Pengasuhan Positif

Menangani Ekzema Anak Anda

Atopik dermatitis, lazim dikenali sebagai ekzema, merupakan masalah kulit umum yang menjejaskan lebih kurang 10-20% kanak-kanak seluruh dunia. Ekzema bukannya sekadar kulit kering, tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan yang amat serius akibat rasa gatal dan ingin menggaru.

Kebanyakan kanak-kanak mengalami ekzema sebelum hari jadi pertama mereka. Walau bagaimanapun, ekzema boleh tercetus selewat umur 5 tahun. Kajian telah menunjukkan bahawa ekzema biasanya akan pulih dengan peningkatan umur kanak-kanak. Namun, bagi sebahagian kanak-kanak (lebih kurang 20-25%), ekzema mungkin berlarutan sehingga dewasa dengan gejala yang datang dan pergi. Ekzema bukanlah sejenis alahan (walaupun mungkin berkaitan) dan tidak berjangkit.

Gejala utama ekzema adalah rasa gatal yang amat teruk. Gejala yang lain adalah seperti berikut:

  • Kulit gatal, kering dan bersisik
  • Ruam, biasanya di pipi, dahi, leher, lipatan tangan dan kaki
  • Bonggol/lepuh kecil yang berair
  • Perubahan warna kulit (kemerahan atau pigmentasi)
  • Jangkitan kuman pada kulit

Punca dan pencetus

Punca ekzema yang sebenar masih lagi dalam kajian dan mungkin berkaitan dengan tindakan imun yang terlalu aktif terhadap perengsa tertentu. Selain itu, antara punca lain adalah faktor genetik, termasuklah mewarisi masalah kulit kering, ekzema, asma, atau demam alahan daripada seorang atau kedua-dua ibu bapa. Risiko lain adalah dari persekitaran tempat tinggal (kawasan bandar atau iklim sejuk lebih berisiko) dan jantina (lelaki lebih cenderung).

Faktor-faktor yang boleh mencetuskan ekzema termasuk:

  • Pakaian dengan fabrik kasar
  • Jangkitan bakteria, kulat atau virus
  • Tekanan atau alahan pada makanan yang tertentu
  • Alergen seperti bulu/kelemumur haiwan, debunga atau hama debu
  • Suhu yang amat panas atau sejuk
  • Perengsa seperti sabun, bahan cuci atau minyak wangi

Tip rawatan ekzema

Ekzema boleh ditangani dengan mengawal atau mengenal pasti pencetus.

  • Kegatalan boleh dikawal dengan melembapkan kulit sekerap yang mungkin.
  • Lindungi kulit dengan pakaian yang selesa dan lembut seperti kain kapas atau sutera. Elakkan daripada kain fabrik kasar seperti fabrik bulu dan sintetik.
  • Elakkan aktiviti-aktiviti yang membuatkan mudah berpeluh, atau perubahan mendadak pada suhu atau kelembapan.
  • Kekalkan suhu dan tahap kelembapan persekitaran yang selesa. Gunakan pelembap udara atau pendingin hawa di dalam rumah.
  • Gunakan pencuci dan pelembut fabrik bebas sabun yang sesuai dan elakkan minyak wangi.
  • Dapatkan nasihat doktor untuk mengenal pasti dan mengawal alahan makanan.
  • Pastikan kuku anak anda dipotong pendek untuk mengelakkan kecederaan kulit semasa menggaru yang boleh membawa jangkitan kuman.

Langkah untuk menangani

Rawatan ekzema hendaklah ditumpukan pada hidrasi dan kelembapan kulit. Penggunaan losyen atau krim yang kerap (minimum tiga kali sehari) dapat mengawal kekeringan kulit dan mengurangkan rasa gatal. Melembabkan kulit menggunakan losyen dari masa ke semasa terbukti akan mengukuhkan tahap perlindungan kulit lalu mencegah kulit kering dan radang. Krim pelembap harus disapu setiap kali selepas mandi dan sebelum tidur untuk mengekalkan kelembapan.

Ekzema yang serius boleh dikawal dengan krim anti-radang seperti krim kortikosteroid atau bukan steroid yang biasanya dipreskripsi oleh doktor untuk mengawal radang dan rasa gatal. Krim antibiotik pula di preskripsikan jika kulit dijangkiti kuman bakteria. Rawatan lain seperti antihistamin digunakan untuk mengurangkan rasa gatal yang teruk setengah jam sebelum tidur. Rawatan sistemik seperti sinaran UV (fototerapi) juga adalah kaedah rawatan bagi ekzema yang serius.

Ekzema yang tidak terkawal boleh menyebabkan kegatalan yang mengganggu keselesaan tidur anak anda pada waktu malam serta tumpuannya di sekolah keesokan harinya. Ekzema yang serius boleh mempengaruhi kualiti hidup kanak-kanak. Ekzema juga boleh menjejaskan aktiviti luaran atau sukan. Pemahaman dan cara penjagaan kulit yang rapi, serta sokongan ibu bapa amatlah penting untuk membantu menangani ekzema dalam kalangan kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen