Isteri anda mengandungkan anak pertama anda dan anda mahu jadi bapa dan suami terbaik, tetapi anda tiada pengalaman menjaga bayi. Apa harus anda lakukan? Bagaimana harus anda bantu isteri anda serta menjadi bapa yang proaktif?
Selepas menerima berita isteri anda mengandung anak pertama, anda mungkin mempunyai banyak kebimbangan. Walaupun bayi hanya akan tiba 9 bulan lagi, anda boleh mula bersedia dari sekarang.
Mempersiapkan diri. Daftar kelas pranatal bersama isteri anda dan baca buku dan artikel sebagai panduan bagi pengalaman pertama anda sebagai bapa. Rujuk ibu bapa berpengalaman, seperti keluarga anda atau pengajar kelas kelahiran jika anda risau. Sediakan senarai perkara yang harus dilakukan dan siapkan beg yang diisi dengan barangan penting untuk waktu kelahiran. Rancang di mana bayi itu akan dilahirkan dan kaji laluan terbaik untuk ke hospital serta ambil kira keadaan trafik. Jika anda rasa tertekan, berbincanglah dengan isteri anda, kerana dia yang mengandung! Berkongsi kebimbangan juga membantu anda lebih saling memahami.
Bantu isteri anda. Wanita mengandung biasanya mengalami pelbagai emosi akibat turun naik hormon. Bantu isteri anda melalui perubahan fizikal dan mentalnya dengan mendengar dan meyakinkannya. Apabila kandungannya semakin membesar, lebih sukar untuk isteri anda bergerak, jadi bantulah dia dengan kerja rumah dan cuba penuhi setiap permintaannya. Pengalaman ini juga mempersiapkan anda untuk hidup dengan anak kecil dan tempoh ini adalah peluang latihan yang baik.
Rumah selamat dan selesa. Sediakan katil anak anda. Dapatkan alatan keperluan untuk bayi anda, seperti pembawa bayi atau kereta sorong bayi. Dapatkan kerusi kereta bayi yang berkualiti untuk perjalanan yang selamat. Pastikan rumah anda selamat untuk bayi anda apabila dia mula merangkak dan berjalan. Lakukannya langkah demi langkah tanpa tergesa-gesa menyiapkan segalanya kerana ia mungkin memakan kos yang banyak.
Hal kewangan. Ini waktu terbaik untuk merancang perbelanjaan anda, dengan mengambil kira kelahiran anak anda. Membesarkan anak memerlukan banyak wang, jadi berbincanglah dengan isteri anda secara jujur berkenaan kewangan. Ingat yang bayi cepat membesar dan ada perkara yang dia cuma perlukan sekejap sahaja. Pertimbangkan untuk dapatkan insurans kesihatan keluarga dan wujudkan dana pendidikan untuk bayi dengan bonus tahunan anda. Anda boleh bermula kecil-kecilan, yang penting adalah untuk bermula awal kerana perkara seperti insurans dan dana pendidikan akan lebih mahal apabila anak anda semakin besar.
Berhenti merokok. Ambil langkah untuk berhenti merokok sebelum bayi anda dilahirkan. Dapatkan bantuan menerusi program berhenti merokok seperti JomQuit. Jika anda tidak dapat berhenti sepenuhnya, jangan sesekali merokok berdekatan isteri mengandung atau bayi anda. Tukar baju anda selepas merokok, kerana asap rokok tertier boleh melekat di fabrik. Bayi yang terdedah dengan asap rokok lebih berkemungkinan mendapat jangkitan telinga, serangan asma kerap, dan meninggal dunia disebabkan Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS). Anda bukan sahaja harus berhenti untuk anak anda, tetapi juga untuk anda sendiri, kerana sudah pasti anda mahu hidup lama untuk melihat anak membesar, bukan?
Bayi baru lahir sangat sensitif dan perlukan perhatian. Isteri anda yang baru melahirkan anak pula masih lemah. Sebagai bapa, anda harus mampu menjaga bayi anda juga. Inilah masanya untuk mempraktikkan apa yang anda sudah pelajari. Menjadi ibu bapa adalah usaha berpasukan dan anda tidak patut membiarkan isteri anda menguruskan bayi sendirian.
Mendukung bayi. Ini mungkin kelihatan mudah atau menakutkan bagi sesetengah lelaki, tetapi ia aspek penting dalam keibubapaan dan mewujudkan hubungan antara bayi dan anda. Apabila mengangkat dan mendukung bayi, sokong kepala dan leher bayi dengan hati-hati. Jangan sesekali membawa objek panas atau tajam sambil mendukung bayi, dan dukunglah bayi dengan kedua-dua tangan apabila naik atau turun tangga.
Waktu mandi. Mandi 2-3 kali seminggu sudah cukup agar bayi baru lahir kekal bersih. Jika dia gemar mandi, sekali sehari sudah cukup. Memandikannya terlalu lama atau terlalu kerap boleh mengeringkan kulitnya. Anda boleh mula mandikannya dalam tab mandi bayi selepas tali pusat jatuh. Guna sabun bayi yang lembut jika perlu.
Menukar lampin. Lampin kotor adalah lumrah bagi ibu bapa. Lampin bayi perlu ditukar dengan kerap, bergantung kepada kekerapan dia buang air besar atau kecil, dan betapa sensitif kulitnya. Bayi boleh mendapat ruam lampin jika lampin yang penuh dibiarkan terlalu lama.
Menyusukan bayi. Bagi enam bulan pertama, isteri anda disarankan untuk hanya memberikan susu badan kepada bayi, tetapi anda boleh membantu dengan membuat bayi sendawa selepas menyusu. Jika isteri anda memerah susu badannya, anda boleh membantu menyusukan bayi dengan botol. Belajar cara menyahbeku dan menghangatkan susu badan serta cara membasuh dan memasang pam susu. Apabila bayi anda mula menerima makanan pelengkap, bergilirlah menyediakan dan memberi makanan kepada bayi.
Menjadi pembantu yang baik. Melahirkan anak menggunakan banyak tenaga dan isteri anda akan memerlukan masa untuk pulih. Dia mungkin boleh menguruskan bayi, tetapi sumbangan anda dalam melakukan kerja rumah amat dihargai. Beri perhatian kepada keperluan isteri anda, seperti mengurutnya atau membawa air semasa dia sedang menyusu. Komunikasi yang baik antara anda dan isteri sangat penting, terutamanya bagaimana menguruskan sesuatu benda.
Menjadi bapa buat pertama kali boleh membuat anda resah. Banyak perkara baru yang anda harus pelajari dan lakukan. Selain itu, masa peribadi anda dengan isteri mungkin berkurangan. Bagaimanapun, yang penting ialah waktu berkualiti yang dihabiskan dengan keluarga. Dengan semangat berpasukan, perjalanan anda sebagai ibu bapa akan menjadi perjalanan yang menggembirakan dan bermakna.
Sentiasa isi tab dengan air sejuk dahulu, kemudian air panas, dan gaulkan dengan baik agar tidak melecur. Rasa suhu air dengan pergelangan tangan atau siku. Jangan biarkan bayi anda tidak diawasi kerana bayi boleh lemas walaupun dalam air setinggi 2 inci (~ 5 cm). Bawa dia bersama jika anda perlu mengambil tuala atau menjawab telefon.
Komen