Kebanyakan ibu bapa menghadapi kesukaran apabila cuba menerangkan mengapa mereka kata “TIDAK BOLEH”. Walaupun penting untuk menerangkan sebab, ibu bapa tidak harus terjebak dengan penjelasan dan perundingan berlebihan dengan anak mereka. Kanak-kanak perlu faham bahawa tidak boleh bermakna tidak boleh, dan memberi banyak penjelasan biasanya akan menyebabkan peraturan diubah atau dikompromi untuk memuaskan hati mereka.
Adakah anda mengajarnya untuk TIDAK mendengar?
Adakah anak anda mencabar kuasa atau keputusan anda apabila anda mengatakan dia tidak boleh berbuat sesuatu (contohnya “Tidak boleh makan coklat sebelum makan malam”)? Adakah anda cuba menjelaskan sebab untuk keputusan tersebut?
Anda mungkin akan rasa letih atau tertekan apabila dia asyik meminta coklat atau berjanji untuk menghabiskan semua sayursayurannya jika diberi coklat, hinggakan anda terpaksa beralah. Dengan berbuat demikian, anda sebenarnya melatih anak anda untuk tidak mematuhi peraturan. Lambat laun, dia akan sedar bahawa anda akan mengikut kehendaknya jika dia merayu atau memujuk berterusan, ataupun membuat janji.
Jawapan muktamad: tidak boleh
Mengajar anak anda untuk menerima tidak boleh sememangnya mencabar. Ia lebih sukar jika mereka sudah biasa mendapat apa yang diingini. Walau bagaimanapun, ada beberapa cara untuk membantu anda melaksanakannya:
- Tentukan batasan dari awal: Tentukan had atau batasan apabila anak anda masih kecil lagi. Lebih lambat ia dimulakan, maka lebih sukar untuk membentuk anak anda di kemudian hari. Sama seperti tidak membenarkan anak kecil anda bermain berdekatan kolam renang tanpa pengawasan, anda juga boleh menetapkan had lain, seperti tidur pada pukul 8 malam setiap malam tanpa bantahan.
- Waktu rehat atau “time-out”: Kadang-kala, kanak-kanak akan terlalu teruja atau terangsang hingga enggan mendengar atau memberi respon kepada kata-kata anda. Apabila ini berlaku, berikan anak anda waktu rehat atau “time-out”. Bawa ke biliknya atau dudukkan di tempat yang senyap dan biar dia selama 5 minit. Ini biasanya akan memberi mereka masa mencukupi untuk kembali seperti biasa. Kemudian bercakaplah dengannya secara tegas serta jelaskan batasannya. Tanya jika dia boleh melakukannya; jika tidak, maka dia perlu berada di biliknya sehingga setuju untuk mematuhinya.
- Jangan kompromi: Jika anak anda pandai melawan kata atau membantah peraturan, bertegaslah dan katakan tidak boleh. Ada peraturan tertentu yang tidak boleh dikompromi dan anda perlu cekal serta jangan mengubah peraturan untuk mengikut rentaknya. Anak anda akan belajar untuk memanipulasi anda mengikut kehendaknya jika anda sering beralah.
- Tetapkan peraturan: Masa terbaik untuk menerangkan tentang peraturan dan konsep kepada anak anda adalah apabila semuanya baik. Duduk dan terangkan bahawa apabila anda kata tidak boleh, ia bermakna tidak boleh dan tidak perlu dibincangkan lagi. Jika dia kecewa apabila tidak dapat mengikut kehendaknya, gunakan cara yang boleh membuatkan dia rasa gembira, seperti dapatkan dia membuat sesuatu yang dia suka dan boleh menenangkannya seperti bermain barang mainan atau melukis. Mengajar anak anda menerima tidak boleh daripada kecil adalah penting kerana beralah hanya akan menyebabkan mereka mencabar batasan yang telah ditetapkan.
Ajar, latih, hadkan
Memang anda tidak boleh elak daripada anak anda membuat perangai dan tidak setuju dengan pandangan anda. Batasan dan peraturan tidak patut dikompromi dan semua ibu bapa perlu faham bahawa menetapkan had adalah peranan yang sangat penting dalam mendidik anak. Ini akan membantu anak anda menerima tidak boleh sebagai jawapan dan mengelakkan sikap memberontak apabila besar kelak. Ingat bahawa kanakkanak mudah mengesan sesuatu yang negatif dan mereka mungkin akan anggap anda tidak sayangkan mereka apabila memarahi mereka. Beritahu mereka anda masih sayangkan mereka walaupun anda tidak puas hati dengan tingkah laku mereka.
Komen