Pengasuhan Positif

Menguatkan Sistem Imun Anak daripada Penyakit Berjangkit

Sistem imun yang kuat bergantung kepada pelbagai faktor. Salah satunya ialah kesihatan penghadaman usus yang baik. Kenyataan ini akan mencetuskan beberapa soalan; apakah kaitan kedua-dua perkara tersebut, dan bagaimanakah anda boleh meningkatkan kesihatan penghadaman usus anak anda?

Perkara asas untuk kesihatan yang baik sememangnya cukup mudah dari segi teori, iaitu pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat, kerap bersenam, minum air yang mencukupi setiap hari, pengurusan stres yang baik dan masa tidur yang mencukupi. Namun, apa yang mungkin anda tidak sedari adalah kepentingan ‘mikrobiota usus’ yang melibatkan sejumlah trilion mikroorganisma yang hidup dalam ekosistem usus kita.

Mikrobiota usus mempunyai pelbagai fungsi dan membantu badan anak anda bukan hanya untuk menghadam dan mencernakan makanan serta mengekstrak khasiat, tetapi ianya juga boleh mempengaruhi sistem imun.

Malah, usus bertindak sebagai organ pertahanan pertama semasa melawan sebarang bentuk penyakit. Tokoh perubatan Yunani Hippocrates yang digelar sebagai Bapa Perubatan, pernah mengatakan bahawa “Semua penyakit bermula dari usus”.

Sistem imun dan kesihatan penghadaman

Sebanyak 80% daripada sistem imun kita terletak di usus atau juga di kenali sebagai saluran gastrousus dan mikrobiota usus memainkan peranan besar mempengaruhi sistem itu. Persoalannya, bagaimanakah bakteria baik dalam mikrobiota usus itu membantu sistem imun kita?

Bagaimana bakteria baik membantu sistem imun kita:

  • Bakteria baik membentuk satu lapisan perlindungan pada dinding usus yang mencegah kuman atau jangkitan daripada menembusi usus.
  • Bakteria baik juga boleh menghantar isyarat kepada sel imun badan kita apabila terdapat kehadiran patogen yang menyebabkan jangkitan kuman. Sel imun kemudiannya menyerang secara langsung ke atas kuman tersebut.

Pada asasnya, bakteria baik yang berada dalam mikrobiota usus kita membantu sistem imun kita. Walaupun bakteria baik itu tidak semestinya menjadi barisan hadapan dalam memerangi bakteria tidak baik atau kuman, mikrobiota usus merupakan salah satu benteng pertahanan untuk menguatkan sistem imun badan kita.

Oleh itu, untuk mengekalkan tahap kesihatan penghadaman anak anda agar sentiasa optimum, mikrobiota usus haruslah mempunyai kadar bilangan bakteria baik yang tinggi di dalam ekosistem usus. Kajian telah menunjukkan bahawa keseimbangan mikrobiota usus yang sihat dapat menguatkan sistem imun lalu meningkatkan kualiti kehidupan kita. Peningkatan ini mungkin dapat dilihat dalam perkara yang kecil seperti mencegah atau mengurangkan berlakunya cirit-birit yang dikaitkan dengan antibiotik. Pada tahun 2018, satu kajian tempatan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik GUT dari fakulti perubatan UKM serta Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menunjukkan bahawa probiotik dalam bentuk minuman susu berkultur telah membantu mengurangkan simptom penyakit usus rengsa.

Mikrob kecil yang hebat

Bagaimanakah anda boleh mencapai keseimbangan mikrobiota usus untuk anak anda? Di samping asas kesihatan yang baik, pastikan makanan kaya dengan probiotik adalah sebahagian daripada dietnya, seperti kimchi, tempe, yogurt dan minuman susu berkultur. Probiotik merupakan ‘bakteria baik’ yang boleh memberikan manfaat positif kepada kesihatan apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi.

Sesetengah kajian juga telah mendapati bahawa penyakit berjangkit seperti influenza, boleh memberikan kesan buruk kepada mikrobiota usus. Ianya disebabkan oleh ketidakseimbangan dalam nisbah bakteria baik dan tidak baik. Kekurangan bakteria baik ini akan menjejaskan kesihatan penghadaman kita, sekaligus juga akan menjejaskan kesihatan kita secara keseluruhannya.

Dengan penyakit berjangkit seperti influenza yang berlaku secara kerap sepanjang tahun, terdapat beberapa langkah pencegahan tertentu yang anda perlu amalkan, terutamanya semasa wabak yang menyerupai influenza seperti pandemik COVID-19. Amalan ini adalah penting untuk menghindarkan seseorang dari gejala wabak:

  • Kurangkan kontak rapat dan/atau sentuhan dengan orang lain; amalkan penjarakan sosial.

  • Pakai penutup mulut dan hidung semasa keluar (untuk melindungi anda daripada jangkitan dan melindungi orang lain jika anda sakit).

  • Elakkan menyentuh mulut, mata dan hidung anda terutamanya selepas menyentuh permukaan yang mungkin tercemar semasa di luar.

  • Sediakan makanan berkhasiat untuk keluarga anda dan minum air dengan secukupnya, terutamanya jika anda terpaksa duduk di rumah kerana kuarantin atau mematuhi perintah kawalan pergerakan.

  • Elakkan berkumpul di tempat yang ramai bilangan orang.

  • Elakkan perjalanan ke luar negara jika tiada keperluan

  • Amalkan kebersihan yang baik (sanitasi tangan, pembasuhan tangan yang betul, dan sebagainya).

  • Amalkan senaman di rumah untuk kekal sihat.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen