Pengasuhan Positif

Pemakanan Sihat Mencegah Kebantutan

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, prevalens kebantutan dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun di Malaysia meningkat daripada 17.2% (2006) kepada 20.7% (2016). Statistik ini menunjukkan kebantutan masih menjadi isu dalam kesihatan awam, di mana 1 dalam 5 kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami kebantutan di negara ini.

Kebantutan didefinisikan sebagai ketinggian yang rendah berbanding purata bagi umur kanak-kanak, iaitu lebih daripada dua sisihan piawai di bawah median Piawaian Tumbesaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kebantutan ialah malpemakanan kronik yang biasanya tidak dapat dipulih, dan boleh membawa kepada masalah lebih serius jika langkah pencegahan tidak diambil. Adakah anak anda sebahagian daripada statistik itu?

Kurang pemakanan, lemah pertumbuhan

Kunci untuk menangani isu kebantutan adalah dengan mengetahui sebab-sebabnya. Semua faktor di bawah boleh berinteraksi bagi menghalang tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak dan membawa kepada kebantutan.

  • Kesihatan dan pemakanan ibu yang kurang baik sebelum, semasa dan selepas kehamilan boleh merencat tumbesaran awal kanak-kanak bermula dari dalam kandungan.
  • Faktor maternal lain, seperti kehamilan muda dan jarak antara kehamilan yang singkat boleh mengganggu pembekalan nutrien kepada janin.
  • Amalan pemakanan bayi yang tidak optimum, ini termasuklah penyusuan susu ibu secara tidak eksklusif dengan memperkenalkan makanan dan air terlalu awal, dan juga pemberian makanan pelengkap yang tidak mencukupi, tidak wajar untuk umur atau tidak tepat pada waktunya.
  • Jangkitan dan sakit yang berulang, seperti cirit-birit, akibat kebersihan dan sanitasi yang tidak baik.
  • Faktor lain termasuklah kemiskinan isi rumah, kekurangan makanan, pengabaian dan kekurangan rangsangan ibu bapa atau penjaga, akses kemudahan kesihatan yang kurang baik dan tidak responsif ketika memberi makan.

Kesan jangka panjang

Kebantutan bukan sahaja masalah ketinggian untuk umur. Ia juga boleh mengakibatkan:

  • Kelewatan dalam perkembangan kognitif dan fizikal, penurunan dalam kebolehan mental dan kapasiti pembelajaran, lalu menyebabkan prestasi lemah di sekolah.
  • Peningkatan risiko berat badan berlebihan dan obesiti serta penyakit kronik berkaitan pemakanan (seperti diabetes, penyakit jantung) yang menyebabkan penurunan produktiviti harian kelak dewasa.
  • Sistem imun yang lemah, menyebabkan pengambilan cuti sakit yang lebih semasa kanak-kanak dan dewasa.

Bertindak

Kesan kebantutan biasanya tidak dapat dipulih selepas umur 2 tahun. Pilihan yang dibuat oleh ibu bapa akan mempengaruhi potensi tumbesaran dan perkembangan anak. Jadi, ibu bapa harus memastikan anak mereka menerima pemakanan yang sihat dan mencukupi bagi mencegah kebantutan.

Tumpu pada 1,000 hari pertama: Tingkap 1,000 hari, dari persenyawaan sehingga anak anda berumur dua tahun, adalah tempoh tumbesaran dan perkembangan yang kritikal. Menumpukan perhatian pada tempoh ini penting kerana kegagalan tumbesaran biasanya bermula di sini. Pastikan ibu dan juga bayi sihat dan menerima nutrien yang mencukupi semasa dan selepas kehamilan.

Memulakan makanan pelengkap tepat pada masanya: Menjelang 6 bulan, kebanyakan bayi sudah bersedia dari segi perkembangan untuk menerima makanan pelengkap kerana susu ibu sahaja sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga dan sesetengah nutrien mereka. Inilah masanya untuk memperkenalkan makanan pelengkap dan ia haruslah mencukupi, selamat dan sesuai dengan umur dari segi tekstur dan penyediaan makanan.

Penyusuan susu ibu secara eksklusif sehingga 6 bulan: Amalan penyusuan susu ibu yang optimum ialah asas kepada tumbesaran dan perkembangan anak yang sihat. Ini termasuklah penyusuan badan secara ekslusif selama 6 bulan yang dimulakan awal, kerap dan mengikut permintaan, serta meneruskan penyusuan sehingga dua tahun. Susu ibu menyediakan sumber nutrien dan perangsang tumbesaran yang lengkap untuk bayi, serta menyumbang kepada perkembangan sistem imun mereka.

Amalan pemakanan yang sihat: Berikan makanan yang pelbagai daripada semua kumpulan makanan termasuk makanan berasaskan tumbuhan (sayuran, buahan dan bijirin yang diperkaya) dan makanan berasaskan haiwan (tenusu, daging, ayam, ikan dan telur) semasa memberikan makanan pelengkap. Pastikan anak anda diberi makan 4-5 kali sehari, dan beransur-ansur tingkatkan kuantiti makanan. Makanan yang kaya nutrien, seperti susu yang tinggi dengan zat-zat penting yang menyokong tumbesaran, juga penting untuk menyokong kadar tumbesaran kanak-kanak yang pantas.

Memantau tumbesaran: Tumbesaran kanak-kanak boleh dipantau dengan mencatat tahap perkembangan mereka. Pengenalpastian kebantutan secara visual adalah agak sukar. Jadi, penting untuk mengukur ketinggian dan berat badan anak anda dengan kerap, dan bandingkannya dengan piawaian tumbesaran WHO. Suarakan sebarang kebimbangan berhubung tumbesaran anak anda kepada pakar pediatrik.

Kebantutan ialah gejala malpemakanan kanak-kanak yang paling tinggi prevalensnya, tetapi ia boleh dicegah. Kebantutan bermula awal, tetapi membawa kesan jangka panjang yang sukar dirawat terhadap perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak. Menyediakan pemakanan yang sihat dan mencukupi untuk kanak-kanak adalah penting bagi memastikan tumbesaran dan perkembangan yang optimum.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen