Bayi yang baru dilahirkan secara lazimnya akan mendapat perhatian ramai. Sebagai ibubapa, anda sendiri atau suami isteri mungkin mempunyai tanggapan bahawa perasaan taksub serta kagum terhadap bayi anda sudah mencukupi untuk mengeratkan hubungan anda berdua. Keadaan yang sempurna ini mungkin tidak berlaku kepada semua ibubapa.
Wanita yang baru bergelar ibu lebih mungkin akan memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada bayi dan ini mungkin akan menyebabkan wujudnya perasaan cemburu dalam perkahwinan anda. Suami yang baru bergelar ayah mungkin akan rasa terpinggir dan rasa iri hati kerana isterinya hanya memberikan perhatian kepada segala keperluan bayi dan tidak menghiraukan keperluannya. Oleh yang demikian, walaupun sibuk dengan aktiviti-aktiviti yang membabitkan bayi, anda harus ingat bahawa perkahwinan dan juga menjadi ibubapa merupakan suatu ‘usaha sama’ di antara anda berdua.
Adalah sangat penting anda berdua mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab anda terhadap bayi serta hubungan anda berdua. Ini akan memastikan anda sekeluarga kekal rapat, terutama sekali semasa beberapa bulan pertama setelah bayi dilahirkan. Jika anda berusaha untuk mengekalkan rumahtangga yang bahagia, lambat-laun anda pasti akan dapat mengurangkan tekanan menjadi ibubapa baru dan seterusnya dapat mengeratkan hubungan perkahwinan anda.
Walaupun anda mungkin mempunyai keutamaan yang berbeza sejak kelahiran bayi, namun jangan lupa bahawa anda kini sudah berkeluarga dan perlu bersatu sebagai suami isteri dan ibubapa. Anda harus menyediakan persekitaran yang baik dan stabil untuk bayi dan bakal anak-anak anda kelak. Bayi memang akan suka berada dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang dan kegembiraan di rumah anda. Hubungan anda suami isteri yang kian rapat dan segala sokongan yang ditunjukkan antara satu sama lain turut akan membuatkan penjagaan bayi lebih senang!
Ke arah perhubungan yang bahagia…
Walaupun menjaga bayi dan menyesuaikan diri sebagai ibubapa mungkin merupakan sesuatu yang memenatkan serta membingungkan, namun anda berdua masih perlu memberikan perhatian terhadap suami atau isteri.
Berikut terdapat beberapa petua untuk mengekalkan perhubungan yang bahagia:
- Pastikan pasangan anda tahu yang anda masih sayang kepadanya. Walaupun sibuk menghabiskan masa dengan menyusu, membersih atau menjaga bayi, anda tidak patut mengetepikan pasangan anda yang turut memerlukan perhatian anda juga!
- Cari peluang untuk berbual. Cuba berkongsi segala kegembiraan, kekecewaan, kebimbangan dan harapan seperti mana yang dilakukan sebelum dan setelah baru berkahwin. Jangan biarkan bayi menjadi satu-satunya topik perbualan anda berdua atau apabila bersama kawan dan keluarga.
- Pastikan anda sentiasa mendengar apa yang dikatakan oleh pasangan anda. Jangan suka memotong percakapan masing-masing; cuba dengar apa yang ingin diperkatakan walaupun anda tidak bersetuju dengan pendapatnya.
- Jika boleh, keluar dengan pasangan anda sekurang-kurangnya sebulan sekali. Tinggalkan bayi bersama pengasuh dan keluarlah bersama-sama untuk menonton wayang atau makan malam yang romantis. Perasaan romantis tidak sepatutnya hilang sebaik sahaja bayi dilahirkan!
- Jika anda sebagai ayah masih belum membantu menjaga bayi anda, ini merupakan masa yang paling sesuai untuk memulakannya. Walaupun anda tidak boleh menyusu namun anda masih boleh mendakap, membuai dan menenangkan bayi sementara mengeratkan hubungan anda berdua. Anda juga boleh menenangkan bayi apabila dia menangis atau memandikan dan menukar lampinnya. Jika bayi menangis pada waktu tengah malam untuk susu, anda juga boleh membantu dengan membawa bayi kepada ibu untuk disusu.
- Kekalkan hubungan intim antara anda suami isteri. Ingat bahawa anda tidak perlu mengadakan hubungan seks untuk rasa rapat. Oleh itu, jangan bimbang jika tidak dapat mengadakan hubungan seks kerana keletihan, perubahan fizikal isteri atau tidak mempunyai masa yang sesuai. Anda berdua masih boleh saling menyentuh, berpeluk, berdakapan atau mengurut sesama sendiri untuk mengekalkan keintiman tersebut.
- Jangan saling menyalahkan atau mengkritik sesama sendiri kerana masalah yang dihadapi di rumah atau dalam perhubungan anda. Ini hanya membuang masa dan merosakkan hubungan anda. Wanita yang baru bergelar ibu sebenarnya sedang mengalami perubahan hormon yang akan mengakibatkan perasaan mereka menjadi tidak menentu; oleh itu, anda sebagai suami harus menghadapinya dengan tenang serta sabar dan jangan membalas dengan kata-kata yang kesat.
Sudah bersedia untuk menjalinkan hubungan seks semula?
Wanita yang baru menjadi ibu boleh kembali menjalinkan hubungan seks sebaik sahaja mereka tidak merasa sakit lagi. Walaupun keputusannya di tangan anda, namun ada baiknya jika anda mendapat persetujuan pakar ginekologi dahulu semasa pemeriksaan setelah enam minggu selepas bersalin. Berhati-hati apabila menjalinkan hubungan seks semula. Faraj mungkin lebih kering selepas bersalin berbanding sebelumnya; oleh itu, gunakan pelincir yang lebih. Semasa mengadakan hubungan seks, pastikan anda menggunakan kedudukan yang tidak meletakkan tekanan di tempat yang terasa sensitif. Cuba lakukannya apabila bayi sedang tidur dan bila tidak terlalu letih agar anda dapat menikmatinya. Jangan terlalu memikirkan seks sebagai sesuatu yang mesti dicapai. Nikmatilah masa bersama dan tidak lama lagi anda pasti akan merasakan hubungan seks kembali seperti sebelum kehadiran bayi – atau lebih baik daripada dahulu lagi.
Komen