Pengasuhan Positif

Kesuburan Lelaki

Kira-kira separuh daripada kes ketidaksuburan seluruh dunia adalah disebabkan kemandulan lelaki. Bagi wanita, bilangan ovum dalam ovari mereka ditentukan sejak lahir dan akan menurun secara semulajadi dengan peningkatan usia. Bagi lelaki, testis mereka boleh menghasilkan berjuta-juta sperma baru setiap hari, tapi proses ini bergantung pada penghasilan dan pelepasan sperma normal. Kemandulan lelaki terjadi jika testis gagal menghasilkan sperma yang sihat dan aktif.

Punca utama ketidaksuburan lelaki ialah:

  • Masalah sperma

Biasanya kerana keabnormalan kromosom yang menyebabkan bilangan sperma rendah, pergerakan sperma yang lemah dan sperma abnormal.

  • Ejakulasi songsang

Juga dirujuk sebagai ‘orgasma kering’, yang berlaku apabila air mani dilepaskan ke dalam pundi kencing semasa orgasma, lalu menyebabkan tiada atau sedikit air mani ketika ejakulasi.

  • Kemandulan imunologi

Terjadi apabila sistem imun menyasarkan sperma, lalu menyebabkan penghasilan sperma berkurangan dan menjejaskan pergerakan sperma.

  • Laluan sperma terhalang

Halangan mungkin berlaku di epididimis (saluran yang bersambung ke testis), vas deferens (saluran yang bersambung ke epididimis) atau salur ejakulasi (saluran pengeluaran sperma).

  • Varikosel

Keadaan ini merujuk kepada salur vena yang membesar di skrotum, dan ia boleh menyebabkan bilangan sperma rendah akibat aliran darah yang lemah ke testis.

  • Masalah hormon

Sesetengah hormon seperti hormon perangsang folikel, hormon peluteinan, dan testosteron boleh memberi kesan kepada penghasilan dan pergerakan sperma.

  • Ubat-ubatan tertentu

Terapi penggantian testosteron, penggunaan jangka panjang steroid anabolik, kemoterapi, serta sesetengah ubat ulser dan artritis diketahui boleh menyebabkan kemandulan lelaki.

Antara faktor lain ialah tekanan, obesiti, mati pucuk, dan libido yang menurun. Faktor persekitaran juga boleh menyumbang kepada ketidaksuburan lelaki, contohnya pendedahan kepada haba berlebihan ketika bekerja (pengimpal besi, bomba), gaya hidup (penggunaan berlebihan sauna/tab panas), serta selalu memakai pakaian ketat.

 

Menangani ketidaksuburan lelaki

Bagi mengatasi masalah ini, dapatkan diagnosis daripada pakar. Ini termasuklah berjumpa dengan doktor yang akan melakukan pemeriksaan fizikal. Anda juga perlu menyediakan sampel air mani untuk dianalisis, kerana ini akan memberi maklumat penting seperti jumlah, bilangan, kepekatan, pergerakan dan struktur sperma. Sampel darah juga mungkin diambil untuk maklumat lanjut berkenaan hormon. Anda juga mungkin perlu melalui ujian lanjut yang melibatkan prosedur seperti ultrabunyi atau biopsi.

Rawatan akan bergantung kepada hasil ujian-ujian ini, dan kebanyakan masalah boleh ditangani sama ada dengan mengubah cara hidup, mengambil ubat atau pembedahan. Jika ini masih gagal memberikan zuriat secara semulajadi, anda boleh cuba kaedah pembiakan terbantu seperti permanian intrauterus (IUI), pensenyawaan in vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI). Namun, jika tiada langsung sperma yang bagus, satu-satunya pilihan anda mungkin untuk menggunakan sperma penderma.

Kita perlu sedar bahawa ketidaksuburan lelaki bukan selalunya kekal atau tidak boleh dirawat. Apa yang penting ialah menerima hakikat bahawa pasangan lelaki juga boleh jadi punca (atau faktor penyumbang) kepada masalah kesuburan. Ingatlah, membina keluarga memerlukan usaha kedua-dua pihak, maka suami dan isteri perlu sama-sama bertanggungjawab bukan sahaja untuk membesarkan anak, tapi juga untuk mendapatkannya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen