Sedu boleh berulang, jadi tidak dapat dikawal dan mengganggu. Apabila bayi mendapat sedu, kita sering risau jika ada sesuatu yang tidak kena. Adakah anda perlu risau jika bayi anda tersedu?
Apakah yang menyebabkan bayi tersedu?
Sedu terjadi pada semua peringkat umur, termasuklah bayi. Sedu adalah tindak balas yang biasa dan semulajadi. Kita semua mempunyai otot diafragma di antara dada dan abdomen, yang bergerak apabila kita bernafas. Diafragma yang tiba-tiba mengecut atau mengejang semasa kotak suara tertutup akan menyebabkan sedu. Sesetengah bayi tersedu jika mereka minum terlalu cepat atau menangis dengan lama.
Adakah sedu satu masalah?
Sedu sebenarnya tidak berbahaya kepada bayi dan petanda positif bahawa bayi anda sihat. Selalunya sedu berlaku hanya sementara selama 5-15 minit. Kadang-kala ia mungkin berterusan sehingga beberapa jam. Sedu tidak mengganggu bayi. Sesetengah bayi boleh meneruskan tidur sambil tersedu. Selalunya ibu bapa yang risau jika bayi mereka tidak selesa atau jika sedu satu gejala penyakit.
Apa perlu saya lakukan jika bayi tersedu?
Sedu tidak memerlukan apa-apa rawatan istimewa. Langkah terbaik adalah membiarkan sedu surut sendiri. Jika bayi anda menyusu dengan baik, bertambah berat badan dan mudah tidur, anda tidak perlu risau. Jika bayi anda mempunyai gejala lain (rujuk di bawah) bersama sedu yang berterusan, bawa bayi anda berjumpa doktor. Kadangkala, bayi yang mempunyai refluks gastroesofagus (GER) mungkin mengalami sedu serta gejala lain. GER berlaku apabila asid perut naik ke esofagus dan menyebabkan kerengsaan.
Rujuk doktor jika bayi anda mempunyai gejala berikut:
- Tidak membesar dengan baik
- Kerap muntah
- Kerap menangis semasa menyusu
- Membengkokkan belakang semasa menyusu
- Batuk atau tercekik semasa menyusu
- Menangis tanpa henti
Apa yang boleh dilakukan untuk mencegah sedu?
- Amalkan teknik penyusuan yang betul
- Penting untuk mengelak pengambilan udara berlebihan. Semasa memberi susu badan, pastikan bayi “melekap” dengan baik pada puting. Jika bayi anda menyusu dari botol, pastikan puting botol dipenuhi susu sebelum diberi kepadanya. Gunakan saiz puting yang sesuai agar aliran susu tidak terlalu laju atau perlahan.
- Pastikan postur badan sesuai semasa penyusuan
- Pastikan bayi anda disusukan secara menegak dengan kedudukan kepala lebih tinggi
- Biarkan bayi duduk menegak selama 30 minit selepas penyusuan
- “Sendawakan” secara berkala semasa dan selepas menyusu
- Buat bayi anda sendawa sesekali semasa penyusuan, dengan mengurut lembut bahagian belakangnya, untuk melegakan udara terkumpul dalam perut.
- Menyusukan dengan lebih perlahan
- Sedu sering berpunca daripada penyusuan yang terlalu cepat. Penyusuan secara lebih perlahan mengurangkan kemungkinan sedu.
- Elakkan penyusuan semasa bayi meragam
- Penyusuan semasa bayi anda meragam, menangis dan bergerak akan mengganggu proses menelan, merengsakan diafragma, lalu mencetuskan sedu. Tenangkan bayi anda dahulu sebelum cuba menyusukannya.
Komen