Pengasuhan Positif

Saya Boleh Nampak Dia ­- Mama Tak Nampak?

“Mama tak boleh duduk sini! Nanti Mama duduk atas Lina!” Aida menegur ibunya Puan Rosnah yang hendak meletakkan punggung di atas sofa di sebelahnya. Si ibu melihat tempat duduk yang kosong dan bertanya, “Siapa Lina?” dengan kening terangkat dan dahi berkerut.

Terpijak “halimunan”

Kanak-kanak kecil kadang-kalanya gemar bercakap sendirian sewaktu bermain trak dan kereta api atau bermain dengan anak patung mereka, yang setiap satu diberi nama seperti manusia. Ada kalanya si manja berbual atau bermain dengan seseorang yang tidak dilihat. Kawan imaginasi atau khayalan anak anda mungkin seorang kanak-kanak lain yang sebaya dengannya, seorang watak ajaib atau fantasi, atau mungkin juga seekor binatang.

Seseorang kawan khayalan boleh berubah mengikut peredaran masa, apabila si manja melalui fasa tertentu dalam hidupnya. Bagi sesetengah kanak-kanak, ‘kawannya’ mungkin datang sesekali atau muncul selang beberapa hari, manakala bagi yang lain ‘kawan’ itu adalah teman sepanjang masa. Anak anda akan melayan ‘kawannya’ seperti melayan kawan sebenar, kawan yang dilihatnya setiap hari dan boleh bermain bersama. Jadi, jangan terperanjat jika si manja memberitahu anda bahawa anda mungkin terpijak ‘kawannya’, atau anda duduk di tempatnya, atau meminta anda menyediakan tempat untuk ‘kawannya’ di meja makan apabila tiba waktu makan.

Adakah si manja anda kesunyian?

Bermain dengan kawan khayalan tidak bermakna anak anda kesunyian. Ia mungkin hanya bermakna si manja seronok bermain dengan seseorang selain kawan SEBENAR yang biasa menjadi teman sepermainannya setiap hari. Kawan khayalan membantu si manja anda berfikir secara lebih kreatif, membolehkan mereka melakukan sesuatu dengan cara yang berlainan. Ini juga adalah satu cara yang membolehkan anak anda mempraktikkan kemahiran sosial, agar mereka berasa lebih selesa dan lebih yakin apabila bertemu dengan kawan betul yang sebaya dengan mereka. Ada kalanya, mereka berpura-pura mempunyai kawan khayalan sematamata kerana ingin mempunyai seseorang yang boleh dikuasai dan mengikut telunjuk mereka, lebih-lebih lagi jika semua orang di sekeliling mereka cuba mengawal tindakan mereka. Kawan khayalan mungkin juga bertindak sebagai teman yang boleh dipercayai – tempat mencurah rahsia dan isi hati, kerana anak-anak kecil juga mempunyai isu yang terlalu peribadi atau takut diketahui oleh orang dewasa.

Sebahagian daripada proses membesar

Ramai pakar mengakui bahawa kawan khayalan adalah sebahagian daripada norma hidup dan perkembangan kanak-kanak. Kawan khayalan bukan menimbulkan masalah, sebaliknya mereka boleh membantu anak-anak anda menangani beberapa tekanan dalam hidup mereka, dan juga melenyapkan sesetengah daripada ketakutan mereka. Apabila si manja memujuk ‘kawannya’ yang takut gelap, ini mungkin bermakna bahawa anak anda sebenarnya yang takut berada di tempat gelap. Dengan memujuk ‘kawannya’, bermakna si manja juga cuba mengatasi ketakutannya sendiri. Ia juga mungkin bermakna anda terlalu mendesak anak-anak lebih daripada yang sepatutnya, atau mengenakan terlalu banyak peraturan untuk mereka, menyebabkan mereka menyalahkan kawan khayalan mereka apabila mereka berkelakuan buruk atau melakukan kesilapan.

Ambil perhatian!

Si manja mungkin cuba memanipulasi anda menggunakan kawan khayalannya. Ada kalanya, kanak-kanak menggunakan ‘kawan’ mereka untuk mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang tidak diingini.

Kalau anda tak boleh kalahkan mereka, ikut rentak mereka!

Ikut rentak si manja jika anda tidak pasti bagaimana untuk memberi respons kepada kawan khayalannya:

  • Jika si manja tidak mahu berkongsi ‘kawannya’, jangan cuba untuk bermain dengan mereka melainkan anda diminta. Biasanya anda akan diminta menyediakan sesuatu, seperti tempat untuk kawannya makan bersama, atau diminta tidak duduk di kerusi tertentu.
  • Si manja mungkin menggunakan ‘kawannya’ untuk “dipersalahkan” bagi sesetengah daripada perbuatan yang dilakukan, seperti menumpahkan susu atau memecahkan pasu bunga. Anda boleh mengajarnya dengan memberitahu si manja bahawa kemalangan boleh berlaku dan dia bersama ‘kawannya’ boleh membantu anda membersihkan tumpahan atau memungut serpihan pasu.
  • Cuba beri peluang kepada anak anda untuk bertemu dan bermain dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Jika permainan dan aktiviti bersama mereka cukup menyeronokkan, minatnya terhadap ‘kawan istimewa’ akan beransur-ansur hilang dan si manja lebih suka bercampur gaul dengan budak lain.
  • Jangan memperbodohkan anak anda sekiranya dia mempunyai kawan khayalan, tetapi galakkannya supaya lebih berkawan dengan rakan sebayanya. Menghukum anak kerana mempunyai kawan khayalan boleh membawa lebih keburukan daripada kebaikan.

Kawan khayalan biasanya tidak menimbulkan masalah, dan jika si manja seronok bermain dengan budak lain dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama anda dan mereka, tidak ada apa-apa yang perlu anda risaukan. Apabila mereka besar dan mempunyai lebih ramai kawan ‘sebenar’ dan dapat menangani ketakutan mereka dengan lebih baik lagi, kawan khayalan mereka akan hilang dengan sendiri. Seandainya si manja anda terus memilih kawan khayalan sebagai teman bermain daripada menghabiskan masa dengan rakan sebayanya, anda patut renungkan apa yang sebenarnya berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membolehkan anak anda merasai keseronokan bermain dalam kehidupan sebenar.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen