Pengasuhan Positif

Soal Jawab tentang Vaksin

Soal Jawab tentang Vaksin

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Pakar Kardiologi Pediatrik

Di Malaysia, vaksin dibahagikan kepada vaksin dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) dan vaksin yang dikenali sebagai ‘vaksin pilihan’ atau vaksin yang disyorkan. Kebanyakan ibu bapa mempunyai tanggapan yang salah iaitu jika sesuatu vaksin itu adalah ‘vaksin pilihan’, maka ia tidak begitu penting berbanding dengan vaksin wajib yang diberikan oleh Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksin dihasilkan untuk melindungi seseorang terhadap penyakit yang berbahaya dan boleh mengancam nyawa; vaksin pilihan tidak kurang pentingnya berbanding vaksin wajib.

Apakah Program Imunisasi Kebangsaan (PIK)?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempunyai satu senarai vaksin yang perlu diberi kepada semua kanak-kanak di setiap negara. Program ini dipanggil Program Perluasan Imunisasi (EPI). Setiap negara mempunyai program kebangsaannya sendiri berdasarkan kemampuan, dan PIK Malaysia tiada bezanya. Namun, jumlah vaksin di bawah PIK adalah melebihi apa yang dinyatakan oleh EPI dari WHO.

Apakah vaksin lain yang disyorkan?

Vaksin lain yang disyorkan adalah tidak wajib di Malaysia kerana vaksin-vaksin ini bukanlah sebahagian daripada PIK. Namun, vaksin pilihan telah terbukti amat berkesan dan boleh mencegah jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

Contoh-contoh jangkitan termasuk jangkitan yang disebabkan oleh bakteria pneumokokus dan rotavirus telah diketahui boleh menyebabkan komplikasi teruk yang boleh membawa maut. Yang lain-lain termasuk Hepatitis A dan cacar air. Nasib baik, vaksin pilihan terdapat di klinik swasta di seluruh negara.

Apakah vaksin mandatori/wajib?

Vaksin yang disediakan di bawah PIK adalah vaksin wajib yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam jadual imunisasi untuk mencegah kebanyakan penyakit utama kanak-kanak (seperti tibi, hepatitis B, difteria, pertusis, tetanus, demam campak dan sindrom rubela kongenital). Vaksin-vaksin ini boleh diperolehi secara percuma oleh kerajaan kepada kanakkanak pada umur yang berbeza.

Adakah vaksin selamat?

Ya! Vaksin adalah sangat selamat kerana keselamatannya telah diuji secara meluas oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) di Amerika Syarikat. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia boleh didapati secara komersial.

Fasa-fasa dalam peringkat perkembangan klinikal bagi setiap vaksin adalah:

  • Fasa I – Satu kumpulan kecil akan diberi vaksin percubaan
  • Fasa II – Kumpulan tersebut akan dikembangkan dengan penambahan orang yang mempunyai ciri-ciri penyakit yang serupa bagi vaksin percubaan
  • Fasa III – Vaksin kemudian diberikan kepada orang ramai setelah keberkesanan dan keselamatan vaksin telah diuji.
  • Fasa IV – Kajian yang berterusan akan dijalankan selepas vaksin diluluskan dan dilesenkan.

Vaksin yang dilulus and dilesenkan secara amnya mengambil masa beberapa tahun dan ujian secara ketat dijalankan untuk memastikan vaksin yang telah dilesenkan adalah selamat untuk digunakan. Lazimnya, selepas vaksin digunakan, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) dan FDA di Amerika Syarikat akan terus memantau untuk sebarang kejadian buruk melalui Sistem Laporan Kejadian Buruk Vaksin (VAERS). Jika terdapat masalah yang berpotensi dikesan, kedua-dua CDC dan FDA akan memulakan siasatan yang lebih lanjut dan bergantung kepada keterukan masalah tersebut. Amaran tambahan mungkin dicetak pada label/pembungkus atau lesen vaksin tersebut boleh dibatalkan.

Seperti semua ubat yang lain, vaksin juga mempunyai beberapa kesan sampingan. Kebanyakkan kesannya adalah ringan (seperti kesakitan pada tempat di mana suntikan diberi, kerengsaan, atau demam gred rendah) dan biasanya berlanjutan untuk beberapa hari sahaja. Tindak balas yang serius terhadap vaksin sangat jarang berlaku.

Adakah vaksin mengandungi bahan pencemar seperti nanah lembu, air kencing kuda, dan lain-lain?

Mitos ini boleh disusur kembali kepada asal-usulnya pada tahun 1796 apabila Edward Jenner menghasilkan vaksin cacar yang pertama dengan menggunakan bahan biologi dari cacar lembu.Kaedah penghasilan vaksin moden telah banyak diperbaiki sejak abad ke-18 dan bahan pencemar seperti nanah lembu atau air kencing kuda tidak lagi digunakan dalam proses pembuatan vaksin.

Tambahan lagi, oleh sebab kebanyakan vaksin diberikan melalui suntikan ke dalam otot/tisu subkutaneus, ia perlu disterilkan supaya tidak mengakibatkan tindak balas. Ia adalah mustahil jika vaksin yang mempunyai bahan pencemar tidak menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

Adakah vaksin menyebabkan autisme?

Tidak! Kajian saintifik dan kajian semula tetap menunjukkan bahawa tiada perkaitan antara vaksin dan autisme.

Sesetengah orang mencadangkan bahawa thimerosal (sebatian yang mengandungi merkuri) dalam vaksin yang diberi kepada bayi dan kanak-kanak muda mungkin menjadi punca autisme, manakala yang lain mencadangkan bahawa vaksin MMR (Campak-Beguk-Rubela) mungkin dikaitkan dengan autisme. Namun, ramai saintis dan penyelidik telah mengkaji vaksin MMR dan thimerosal, dan membuat kesimpulan yang sama, iaitu tiada perkaitan antara vaksin MMR atau thimerosal dan autisme.

Perkaitan antara autisme dan vaksin adalah hasil daripada satu kajian yang berdasarkan taakulan salah yang dijalankan dan diterbit pada tahun 1998 di Britain. Penerbitan oleh Dr Andrew Wakefield ini telah ditarik balik oleh jurnal yang menerbitkannya dan 10 daripada 12 penulisnya telah menarik diri daripada terlibat dalam kajian tersebut. Kadar vaksinasi MMR di UK telah jatuh secara drastik dan mengakibatkan peningkatan dalam kes demam campak dan banyak kematian dalam tahun-tahun berikutnya akibat daripada hasil kajian ini. Pemantauan di banyak negara tidak menemui apa-apa kaitan antara vaksinasi MMR dan peningkatan autisme dalam kalangan kanak-kanak.

Manfaat vaksinasi:

  1. Satu kaedah yang terbukti dapat mengawal (dan juga membasmi) penyakit.
  2. Cara yang paling berjaya dan kos-efektif untuk menguruskan pengawalan penyakit. Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati!
  3. Mengurangkan ataupun membasmi trauma mental/fizikal yang disebabkan oleh penyakit berjangkit.
  4. Melindungi semua orang, dari bayi, kanakkanak, wanita hamil, pesakit kanser dan juga mereka yang mempunyai imuniti yang terjejas akibat kesan kawanan*.

*Imunisasi berkumpulan memberi perlindungan kepada mereka yang tidak divaksinasi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen