Pengasuhan Positif

Membesarkan Anak dengan EI yang Kuat

Kecerdasan emosi (emotional intelligence, EI) adalah kebolehan mengguna pakai maklumat berkaitan emosi secara wajar. EI yang tinggi dipercayai membolehkan seseorang menghadapi situasi penuh tekanan dan emosi dengan lebih baik oleh kerana berkebolehan membezakan dan menilai emosi dengan lebih baik, mampu menyuarakan perasaan secara kompeten, dan boleh menyesuaikan perasaan mengikut situasi.

EI yang tinggi membantu anak anda menghadapi kejadian besar dalam hidup, contohnya kematian atau penyakit serius yang dihidapi orang tersayang atau haiwan kesayangan. Dia akan lebih berdaya tahan menghadapi cabaran hidup. Daya tahan (resilience) ialah kebolehan menghadapi cabaran hidup, bangkit semula daripada kejadian tragik, dan meneruskan hidup. Dalam rencana fokus kali ini, kita akan melihat faktor dalaman yang mempengaruhi daya tahan seseorang, iaitu kecerdasan emosinya.

Memupuk EI

Kemahiran yang membentuk asas EI harus diajarkan kepada anak-anak dari kecil dan harus dilakukan berdasarkan tahap kematangan anak, bukan umur fizikal mereka. Gunakan pendekatan praktikal berdasarkan senario dunia sebenar, bukan penjelasan teori. Menurut Prof Madya Dr Alvin Ng, Pakar Psikologi Klinikal, membantu anak anda mengenali emosi mereka sendiri (contohnya, marah, kecewa, cemburu, dan lain-lain) membolehkan mereka bertanggungjawab ke atas perasaan mereka. “Lakukan perkara ini dengan emosi negatif dan juga positif. Buatkan dia sedar akan emosinya dengan menamakan emosi itu, serta ajar bahawa emosinya boleh memberi kesan pada orang lain. Contohnya, jika seseorang berasa sedih, dia boleh menjejaskan emosi orang lain juga. Sama juga bagaimana seseorang yang ceria boleh menceriakan hari orang lain,” katanya.

“Kanak-kanak mula mempelajari dan memahami EI pada awalnya melalui cerita, yang membantu mereka mengaitkan diri dengan orang lain. Pendedahan EI yang awal ini harus menjadi proses berterusan serta melibatkan latihan emosi, jadi ibu bapa harus berhubung secara mendalam dengan anak-anak dari segi emosi. Yang penting adalah untuk memahami dan membantu anak-anak menangani dan menzahirkan emosi mereka secara wajar,” katanya.

Ibu bapa sebagai teladan

Benar bahawa ‘bapak borek, anak rintik’; Dr Alvin berkata cara terbaik untuk memupuk EI adalah dengan menjadi contoh. “Mulakan dengan berkongsi emosi anda dengan anak-anak. Jangan hadkan hanya kepada emosi yang ‘besar’ seperti kegembiraan atau kemarahan. Kongsikan perasaan yang ‘kecil’ juga seperti ketenangan atau kejengkelan. Biar mereka lihat bagaimana anda menghadapi kemarahan atau kekecewaan. Paling penting, jangan abaikan emosi positif! Ia dapat membantu jika anda menganggap cara anda menghadapi emosi sebagai sesi bercerita,” katanya.

Presiden Pengasas Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP) juga memberi amaran kepada ibu bapa tentang menyalahkan anak kerana membuatkan ibu bapa marah, sedih, atau kecewa. Walaupun tindakan atau perlakuan anak mungkin menjadi penyebabnya, emosi yang terjejas adalah emosi ibu bapa sendiri. Dalam kata lain, anda bertanggungjawab terhadap perasaan anda sendiri. Mempelajari pencetus emosi sendiri akan membantu mengawal dan menguruskan emosi dengan lebih baik.

Cara memupuk EI dalam anak-anak

  • Kesedaran kendiri: Galakkannya untuk menyedari, memperakui dan menerima emosinya tanpa prejudis. Mengamalkan sikap prihatin berguna untuk membantunya memperoleh kesedaran dan kefahaman emosi yang lebih baik. Lakukan muhasabah diri bersama-sama sebelum tidur untuk bertanyakan soalan seperti “Apa yang saya rasa?”, “Apa penyebabnya?”, dan “Adakah ia buatkan saya rasa sakit?” (contohnya, bahu tegang, menggenggam tangan, mengetap gigi, berasa letih secara mental atau fizikal, berasa takut atau girang). Apabila dia sudah menentukan apa yang dia rasa, dia akan mengenal pasti emosi ini. Seterusnya, dia harus meneroka apa yang menyebabkan perasaan-perasaan ini.
  • Pengurusan kendiri: Kawalan kendiri membentuk bahagian penting dalam pengurusan kendiri. Ia tentang mengenalpasti emosi dan bertindak balas secara wajar, BUKAN menyembunyikan atau memendam emosi. Pengurusan kendiri yang lemah boleh membawa kepada tindakan melulu dan tidak wajar apabila dicetuskan oleh emosi yang kuat. Ideanya adalah untuk mengajar anak cara menguruskan emosi menerusi keputusan atau tindakan yang membina dan mudah suai. Kebolehan ini akan membantunya mengawal perlakuan impulsif, mengurus emosi secara sihat, dan menyesuaikan diri dalam situasi berbeza.
  • Kesedaran sosial: Kebolehan mengenali dan menafsir isyarat bukan lisan daripada orang lain dalam lingkungan sosialnya menjadikannya mampu menafsir dinamik kumpulan dengan lebih baik. Kemahiran yang diperlukan serupa dalam hubungan ibu bapa-anak iaitu, mendengar secara aktif, menumpukan interaksinya dengan orang lain, mengenal pasti emosi orang lain, dan menghormati perasaan mereka.
  • Pengurusan hubungan: Kebolehan bersosial secara efektif berasaskan daripada kesedaran emosi dan kebolehan seseorang untuk berempati dengan orang lain. Kemahiran komunikasi bukan lisan bermanfaat dalam hubungan. Konflik dan percanggahan pendapat boleh berlaku semasa interaksi, maka mempelajari cara menyelesaikannya dengan memahami dan berkomunikasi dengan sihat adalah penting. Penggunaan jenaka dan permainan boleh mengurangkan tekanan dan menenangkan keadaan.

EI & Kemahiran Bersosial

Ibu bapa dan penjaga memberikan gambaran pertama tentang bersosial dan aspek EI lain kepada anak-anak. Dr Raja Juanita, Pakar Perunding Perkembangan dan Pakar Pediatrik Umum, yakin bahawa peranan ibu bapa penting dalam perkara ini. Dengan jagaan yang betul, anak anda akan melalui perkembangan mental dan emosi yang baik, belajar untuk menjadi lebih positif dan bersifat penyayang, mampu memupuk hubungan bermakna dengan orang lain, mampu menyelesaikan konflik, dan menguruskan tekanan.

Untuk mencapai ini, Dr Raja Juanita mengesyorkan ibu bapa memupuk sifat empati dalam diri sendiri.

  1. Kesedaran emosi: Prihatin dengan emosi anak anda dan anda sendiri. Akui dan terima emosinya, walaupun penyebab emosinya mungkin tidak masuk akal. Jangan nafikan emosinya dengan mencuba mengalihkan perhatiannya kepada perkara lain (seperti menawarkan gula-gula atau telefon pintar semasa dia sedih).
  2. Berhubung menerusi emosi: Emosi yang mencabar ialah peluang baik untuk berhubung dan melatihnya. Bersabarlah dan yakinkannya untuk meluahkan perasaan. Jika dia sedih tentang sesuatu dan tidak mampu meluahkannya, berikan dia masa untuk bertenang. Tumpukan perhatian padanya dan jangan alihkan perhatian kepada telefon anda. Dia akan sedar yang anda mengutamakannya dan akan meluahkan perasaannya.
  3. Berempati/mengakui emosinya: Jangan ambil ringan atau memperlekehkan emosinya. Berikan sepenuh perhatian anda dan dengar luahannya. Utarakan soalan apabila perlu, tetapi jangan cepat salah sangka dan mengganggunya semasa dia sedang bercakap.
  4. Akui dan namakan emosi: Kaedah yang berguna adalah untuk bertanya tentang apa yang dia rasakan terhadap emosi orang lain semasa menonton televisyen bersama-sama, contohnya, jika kamu Belle, apa yang kamu rasa apabila Beast memenjarakan anda? Dengan ini, anda akan tahu perasaannya jika situasi sama berlaku.

Seterusnya, ajarkannya cara menetapkan had dan carilah penyelesaian bersama. Beritahunya bahawa emosi boleh diterima, tetapi perlakuan tidak baik tidak boleh diterima, contohnya tidak mengapa marah kepada seseorang, tetapi tidak boleh memukulnya. Berikan panduan bagaimana menghadapi emosi dengan:

  • Merenungi perlakuannya yang lepas akibat emosi tertentu (contohnya, memukul adik ketika berebut mainan)
  • Memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dengan mencari penyelesaian alternatif (contohnya mengambil masa sendirian untuk mengelakkan perasaan marah, menghitung sehingga 10, atau menarik nafas sebanyak 10 kali)
  • Berbincang bagaimana dia boleh bertindak pada masa depan (contohnya, menunggu giliran untuk bermain dengan mainan)
  • Mempelajari cara menetapkan had terhadap perlakuannya sendiri (contohnya berhati-hati dengan tindakannya akan membolehkannya mengawal perlakuan tidak baik menerusi kesedaran kendiri)

“Ia kedengaran rumit, tetapi ia mampu dilakukan. Ingat, ia akan ambil sedikit masa sebelum anak anda memahaminya, jadi bersabarlah. Ia kedengaran mudah tetapi ia memerlukan latihan, jadi anak-anak perlukan peringatan,” katanya.

Di samping itu, ibu bapa dan penjaga juga seharusnya menyediakan anak-anak dengan pujian positif yang realistik, wajar, khusus dan mempunyai penjelasan. Cara anda menyampaikannya akan menentukan sama ada ia berkesan atau tidak. Daripada mengatakan “Kamu bermain piano dengan baik sekali”, jadilah lebih khusus dengan mengatakan “Berlatih setiap hari nampaknya memberi kesan, lagu terakhir yang kamu mainkan bagus sekali”. Pujian tidak akan berkesan jika dia mempunyai kepercayaan negatif yang bertentangan dengan pujian anda. Semakin besar jurang antara fikiran sedar dan bawah sedar, semakin teruk dia akan rasa, maka jadilah realistik.

“Tunjukkan kasih sayang dan hormat kepadanya. Hormat ialah cara anda melayan orang lain, jadi jelaskan kepadanya terdapat sempadan dalam menyuarakan pendapatnya. Jika dia mahu membalas kata-kata, ia harus dilakukan dengan penuh hormat. Elakkan memarahinya di tempat awam tak kira apa umurnya dan lakukannya secara tertutup dan hormat. Ingat, cara anda menegurnya juga satu pengajaran baginya – jadilah tegas tetapi penuh kasih sayang. Jadikan diri anda sebagai contoh dan tunjukkan kepadanya kasih dan hormat sebagaimana yang anda inginkan daripadanya,” katanya.

Memastikan yang dia rasa selamat juga penting, kerana keselamatan emosi membantu membina daya tahan. Mendapat jagaan yang responsif dan konsisten daripada ibu bapa dan penjaga membantunya mengembangkan sikap positif terhadap diri sendiri dan orang lain, yang akan membantu keyakinan diri dan kebolehannya untuk mempercayai orang lain. “Semuanya bergantung kepada kepercayaan dalam hubungan ibu bapa dan anak. Anda boleh mencapainya dengan bersedia untuk mendengar dan berinteraksi dengannya secara konsisten. Dia akan menganggap anda sebagai ‘zon selamatnya’. Bersedia untuk memberikan peluang kepadanya untuk meneroka dunia dengan caranya sendiri, tetapi sentiasa ada untuknya semasa dia memerlukan,” katanya.

Dengan mempersiapkan anak anda dengan semua ini, anda mengurangkan risiko berlakunya keresahan dan kemurungan, yang boleh menjejaskan kebolehan berfungsi di rumah, sekolah, atau di tempat lain.

Jangan abaikan kesihatan mentalnya

EI yang kuat dapat membantu anak anda menjadi lebih berdaya tahan dan dapat menumpukan pembelajaran, menyelesaikan masalah dan membina hubungan sosial yang positif dengan lebih baik. Semua ini akan menambah baik kemahiran yang diperlukan apabila dewasa. Bagaimanapun, Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, menasihati ibu bapa agar tidak mengabaikan kesihatan mental anak mereka.

“Ibu bapa harus sanggup meluangkan masa dengan anak-anak mereka, dan lebih penting lagi, memerhatikan mereka. Ini penting bagi hubungan ibu bapa dan anak dan membolehkan anda mengawasi keadaan emosi anak anda serta membantu mengaitkannya dengan perlakuan,” kata Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik tersebut.

“Manusia akan membuat kesilapan, dan ibu bapa boleh membuat kesilapan akibat emosi yang kuat. Bagaimanapun, jangan purapura seperti ia tidak berlaku atau membuat alasan. Memperakui apa yang berlaku dan cuba perbaiki sebarang kerosakan dalam hubungan anda. Ini membantu mewujudkan suasana yang lebih terbuka dan memberi kebaikan kepada ikatan ibu bapa dan anak,” katanya.

Pada masa sama, ibu bapa tidak harus mengabaikan emosi sendiri. Jangan ambil ringan tentang perasaan anda. Berikan ruang untuk emosi dalam diri anda tetapi berikan juga masa untuk memprosesnya. Mungkin sukar untuk menjelaskan kepada anak anda tentang seluruh proses ini tetapi ia mungkin membantu jika anda berbincang dengannya kemudian. Ini mungkin tidak ternilai baginya, terutamanya jika ia emosi yang sukar baginya. “Memahami emosi anda sendiri adalah penting sebelum anda memulakan latihan emosi untuk anak anda bagi menguatkan ketahanannya,” katanya. Ambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan profesional jika anda menghadapi kesukaran. Jangan tunggu sehingga ia menjadi semakin teruk kerana ia akan mengambil lebih masa untuk diperbaiki, dan juga memerlukan wang yang lebih banyak!

Oeh Prof Madya Dr Alvin Ng Lai Oon, Pakar Psikologi Klinikal dan Presiden Pengasas Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP); Dr Raja Juanita Raja Lope, Pakar Perunding Perkembangan dan Pakar Pediatrik Umum; Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen