Pengasuhan Positif

Hanya Kami Berdua

Penyusuan susu ibu bukan sekadar menyediakan pemakanan yang diperlukan oleh bayi baru lahir. Ia merupakan jalinan kasih sayang yang mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi. Melalui penyusuan susu ibu, ibu dan bayi dapat menjalinkan hubungan yang erat, memuaskan dan berkekalan. Untuk menjadikan setiap saat anda bersama bayi lebih berharga, amalkanlah petua-petua berik

Tenang dan sunyi

Pastikan tiada gangguan semasa menyusukan bayi – jangan menonton TV, mendengar muzik yang kuat atau berbual dengan bising. Pastikan ahli keluarga anda faham kepentingan persekitaran yang sesuai semasa anda menyusukan bayi. Dapatkan bantuan mereka bagi memastikan keadaan tenang dan senyap ketika anda menyusukan bayi. Persekitaran yang ideal untuk menyusukan bayi ialah bilik yang sunyi dan malap. Jika ini sukar dilaksanakan, berikan tumpuan sepenuhnya kepada bayi sewaktu menyusu.

Utamakan keselesaan

Apabila menyusu, anda perlu pastikan keselesaan diri anda dan bayi. Pegang bayi supaya mukanya menghadapi payudara anda. Mulutnya diletak berhampiran puting dan kepala, leher serta bahagian belakang bayi dipastikan dalam kedudukan yang lurus dan selesa. Anda juga harus duduk tegak, gunakan bantal untuk menyokong bayi anda jika perlu.

Anda juga boleh berbaring secara mengiring di atas katil ketika menyusukan bayi. Posisi baring sangat berguna untuk penyusuan pada waktu malam, atau jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Caesarean’ atau komplikasi semasa bersalin.

Berinteraksilah dengan bayi

Ketika menyusukan bayi, anda boleh bercakap, bersenandung atau menyanyi dengan bayi anda. Kekalkan hubungan mata dan senyumlah selalu. Peluk, tepuk dan sentuh bayi anda. Puji bayi anda apabila dia menghisap dengan baik. Gerak isyarat yang penuh kasih sayang akan menjadikan bayi berasa lebih selamat

Sikap adalah penting

Bayi anda akan tahu jika anda bimbang atau risau. Oleh itu, anda perlu bertenang ketika menyusukan bayi. Jangan menyusukan bayi apabila anda berasa marah atau selepas bertengkar dengan suami. Berikan masa yang secukupnya kepada diri anda sehingga reda perasaan marah sebelum menyusukan bayi.

IBU GEMBIRA, BAYI GEMBIRA

Untuk mengekalkan ikatan yang positif dengan bayi anda, terlebih dahulu anda perlu menjaga diri anda. Dapatkah anda berikan yang terbaik kepada bayi jika anda penat, tertekan atau bersedih?

Berehatlah dengan secukupnya, amalkan pemakanan yang sihat dan keraplah bersenam. Anda harus sedar bilakah anda memerlukan bantuan; jangan cuba lakukan kesemua perkara bersendirian. Bukanlah sesuatu yang luar biasa jika ibu baru mengalami kemurungan.

Beritahu kebimbangan anda kepada suami. Jika kemurungan ini berpanjangan dan menjadi lebih teruk, anda mungkin mengalami kemurungan postpartum. Anda perlu segera mendapatkan bantuan profesional.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen