Pengasuhan Positif

Menempuh Hidup Sebagai Generasi Sandwic

Dalam hidup serba moden hari ini, ramai orang dewasa yang terapit (seperti sandwic) di antara tanggungjawab menjaga ibu bapa yang makin tua dan membesarkan anak-anak sendiri yang masih kecil. Cabaran dalam mengimbangi antara penjagaan, pengasuhan, kerja dan masa peribadi dihadapi oleh ramai individu di serata dunia. Golongan ini digelar sebagai Generasi Sandwic.

Kumpulan demografi ini berhadapan dengan cabaran unik seperti kekangan kewangan, pengurusan masa, tekanan emosi dan jangkaan untuk memenuhi pelbagai keperluan kedua-dua generasi yang berbeza. Langkah pertama untuk mencari penyelesaian berkesan ialah dengan memahami skop cabaran ini.

Ramai rakyat Malaysia dibesarkan dalam budaya yang menganjurkan rasa hormat kepada ibu bapa, malah menjadi perkara biasa untuk ahli keluarga besar tinggal bersama sebumbung. Tambahan lagi, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan bahawa 70% warga tua Malaysia tinggal bersama anak mereka atau ahli keluarga besar.

Walaupun ia perkara biasa, ini tidak bermakna tiada rintangan yang dihadapi. Generasi Sandwic berhadapan dengan tekanan ke atas kewangan dan masa mereka, lalu memerlukan perancangan rapi dan strategi pintar. Jika anda berada dalam keadaan sukar seperti ini, berikut beberapa tip mudah untuk membantu anda.

  • Komunikasi dan perbincangan terbuka: Komunikasi yang berkesan dengan kedua-dua generasi amat penting. Ajak ahli keluarga anda untuk membincangkan jangkaan, peranan dan tanggungjawab masing-masing. Buat satu jadual bagi membahagikan masa untuk aktiviti penjagaan, pengasuhan, kerja dan peribadi. Penyesuaian mungkin diperlukan, jadi cuba jadi lebih fleksibel dan terbuka kepada perubahan.
  • Agihkan tugasan: Kongsi tugas penjagaan dengan ahli keluarga lain jika boleh. Bahagikan tugas berdasarkan kemampuan dan kesediaan masing-masing. Ini mengurangkan beban dan mewujudkan rancangan penjagaan yang lebih mudah diurus. Pasangan, adik-beradik, ibu bapa, anak-anak, anak saudara dan rakan-rakan juga boleh membantu dari segi penyediaan makanan, kerja rumah atau tugas-tugas lain.
  • Gunakan perkhidmatan sokongan: Cuba sumber komuniti, seperti khidmat penjagaan kesihatan di rumah, penghantaran makanan, atau program penjagaan warga emas untuk ibu bapa anda. Cari kumpulan sokongan tempatan atau komuniti dalam talian di mana anda boleh berhubung dengan individu yang berada dalam situasi serupa untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan nasihat.
  • Perancangan kewangan: Bincangkan dengan penasihat kewangan untuk merancang kos yang berkaitan dengan penjagaan ibu bapa dan anak-anak anda. Antaranya termasuklah menyusun belanjawan, meneliti pilihan insurans dan mempertimbangkan rancangan penjagaan jangka panjang.
  • Utamakan penjagaan diri: Selitkan masa untuk penjagaan diri dan minat peribadi. Penting untuk memulihkan diri secara fizikal dan emosi supaya anda boleh menyediakan penjagaan terbaik untuk orang tersayang. Hal-hal kecil seperti membaca buku atau berjalan di taman juga boleh membantu.
  • Beri dan terima sokongan: Pasangan yang menyokong amat penting dalam menangani cabaran bersama. Ini boleh dilakukan dengan bergilir-gilir memikul tanggungjawab serta menjadi pasangan yang boleh diharap agar tugasan masih boleh diselesaikan apabila anda atau pasangan anda perlu menumpukan pada perkara lain.
  • Kekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan: Bincangkan aturan kerja fleksibel dengan majikan anda jika boleh. Kerja secara jarak jauh, waktu bekerja fleksibel atau jadual lebih pendek boleh membantu anda menguruskan tanggungjawab penjagaan dan pengasuhan tanpa menjejaskan prestasi kerja anda.

Menjadi sebahagian daripada Generasi Sandwic mungkin mencabar, tapi tidak mustahil untuk mengimbangi kesemua keperluan ahli keluarga. Ingatlah, anda boleh dapatkan sokongan daripada sumber komuniti, rakan dan keluarga agar perjalanan ini lebih lancar. Ambil langkah satu persatu dan yakinlah bahawa anda sedang melakukan yang terbaik dalam situasi yang sukar.

Langgani surat berita pengasuhan kami.