Pengasuhan Positif

Pencegahan Flu Bagi Ibu Bapa

Ibu bapa berperanan penting dalam membantu mencegah penyebaran penyakit berjangkit, seperti influenza, terutamanya kepada bayi dan anak mereka sendiri.

Ini kerana influenza mudah merebak antara manusia, dan statistik menunjukkan bahawa 1 daripada 4 bayi atau anak kecil dimasukkan ke hospital kerana penyakit ini. Influenza merupakan ancaman yang besar kepada golongan berisiko tinggi termasuk bayi dan anak kecil kerana boleh menyebabkan komplikasi serius.

Jangkitan di rumah

Walaupun bayi atau anak kecil kini hanya meluangkan masa di rumah, mereka masih terdedah kepada jangkitan influenza secara tidak langsung melalui ibu bapa mereka atau penjaga/pelawat lain.

Ibu bapa berkemungkinan terdedah kepada influenza ketika mereka keluar bekerja, membeli barang runcit, atau ketika perjumpaan sosial. Oleh kerana ibu bapa biasanya berhubungan rapat dengan anak-anak mereka, ini meningkatkan risiko penularan, terutamanya kerana mereka boleh menjadi pembawa asimptomatik (tanpa gejala). Lebih bahaya lagi, influenza selalunya disalah anggap sebagai selesema biasa kerana kedua-duanya mempunyai gejala yang serupa seperti demam, batuk dan hidung berair.

Antara sebab mengapa bayi atau anak kecil kerap dijangkiti influenza adalah kerana sistem imun mereka masih tidak matang.  Kelewatan mendapatkan rawatan kerana menyangka ia hanya selesema biasa juga akan meningkatkan risiko komplikasi seperti radang paru-paru, bronkitis, bronkiolitis dan jangkitan telinga.

Sekiranya anak anda mempunyai masalah kesihatan kronik (seperti lelah, penyakit jantung, diabetes, dll.) atau berumur di bawah 5 tahun, anak anda berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi.

Apa yang boleh dilakukan untuk mencegah influenza

Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil dari pandemik ini dalam hal berkaitan influenza. Oleh kerana influenza juga merupakan sejenis jangkitan pernafasan, SOP pencegahan COVID-19 baru-baru ini juga telah membantu dalam menyekat penyebaran influenza. Ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada tahun 2020, ini telah menyebabkan penurunan jumlah kes influenza yang dilaporkan di Malaysia.

Ini merupakan antara langkah pencegahan yang harus diamalkan bagi mencegah flu:

  • Elakkan membawa bayi ke tempat awam yang sesak kerana terdapat risiko pendedahan yang lebih tinggi.
  • Anak yang berumur 2 tahun ke atas digalakkan memakai pelitup muka sekiranya berada di kawasan umum yang sesak
  • Kerap mencuci tangan
  • Sekiranya anda mempunyai gejala flu:
    • Jarakkan diri anda dari anak sehingga anda pulih sepenuhnya
    • Patuhi etika bersin/batuk yang betul
    • Gunakan pencuci tangan setelah menyentuh wajah/hidung anda
    • Jangan berkongsi peralatan makan, penyedut minuman, minuman atau berus gigi

Walaupun langkah-langkah pencegahan COVID-19 di atas dapat membantu mengurangkan risiko influenza terhadap anak anda, vaksinasi merupakan inisiatif pencegahan yang terbaik. Selain memberi vaksin kepada anak anda bagi melawan influenza, anda juga perlu divaksinasi setiap tahun. Sepertimana vaksinasi COVID-19 telah berhasil mengurangkan jumlah kes (lalu membantu mengawal pandemik), vaksinasi influenza juga amat penting untuk mencegah wabak flu.

Jangan mencuba nasib

Ramai pakar bersetuju bahawa vaksinasi memainkan peranan penting dalam pencegahan penyakit kanak-kanak. Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Jawatankuasa Penasihat AS mengenai Amalan Imunisasi (ACIP) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) semuanya menggalakkan agar anak-anak kecil (dari 6 bulan ke atas) diberi vaksin influenza setiap tahun.

Sebagai ibu bapa, anda mungkin tidak berada dalam kumpulan berisiko tinggi tetapi vaksinasi masih merupakan bentuk pencegahan yang penting. Oleh kerana terdapat virus influenza aktif yang berbeza setiap tahun, anda perlu divaksin setiap tahun untuk perlindungan yang optimum. Ingat, dengan melindungi diri anda, anda juga melindungi anak anda. Benar kata hikmah, mencegah sememangnya lebih baik daripada merawat!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen