Pengasuhan Positif

Pembantu Cilik Anda

Kerja rumah bertambah apabila keluarga semakin besar. Sesetengah keluarga mempunyai pembantu rumah, tetapi menugaskan kerja rumah kepada anak mengajarkan bahawa mereka harus menyumbang agar rumah yang didiami sentiasa bersih. Kerja rumah juga penting untuk perkembangan dan peralihan ke alam dewasa apabila mereka mula hidup sendiri.

Mengembangkan perwatakan

Selain melengkapkan mereka dengan kemahiran penting untuk menjadi orang dewasa yang berdikari, kerja rumah juga boleh membentuk dan mengembangkan perwatakan mereka. Dengan kerja rumah, mereka mempelajari kepentingan kebersihan, pengurusan masa dan juga rasa hormat pada harta benda.

Melakukan kerja rumah juga boleh meningkatkan kemahiran sosial. Kanak-kanak belajar berkomunikasi secara jelas, berunding, dan bekerjasama dengan orang lain, terutamanya apabila kerja rumah dilakukan dengan keluarga. Apabila setiap ahli keluarga menyumbang, kerja rumah disiapkan dengan lebih cepat dan seluruh keluarga boleh meluangkan lebih banyak masa untuk aktiviti lebih menarik. Menyiapkan tugas juga dapat meningkatkan keyakinan diri, kecekapan dan juga sikap bertanggungjawab.

Langkah permulaan

Anak-anak akan mencari alasan untuk melepaskan diri daripada kerja rumah, terutamanya apabila semakin membesar. Biasakan mereka dari kecil dengan petua-petua ini.

  • Sesuai dengan umur. Kerja rumah diberikan harus sesuai dengan umur dan mengambil kira kebolehan mental dan fizikal mereka.

  • Beri arahan jelas. Arahan tidak jelas mengakibatkan salah faham dan salah jangkaan. Contohnya, apabila anda berkata “Tolong kemas bilik awak”, mereka mungkinmemahaminya sebagai hanya mengemas katil, tetapi anda sebenarnya mahu mereka menyusun baju, mengemas buku dan mengosongkan bakul sampah juga.
  • Tetapkan jadual. Sediakan senarai kerja rumah tetap (harian atau mingguan), bahagikannya secara adil antara anak- anak dan tetapkan giliran. Tampal di tempat yang boleh dilihat semua orang dan biarkan mereka menanda tugas yang sudah siap. Jadikan jadual itu menarik!
  • Lakukan bersama-sama. Mulakan dengan menunjukkan cara melakukan sesuatu tugas. Kemudian, lakukannya bersama dan selepas itu biarkan mereka lakukan sendiri. Tugas besar seperti membasuh kereta, membersihkan taman, dan melipat baju lebih seronok dilakukan beramai-ramai.
  • Puji usaha mereka. Anak-anak lebih terdorong untuk membantu apabila ibu bapa memperakui dan menghargai usaha mereka. Ucaplah terima kasih dan peluk mereka.
  • Bertenang. Elakkan daripada terlalu memaksa atau tegas.

Gunakan kaedah “apabila/barulah”. Contohnya, “Apabila siap melipat kain, barulah awak boleh tonton TV.” Jangan tekankan kesempurnaan atau melakukan semula tugas itu melainkan perlu; jika tidak, mereka hanya akan harapkan anda untuk siapkan tugas itu.

Mengaitkan kerja rumah dengan elaun?

Kebanyakan pakar pengasuhan tidak mengesyorkan pemberian elaun kerana melakukan kerja rumah, terutamanya semasa anak- anak masih kecil. Kerja rumah adalah tentang tanggungjawab dan kemahiran hidup. Apabila semakin membesar, galakkan mereka melakukan kerja rumah selain rutin dengan pengukuhan positif dan ganjaran, tetapi cuba elakkan ganjaran kewangan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen