Pengasuhan Positif

Kerohanian Dalam Pengasuhan

Dalam situasi COVID-19 ketika ini, “kerohanian” berperanan penting sebagai mekanisme pertahanan bagi sesetengah keluarga dan individu. Walaupun aspek ini mungkin jarang diterokai dari sudut keibubapaan, banyak kajian menunjukkan bahawa kerohanian sememangnya satu pendekatan yang berkesan dalam pengurusan keluarga dan penjagaan kanak-kanak.

Kemunculan COVID-19 semenjak tahun lepas menyebabkan krisis kesihatan yang amat mengejutkan di seluruh dunia, yang memberi kesan dari segi fizikal, mental, kewangan dan sosial. Bagi meringankan beban dan tekanan dalam menghadapi pandemik serta pelaksanaan pelbagai sekatan, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan, institusi dan individu.

Kerohanian memainkan peranan utama dalam membantu sesetengah keluarga untuk bertahan semasa tempoh yang amat sukar ini. Ia boleh berfungsi sebagai teras yang kukuh bagi mana-mana kumpulan, contoh paling asas: unit keluarga. Sememangnya kerohanian ialah satu unsur penting dalam keibubapaan yang tidak boleh dipandang remeh walaupun ketika normal.

Memahami kerohanian

Pertamanya, apa yang kita faham tentang kerohanian? Kebanyakan orang mengaitkan kerohanian dengan tradisi keagamaan dan kepercayaan kepada kekuasaan tuhan, tetapi ia juga boleh bermaksud kepercayaan bahawa adanya hubungan antara diri sendiri dengan hidupan lain dan alam secara menyeluruh.

Kerohanian menunjukkan bahawa hidup ini bukan sahaja berkait dengan pengalaman fizikal dan deria semata-mata. Pengalaman kerohanian adalah subjektif dan mungkin berbeza antara individu. Ada yang mengalaminya dalam komuniti, ada juga yang memperolehinya melalui alam semulajadi, dan ada yang melihat kerohanian sebagai satu perjalanan peribadi.

Menurut Prof Dr Alvin Ng Lai Oon, “Spirituality (kerohanian) datang daripada perkataan ‘spirit’ (‘roh’), satu konsep kesedaran dalam diri. Ia melibatkan perjalanan untuk memahami diri dan hubungannya dengan kehidupan, iaitu dengan orang lain, persekitaran, malah dengan ketuhanan, di samping cuba memahami bagaimana untuk menjalani hidup dengan bermakna.”

Pakar psikologi klinikal ini menjelaskan, “Kerohanian melibatkan introspeksi perasaan, fikiran, kepercayaan dan tingkah laku yang selari dengan tujuan hidup yang menjadi asas kewujudan diri. Proses muhasabah dan introspeksi ini biasanya melahirkan kesedaran diri dan kefahaman peribadi yang akan mendorong penambahbaikan sikap dan tingkah laku untuk hidup yang lebih baik.”

Sebagai seorang Muslim, En Hairil Fadzly Md Akir percaya bahawa “Kerohanian ialah aspek asas dalam hidup manusia yang perlu dipupuk dari usia muda. Inilah cara untuk memahami tujuan dan makna setiap ciptaan dan lebih mendekatkan kita dengan Pencipta. Agama boleh mengajar kita hal ini. Ia juga memberi panduan untuk membezakan yang baik dan buruk dalam kehidupan serta membentuk tingkah laku dan kekuatan dalaman kita.”

Kebaikan kerohanian

Secara amnya, kerohanian diamalkan untuk pelbagai tujuan dan faedah. Bagi ramai orang, kerohanian membantu mereka menjawab soalan-soalan falsafah (cth: “Apakah makna kehidupan?”, “Apakah cara terbaik untuk menjalani kehidupan?”), mendapatkan sokongan komuniti, dan membentuk pandangan lebih optimis dalam kehidupan.

Prof Ng, yang juga presiden pengasas kepada Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, menyatakan “Kerohanian berfungsi sebagai jambatan ke arah ‘hidup yang baik’. Kita mendapat faedah daripada kerohanian melalui perkembangan ilmu, nilai-nilai, tingkah laku dan kemahiran yang menggalakkan kesejahteraan secara amnya, iaitu untuk hidup sihat, berfungsi dan boleh menyesuaikan diri. Kerohanian juga melahirkan keharmonian sosial melalui perilaku adaptif hasil daripada pemahaman kolektif tentang tanggungjawab individu terhadap satu sama lain.”

“Seseorang yang kuat kerohaniannya akan menyedari peranannya dalam komuniti, dan akan bertindak secara bertanggungjawab sebagai ahli masyarakat, bagi mencapai kesejahteraan bersama. Ini dapat menggalakkan nilai positif seperti baik hati, belas kasihan, pemurah, kesyukuran, keramahan, kesedaran dan penerimaan diri, yang boleh menggalakkan kesihatan peribadi dan sosial,” tambah beliau.

“Secara ringkasnya, kerohanian ialah jalan untuk memperkasakan diri dan menjadi orang yang lebih baik,” kata En Hairil, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). “Ia memupuk kawalan, perkembangan dan kemajuan diri. Ia membentuk perkembangan peribadi yang melibatkan kecerdasan minda (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan rohani (SQ).”

Datuk Dr Zulkifli Ismail, pengerusi Program Pengasuhan Positif, menyatakan “Kerohanian juga boleh menjadi cara untuk mengatasi cabaran hidup, seperti masalah kewangan, penyakit fizikal serta masalah mental, seperti kemurungan dan kegelisahan. Kajian menunjukkan bahawa individu yang menerapkan kerohanian dalam menangani cabaran hidup memperoleh banyak manfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka. Mereka mempunyai kesihatan mental yang lebih baik dan boleh menguruskan masalah kesihatan mereka dengan lebih baik.”

Kerohanian dan keluarga

“Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia, satu kajian bersiri oleh LPPKN,” kata En Hairil “telah mengenalpasti agama/kerohanian sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kesejahteraan keluarga, selain daripada faktor-faktor lain seperti hubungan, kesihatan dan ekonomi keluarga.”

Ayah kepada lima anak ini menerangkan “Domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian menunjukkan nilai tertinggi dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga pada tahun 2011, 2016 dan 2019 berbanding domain lain yang ditinjau. Keputusan domain tersebut berdasarkan dua faktor: 1) peranan agama dan 2) kesan amalan kerohanian. Ini menunjukkan bahawa agama/kerohanian adalah antara faktor pelindung utama bagi kesejahteraan keluarga di Malaysia.”

“Amalan keagamaan/kerohanian dalam keluarga menyumbang kepada kestabilan keluarga. Keluarga yang mengamalkan kerohanian mengutamakan hubungan kekeluargaan. Ini dapat meningkatkan penyertaan setiap ahli keluarga dalam kehidupan keluarga. Ikatan keluarga dijaga melalui usaha meningkatkan kebaikan, kesabaran, komunikasi, pengurusan tekanan, serta dengan ibadah dan ritual,” kata Datuk Dr Zulkifli.

Pakar perunding pediatrik ini menambah, “Kajian juga mendapati bahawa kanak-kanak dan remaja yang dibesarkan dengan amalan keagamaan atau kerohanian cenderung mempunyai kesihatan mental yang lebih baik dan gaya hidup yang lebih sihat. Mereka mendapat lebih kepuasan hidup, mampu menangani emosi dengan lebih baik dan mudah memaafkan berbanding golongan yang tidak pernah berdoa atau bermeditasi. Mereka juga lebih cenderung menyertai kerja sukarela dan kurang terlibat dalam kegiatan negatif.”

Bagaimana ibu bapa boleh menerapkan kerohanian dalam pengasuhan? Prof Ng mencadangkan agar ibu bapa melihat bagaimana amalan kerohanian memberi kesan ke atas anak mereka dari segi emosi, tingkah laku dan kognitif, lalu menyesuaikan amalan ini dalam situasi yang melibatkan anak mereka.

Beliau menerangkan, “Antara pendekatan yang biasa diambil adalah dengan menggunakan cerita atau pengajaran berunsurkan kerohanian. Ceritakan kepada anak anda bagaimana seorang tokoh agama menyelesaikan masalah dan apa yang boleh dipelajari daripada kisah tersebut. Anda juga harus menunjukkan contoh amalan kerohanian kepada anak anda. Apabila anda berkata “Kasihi jiran kita” atau “Buat baik kepada orang lain sepertimana kita mahu orang lain buat baik kepada kita”, jadi contoh kepada anak anda dan berbuat baiklah kepada orang di sekeliling anda dan keluarga anda.”

Mendidik anak dengan kerohanian

“Kerohanian adalah satu aspek perkembangan manusia, tetapi topik ini sering diabaikan dalam lingkungan sains yang lebih luas. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak memang mempunyai kebolehan kerohanian dalaman dan mampu merasai pengalaman kerohanian. Kanak-kanak yang tidak dibesarkan dalam keluarga yang beragama juga berkemungkinan untuk bertanya soalan tentang kerohanian dan kewujudan,” kata Datuk Dr Zulkifli.

Perkembangan kerohanian boleh didefinisikan sebagai “proses mengembangkan kebolehan naluri manusia untuk proses transendens apabila diri menjadi harmoni dengan sesuatu yang lebih besar.” Bagi mencapai perkembangan holistik dalam kanak-kanak, penting untuk menerapkan kerohanian dalam diri mereka sejak dari kecil.

Prof Ng menawarkan beberapa nasihat untuk menerapkan kerohanian dalam diri kanak-kanak:

  • Nyatakan manfaat nilai kerohanian. Ajar kanak-kanak untuk memahami manfaat nilai kerohanian seperti baik hati, belas kasihan, pemurah, kesabaran, kejujuran, dsb., yang boleh menjadi faktor pelindung dalam kehidupan. Terangkan bagaimana sifat-sifat ini menjauhkan mereka daripada masalah luaran (cth: kecederaan, pemulauan, tidak dihormati) dan dalaman (cth: rasa bersalah, malu, kekecewaan), serta membantu membentuk kekuatan diri (cth: keyakinan diri, integriti, disiplin, mekanisme pertahanan positif, dll.).
  • Terangkan konsep abstrak dengan contoh. Anak-anak kerap diajar tentang nilai kerohanian dengan konsep abstrak seperti kehidupan yang lebih baik selepas mati atau Tuhan menyayangi mereka. Kita perlu faham bahawa kanak-kanak (malah orang dewasa) mungkin sukar memahami konsep abstrak. Oleh itu, lebih baik nilai kerohanian dikaitkan dengan hasil yang pragmatik. Ini boleh dilakukan melalui cerita keagamaan yang memberi inspirasi dan menggalakkan tingkah laku dan cara yang sepatutnya bagi menangani cabaran harian.
  • Terapkan dalam hidup seharian. Ibu bapa boleh menerapkan kerohanian sebagai cara menyelesaikan masalah atau rutin harian untuk kesejahteraan yang menyeluruh. Contohnya, apabila anak anda rasa sedih, penat, tiada inspirasi atau kecewa, anda boleh mengingatkannya semula atau cuba mencari perkara yang boleh mendatangkan rasa syukur atau inspirasi (cth: cerita keagamaan). Libatkannya dalam amalan kerohanian atau keagamaan dan lihat bagaimana ia boleh membuatkan emosinya bertambah baik atau membantunya menangani emosi.

Sementara itu, En Hairil mencadangkan yang ibu bapa perlu:

  • Akui persoalan kerohanian anak anda. Antara contoh persoalan kerohanian: “Apa akan terjadi selepas kita mati?”, “Kenapa perkara tidak baik terjadi kepada orang baik?”, “Adakah haiwan mempunyai roh?”, dll. Soalan-soalan ini mungkin sukar, tetapi jika anda mengabaikannya, kanak-kanak mungkin beranggapan bahawa ia tidak boleh ditanya atau tidak penting. Cuba jawab seikhlas mungkin. Walaupun anda tiada jawapan lengkap ketika itu, layan pertanyaan mereka dan fikirkan penjelasan yang sesuai.
  • Jangan terlalu manjakan anak anda. Jangan berikannya perkara yang tidak perlu secara berlebihan atau melakukan tugas yang perlu dilakukannya sendiri. Tetapkan peraturan yang munasabah dan berikan mereka tanggungjawab. Sikap manja dan materialisme berlebihan boleh mengganggu perkembangan kerohanian anak anda. Mereka mungkin membesar menjadi orang dewasa yang merasa berhak mendapat lebih dari apa yang mereka layak, tidak bersyukur dan materialistik, dan tidak dapat mencari makna yang lebih besar dalam kehidupan.
  • Tunjukkan teladan. Cara pengasuhan anda mestilah seiring dengan nilai kerohanian dan perlu dibuktikan melalui tindakan anda. Contohnya, jika anda ingin mengajar anak anda tentang sikap pemurah, tunjukkan sikap pemurah terhadap mereka yang meminta pertolongan anda. Jika anda mahu mereka mengamalkan kewajipan agama, pimpin mereka dan libatkan semua ahli keluarga.

Ibu bapa perlu memahami peranan mereka sebagai guru pertama bagi anak-anak mereka. Dalam hal prinsip hidup dan bimbingan moral, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada anak-anak. Tetapi ibu bapa juga perlu mendapatkan bimbingan yang betul daripada pakar agama dalam hal keagamaan dan kepercayaan, sepertimana anda akan merujuk doktor dalam hal melibatkan kesihatan anak anda.

Anak dengan nilai kerohanian lebih cenderung merasa tenang, rasa ingin tahu, berdaya tahan dan optimis, serta mempunyai empati dan keterhubungan yang lebih kuat dengan orang di sekitar mereka. Selain perkembangan fizikal, emosi, intelektual dan sosial kanak-kanak, perkembangan kerohanian mereka juga satu aspek penting yang perlu diambil kira dalam strategi pengasuhan. Kerohanian ialah satu cara untuk kita mengatasi cabaran dan kesukaran dalam kehidupan seharian serta membantu kita membesarkan anak-anak menjadi individu yang lebih baik.

“Yang perlu ibu bapa wariskan kepada anak mereka bukanlah harta, tapi jiwa yang mulia.” – Plato

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen