Pengasuhan Positif

Bersedih Hati?

Sebagai seorang yang baru bergelar ibu, rasa tertekan dan lesu akibat perubahan yang berlaku pada badan serta dibebani tanggungjawab baru untuk menjaga bayi adalah perkara yang biasa berlaku. Anda mungkin merasa keadaan kini menjadi tidak terkawal kerana sibuk dengan bayi yang sentiasa memerlukan perhatian, di samping merasa amat letih. Anda mungkin berasa seperti hidup anda yang dahulunya terurus dan terkawal kini sudah bercelaru. Sekelip mata, impian anda untuk mempunyai kehidupan keluarga yang bahagia serta aman damai kini nampaknya telah hilang sama sekali. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika perasaan anda menjadi tidak menentu.

Keadaan anda yang lesu serta mata yang merah mungkin menyebabkan anda tertanya kepada diri sendiri: Di manakah kesilapan saya? Elakkan diri anda dari menghentakkan kepala ke dinding (kecuali jika perbuatan tersebut akan melegakan keresahan dan tidak mencederakan anda!). Keadaan kelam kabut ini bukannya salah anda mahupun bayi anda.

feelingdown2

Jangan bimbang, kerana anda sebenarnya masih belum ‘hilang akal’ atau ‘menjadi gila’. Percaya atau tidak, 80 peratus wanita yang baru bergelar ibu turut mengalami gangguan emosi selepas melahirkan anak.

Gangguan emosi yang sedang anda alami ini mungkin erjadi kerana anda cuba untuk membiasakan diri dengan keadaan kehidupan yang baru. Walaupun anda boleh bersedih sekali-sekala, namun anda masih perlu mengawal perasaan agar tidak memudaratkan diri sendiri serta bayi.

Mengatasi masalah kesedihan

Pernahkah anda mendengar tentang ‘baby blues’? Ia bukannya sejenis muzik atau, dalam kes ini, tajuk sebuah komik. Ia merupakan perasaan sedih yang tidak keterlaluan yang akan hilang dalam masa dua minggu dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

Gejala-gejala:

  • Rasa kecewa tentang kelahiran
  • Keinginan untuk menangis tanpa sebarang sebab
  • Rasa mudah jengkel dan kurang sabar
  • Rasa cemas dan gelisah
  • Hilang selera makan

feelingdown3

Walaupun mempunyai perasaan ‘blues’ dari semasa ke semasa adalah agak normal, namun anda tidak perlu menderita. Berikut adalah beberapa cara untuk menangani masalah ini:

  • Cari orang yang memahami keadaan anda dan luahkan perasaan kepada mereka.
  • Bertindak jujur terhadap diri sendiri. Anda tidak perlu melakukan semua kerja secara bersendirian. Oleh itu, mintalah bantuan jika diperlukan.
  • Dapatkan orang untuk membantu anda membuat kerja rumah.
  • Luangkan masa walaupun hanya 15 minit untuk membuat apa saja yang anda ingini semasa bayi sedang tidur.
  • Cuba catatkan segala emosi dan perasaan anda di dalam diari setiap hari.
  • Jangan marah pada diri sendiri jika hanya dapat menyiapkan sedikit tugas atau tidak dapat berbuat apa-apa pada sesuatu hari. Lakukan tugas anda sedikit demi sedikit dari segi kehidupan yang positif.
  • Berbincang dengan doktor tentang segala kebimbangan anda.
  • Jelaskan kepada suami dan keluarga terdekat tentang perasaan anda. Minta bantuan mereka untuk menggembirakan anda dari segi kehidupan yang positif.

Menguruskan ‘post-partum depression’

Kemuraman post-partum (‘post-partum depression’ atau PPD) adalah keadaan kesihatan yang lebih serius dan akan berlanjutan lebih lama berbanding dengan ‘baby blues’. Ia sebenarnya sejenis penyakit mental yang disebabkan oleh perubahan hormon yang menjejaskan fungsi badan. Oleh yang demikian, rawatan perubatan diperlukan untuk mengurangkan simptomsimptomnya. Oleh itu, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan maklumat mengenai PPD. Anda juga harus sedar bahawa anda tidak perlu merasa malu dan keseorangan dalam situasi ini.

PPD harus dikesan seawal mungkin agar lebih mudah dirawat. Berikut adalah gejala-gejalanya:

  • Perasaan bersalah yang sering menghantui.
  • Rasa hilang harapan dan sedih.
  • Berkeinginan untuk mencederakan diri sendiri atau bayi.
  • Perubahan emosi (mood swings) yang tidak menentu. Perasaan gembira dengan tiba-tiba boleh bertukar menjadi sedih.
  • Terlalu memberi perhatian atau kurang mengambil berat terhadap bayi.
  • Merasa tiada makna untuk meneruskan kehidupan.
  • Perubahan corak tidur serta selera makan.
  • Takut untuk tinggal bersendirian.

Jika anda rasa anda menghidap ‘PPD’, maka anda harus:

  • Segera mendapatkan bantuan perubatan dan patuhi segala nasihat yang diberikan oleh doktor.
  • Berbincang tentang perasaan anda bersama keluarga terdekat serta kawan rapat.
  • Ketahui dengan lebih lanjut lagi tentang ‘PPD’ daripada doktor dan buku-buku perubatan.

Suami: Bagaimana anda boleh membantu

Keadaan emosi isteri anda yang tidak menentu mungkin akan berlanjutan selama beberapa hari atau beberapa bulan. Oleh yang demikian, isteri anda amat memerlukan sokongan anda. Di sini terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantunya melalui masalah ini:

  • Jadi seorang pendengar yang baik. Anda tidak perlu memberi sebarang penyelesaian kerana beliau hanya memerlukan tempat mengadu.
  • Lupakan segala kata-kata kesat yang pernah dikeluarkannya. Perkara ini terjadi kerana terlalu mengikut perasaan dan enam bulan dari sekarang, beliau pasti tidak mengingatinya lagi.
  • Bantu isteri anda untuk mengurangkan bebannya mengikut kemampuan anda (kecuali memberi susu ibu!). Cuba dapatkan bantuan ahli keluarga yang lain.
  • Bawa isteri serta bayi anda keluar berjalan-jalan. Perubahan persekitaran akan membantu beliau mendapat ketenangan.
  • Bawa isteri anda segera berjumpa doktor jika simptomsimptom berlanjutan atau menjadi semakin teruk.
  • Cuba menggembirakan beliau contohnya dengan menghadiahkan bunga, makanan kegemaran atau apa-apa sahaja yang digemarinya.

feelingdown4

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen