Pengasuhan Positif

Rutin Tandas yang Baik

Membuang air mungkin kedengaran remeh, tetapi sebenarnya sangat penting dalam hidup kita. Tabiat membuang air besar dan kecil yang sihat ialah kunci kepada proses penghadaman, perkumuhan dan kesihatan keseluruhan yang baik. Oleh itu, ibu bapa harus memupuk dan menggalakkan rutin tandas yang baik untuk anak-anak seawal mungkin.

Adakah mereka bersedia?

Kebanyakan kanak-kanak akan bersedia untuk memulakan latihan tandas pada usia 18-24 bulan. Tanda- tanda berikut akan membantu anda mengenal pasti anak anda sudah bersedia:

  • Mampu “menahan” air kecil/besar dan mengekalkan lampin yang kering sehingga dua jam
  • Memberitahu ibu bapa dengan perkataan/isyarat apabila lampin sudah kotor
  • Mula tidak suka memakai lampin atau meragam apabila lampin kotor
  • Menunjukkan minat untuk menggunakan tandas atau memakai seluar dalam
  • Lebih berdikari (contohnya boleh memakai dan membuka seluar sendiri) dan mampu mematuhi arahan mudah

Masa untuk latihan

Latihan tandas wajar dimulakan apabila tiada perubahan besar yang bakal berlaku dalam kehidupan keluarga anda (seperti kelahiran baharu atau berpindah ke rumah baharu). Kebiasaannya, kanak-kanak mengambil masa sekitar 3-6 bulan untuk membiasakan diri menggunakan tandas. Berikut ialah beberapa tip untuk latihan tandas:

  • Tetapkan waktu rutin untuk ke tandas. Ini termasuklah selepas bangun atau makan, serta sebelum tidur atau keluar rumah. Minta anak anda duduk di atas bekas buang air (potty) atau tandas sehingga lima minit, tetapi jangan memaksanya jika dia tidak rasa mahu buang air.
  • Suruh anak anda ke tandas apabila anda menyedari tanda atau isyarat yang dia perlu membuang air, seperti menyilang kaki, bercangkung, membuang angin, perubahan pada postur badan atau riak wajah, atau apabila dia mengasingkan diri.
  • Pastikan bajunya mudah dibuka sendiri. Pakaikannya seluar bergetah elastik, bukan baju romper/jumpsuit (baju bercantum dengan seluar).
  • Puji usahanya untuk menggunakan tandas, terutamanya apabila berjaya. Kesilapan akan berlaku, tetapi jangan mendenda anak anda atau menunjukkan kekecewaan.
  • Tandas harus selesa dan selamat untuk digunakan. Sediakan bangku kaki dan kerusi bekas buang air untuk anak anda. Pastikan pencahayaan cukup terang dan bau tandas wangi menggunakan penyegar udara. Tisu atau sabun perlu mudah dicapai agar dia boleh belajar menggunakannya.

Tabiat baik untuk kehidupan

Amalan membuang air yang baik bermanfaat untuk penghadaman yang teratur dan kesihatan secara keseluruhan. Apa yang kita makan akan keluar semula. Langkah seterusnya adalah memupuk anak anda agar mengamalkan tabiat membuang air secara teratur dan dengan mudah.

  • Arahkan anak anda untuk segera ke tandas apabila dia mahu buang air kecil atau besar. Menahan air kecilnya boleh mengakibatkan jangkitan salur kencing dan menahan air besar boleh mengakibatkan sembelit.
  • Posisi buang air yang baik akan memudahkannya membuang air. Ajarkan anak anda mencondongkan badan ke depan dan mengangkat sedikit kakinya ketika duduk di atas jamban. Menggunakan bangku kaki berguna untuk mendapatkan sudut yang baik.
  • Senaman yang kerap menyumbang kepada penghadaman yang sihat. Kanak-kanak berusia 6-17 tahun disyorkan melakukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal setiap hari.

  • Pastikan anak anda terhidrat. Minum air secukupnya akan membantu melembutkan najis dan memudahkan penghadaman.

  • Pengambilan serat pemakanan daripada tumbuhan juga penting untuk meningkatkan kepadatan najis dan memudahkan proses membuang air. Pastikan anak anda mengambil serat daripada bijirin penuh, sayuran dan buahan secukupnya.

  • Mengambil probiotik boleh membantu mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus yang penting bagi penghadaman dan kesihatan keseluruhan. Satu kajian tempatan pada 2018 mendapati bahawa pengambilan probiotik L. acidophilus dan L. paracasei yang ditemui dalam minuman susu berkultur berkesan dalam melegakan simptom sembelit, menjadikan najis lebih lembut, memudahkan teran dan menyingkatkan waktu dalam tandas.

Menggunakan tandas ialah perbuatan yang kecil namun penting dalam kehidupan seharian kita. Membuang air besar dan kecil berperanan penting dalam mengekalkan fungsi tubuh badan. Anak anda perlu diajar rutin tandas yang baik sejak awal – ini penting bagi kesejahteraan dan kualiti hidupnya. Tidak lupa juga, amalan kebersihan yang baik. Ajarkan anak anda agar membersihkan diri dengan betul menggunakan air atau tisu tandas, dan sentiasa membasuh tangan selepas menggunakan tandas bagi mencegah jangkitan kuman dan penyakit.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen