Pengasuhan Positif

Flurona: Perlukah Kita Risau?

Selain daripada kemunculan COVID-19 varian Omikron sejak hujung tahun lepas, anda juga mungkin ada mendengar laporan mengenai kes “flurona” di beberapa negara. Apakah ia dan adakah kita perlu bimbang?

Apakah “flurona”?

“Flurona” merujuk kepada jangkitan sampingan/serentak COVID-19 dan influenza (juga dikenali sebagai “flu”). Terma tersebut mula muncul di media pada Januari tahun ini dalam berita mengenai seorang wanita mengandung di Israel yang dijangkiti oleh kedua-dua virus pada masa yang sama. Ia dilaporkan sebagai kes “flurona” pertama di negara itu.

Sebenarnya, terma ini hanya sekadar nama yang dicipta oleh media dengan menggabungkan dua perkataan – “influenza” dan “koronavirus” – untuk menularkan berita tersebut. “Flurona” bukanlah terma rasmi atau saintifik bagi jangkitan sampingan ini dan semestinya bukan sejenis “supervirus” baru seperti yang dipercayai sesetengah pihak.

Jangkitan sampingan atau varian?

Perlu dijelaskan bahawa “flurona” BUKAN varian baru COVID-19. Maka, apa yang membezakan “flurona”, sejenis jangkitan sampingan, dengan varian COVID-19 seperti Delta dan Omikron?

Perlukah saya risau?

Bagi menjawab soalan ini, kita perlu tahu tahap prevalensnya dan betapa bahaya akibat atau komplikasinya.

Prevalens

Pertama, kes jangkitan sampingan COVID-19 dan influenza bukan baru muncul dan telah dikenal pasti sebelum terma “flurona” dicipta lagi. Malah, beberapa kes COVID-19 terawal ialah jangkitan sampingan, contohnya pada Februari 2020, apabila seorang lelaki dan seluruh keluarganya di New York disahkan positif dengan kedua-dua COVID-19 dan influenza. Selain itu, kematian pertama akibat COVID-19 di luar China, iaitu di Filipina, juga merupakan kes jangkitan sampingan COVID-19 dan influenza. Kanak-kanak di Amerika Syarikat juga telah dilaporkan mendapat jangkitan sampingan ini.

Sebuah kajian sistematik yang terbit pada Jun 2021 menjangka bahawa 4.5% pesakit COVID-19 di Asia turut dijangkiti influenza. Kajian ini juga mendapati 4.6% pesakit COVID-19 berumur lebih 50 tahun turut mendapat jangkitan sampingan influenza. Namun, perlu dinyatakan bahawa peratus sebenar mungkin lebih tinggi kerana jangkitan sampingan hanya akan dikesan jika pesakit tersebut diuji untuk kedua-dua virus, dan ini selalunya hanya berlaku jika pesakit dimasukkan ke hospital.

Tambahan pula, pakar menjangka bahawa prevalens mungkin meningkat tahun ini akibat penularan kes Omikron yang bertembung dengan permulaan musim influenza di sesetengah negara. Selain itu, faktor lain seperti peningkatan kegiatan sosial selepas sekatan atau “lockdown” yang berpanjangan, kadar vaksinasi influenza yang rendah dan kemungkinan strain vaksin flu yang tidak sepadan juga boleh menyumbang kepada lonjakan kes.

Keterukan

Kedua-dua virus cenderung menyerang jenis sel yang sama di salur pernafasan atas dan bawah, jadi gejala yang sama juga sering dilihat. Gejala biasa yang dialami oleh pesakit jangkitan sampingan COVID-19 dan influenza ialah demam, batuk, sesak nafas, sakit otot dan kesukaran bernafas.

Selalunya, jangkitan sampingan akan memburukkan komplikasi dan meningkatkan kematian, terutamanya di kalangan populasi berisiko tinggi seperti warga tua, kanak-kanak bawah 5 tahun dan pesakit kronik. Kajian haiwan menunjukkan jangkitan awal dengan virus influenza A boleh menggalakkan jangkitan SARS-CoV-2 dalam tikus, lalu menyebabkan kesan lebih teruk. Namun, data masih belum mencukupi untuk menentukan jika kes sebenar akan menyebabkan komplikasi lebih teruk.

Apa yang perlu saya lakukan?

Kedua-dua COVID-19 dan influenza ialah penyakit yang serius. Dan kedua-duanya tersebar dengan cara yang sama, iaitu titisan pernafasan. Maka, penting untuk kita terus mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, membasuh tangan dengan kerap dan memastikan aliran udara yang baik. Jangan lupa untuk melindungi diri anda dan orang tersayang dengan mengambil vaksin COVID-19 dan suntikan flu tahunan.

Pandemik COVID-19 masih belum reda dan wabak influenza boleh muncul bila-bila masa – malah, terdapat peningkatan kes influenza di Malaysia pada hujung tahun lepas dan awal tahun ini, lalu meningkatan kerisauan mengenai “flurona”. Oleh itu, langkah terbaik adalah dengan kekal berjaga-jaga, tak kira sama ada ancaman datang daripada salah satu virus atau kedua-duanya sekali.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen