tutor, jurulatih, kawan, teman sekerja dan rakan sebaya sebagai idola. Apabila TV, radio, komputer dan internet mula memainkan peranan utama dalam kehidupan mereka, dengan pantas perhatian beralih untuk mengikuti jejak selebriti, ahli olahraga, watak cerita, hero siaran TV, dan juga ahli politik. Melihat kepada semua pengaruh luar ini, bagaimanakah anda sebagai ibu bapa boleh membantu anak remaja anda mengenal pasti idola yang sesuai?
Berbicara dan berbincang mengenai isu tersebut dengan anak anda boleh membantunya membuat pilihan dan pada masa yang sama memahami diri sendiri:
- Tanyakan nilai-nilai yang mereka hargai dalam idola mereka.
- Sebutkan beberapa orang yang anda fikir merupakan idola yang lebih sesuai untuk diikuti berdasarkan pencapaian atau sumbangan mereka.
- Kongsikan beberapa contoh idola yang anda gemari ketika anda membesar dan sebab-sebabnya.
Pengaruh negatif dapat bermula daripada pelbagai idola, dan mereka tidak semestinya daripada kalangan selebriti atau orang-orang ternama. Malah, biasanya remaja lebih mudah terpengaruh dengan idola yang mereka boleh berkomunikasi dan berhubung.
Teori Pembelajaran Sosial
Teori oleh Albert Bandura dari Universiti Stanford (1971) ini menerangkan bagaimana pembelajaran melalui peniruan atau pemerhatian pada manusia boleh dicapai dengan baik jika seseorang mempunyai
- motivasi untuk bertindak
- satu contoh tingkah laku yang ingin dicontohi
- melakukan tingkah laku tersebut
- diberi galakan
Sesetengah remaja mungkin melihat tingkah laku negatif atau salah laku idola mereka sebagai sesuatu yang
biasa, selamat dan boleh diterima. Apabila disertai dengan pengaruh rakan sebaya, ia boleh menjadi masalah
yang sukar untuk ditangani. Walau bagaimanapun, apabila ini berlaku, ibu bapa hendaklah campur tangan dan
jelaskan kepada anak mereka bahawa perkara seperti merokok, salah guna dadah dan alkohol, salah laku
seksual, mendiskriminasikan kaum atau jantina dan sebagainya adalah tidak baik.
Sebelum anak remaja anda memulakan tabiat buruk, lakukan tindakan awal:
- Ingatkan anak anda bahawa manusia 4 tidak dapat lari dari kesilapan, termasuk idola dan semua orang mempunyai sifat baik dan buruk, tetapi kita harus bijak membezakan di antara keduanya.
- Tanamkan tingkah laku positif dan nilai-nilai moral yang baik dalam kehidupan mereka dengan menunjukkan contoh yang baik. Misalnya, melakukan aktiviti-aktiviti sukarela bersama sebagai satu keluarga.
- Dorong anak anda untuk libatkan diri di dalam masyarakat atau program komuniti atau galakkan mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti keagamaan, sukan atau kebudayaan.
- Bantu mereka menjadi idola untuk diri sendiri melalui pembelajaran peniruan. Perkara-perkara yang mudah seperti bermesra dengan jiran, meletak kereta di tempat yang betul, menepati masa, bersopansantun di jalan raya serta tabiat-tabiat lain yang dapat membentuk masyarakat berhemah boleh menjadi tingkah laku positif untuk diikuti. Ia mengajar anak anda bahawa sikap baik, etika asas sosial dan tingkah laku teladan tidak perlu diberi ganjaran atau dengan jangkaan ia akan ditiru atau diperhatikan oleh orang lain. Ia seharusnya menjadi perkara asas yang baik.
Sememangnya mustahil dan tidak praktikal untuk sentiasa memerhatikan tingkah laku anak remaja anda atau memantau gerak gerinya setiap masa serta mengawal setiap pemikirannya. Sebaliknya, tindakan yang lebih bijak dan kurang menjengkelkan adalah mendidik dan jadikan diri anda sendiri sebagai idola untuk dicontohi. Akhir sekali, untuk membentuk keluarga yang sihat dan harmoni, kasih sayang, hormat-menghormati, persefahaman dan toleransi adalah kunci untuk membesarkan seorang anak, secara tidak langsung – membentuk mereka menjadi ciri-ciri idola yang baik.
Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia.
Komen