Apa itu rotavirus?
- Nama rotavirus dicadangkan oleh Thomas Henry Flewett pada tahun 1974 apabila beliau mendapati virus tersebut kelihatan seperti roda (rota dalam Bahasa Latin) di bawah mikroskop elektron.
- Terdapat 9 spesies rotavirus, iaitu Rotavirus A, B, C, D, F, G, H, I dan J.
- Rotavirus A ialah spesies yang paling mudah ditemui dan menyebabkan majoriti (>90%) jangkitan rotavirus dalam manusia.
- Ia juga punca utama cirit-birit teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.
- Dijangka bahawa setiap kanak-kanak akan dijangkiti oleh rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum umur 5 tahun.
- Satu kajian pada 2016 menjangkakan bahawa rotavirus menyebabkan 27 kematian, 31,000 kemasukan ke hospital dan 41,000 pesakit luar di Malaysia setiap tahun.
Bagaimana jangkitan rotavirus tersebar?
- Rotavirus ialah virus yang mudah berjangkit dan tersebar melalui laluan tinja-oral (faecal-oral).
- Virus ini banyak dikesan dalam najis orang yang dijangkiti dan mudah tersebar melalui sentuhan tangan-ke-mulut dan hubungan rapat, serta melalui permukaan/objek, seperti tombol pintu dan mainan, makanan dan minuman, serta air tercemar.
- Virus ini amat stabil dan boleh bertahan lama di luar tubuh sehingga berminggu-minggu, jika tiada proses penyahjangkitan.
Apakah tanda biasa jangkitan rotavirus?
Antara tanda-tandanya ialah gejala gastrousus, yang biasanya akan reda dalam 3-7 hari dan tidak spesifik, seperti:
- Cirit-birit
- Sakit perut
- Muntah
- Demam
- Kelesuan
Apa yang perlu anda awasi?
Berjaga-jaga dengan dehidrasi teruk kerana ini boleh mengancam nyawa anak anda! Berikut antara tanda-tandanya:
- Kurang membuang air kecil atau lampin kering
- Menangis tanpa air mata
- Mulut dan kerongkong kering
- Mudah meragam
- Sering mengantuk
- Mata cengkung
- Kulit kurang anjal
Bagaimana jangkitan rotavirus boleh ditangani?
- Rujuk doktor jika anak anda menunjukkan tanda-tanda jangkitan rotavirus atau dehidrasi yang teruk.
- Ubat tertentu mungkin diberi untuk meredakan gejala. Ingat, antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan virus.
- Tumpuan utama rawatan adalah untuk mengelakkan dehidrasi:
- Bayi: Teruskan memberinya susu ibu atau formula seperti biasa. Larutan rehidrasi oral mungkin diperlukan.
- Kanak-kanak lebih besar: Beri cecair secukupnya daripada minuman atau makanan. Larutan rehidrasi oral mungkin akan dipreskripsi kepadanya.
- Elakkan minuman bergas, jus epal, produk tenusu dan makanan bergula, kerana ini mungkin membuat cirit-birit bertambah teruk.
Bagaimana ia boleh dicegah?
- Penjagaan kebersihan
- Basuh tangan secara kerap dan teliti (cth. selepas menggunakan tandas atau menukar lampin anak).
- Kaedah pencucian biasa tidak mencukupi; langkah terbaik adalah dengan menggunakan larutan peluntur (1 bahagian peluntur + 9 bahagian air) untuk menyahjangkit permukaan/objek.
- Vaksinasi rotavirus
- Vaksinasi ialah langkah kesihatan awam yang utama terhadap rotavirus.
- Terdapat dua jenis vaksin oral: siri 2 dos dan siri 3 dos.
- Boleh diberi seawal umur 6 minggu dengan jarak minimum antara dos ialah 4 minggu; semua dos perlu diambil sebelum umur 8 bulan.
- Tanya doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi rotavirus.
Reference:
Komen