Pengasuhan Positif

Soalan-soalan Lazim Tentang Tanda Perkembangan

Menyaksikan senyuman atau langkah pertama anak anda biasanya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi ibu bapa. Memantau tanda-tanda perkembangan awal anak anda adalah penting untuk mengenal pasti bila intervensi diperlukan, namun terlalu risau tentang hal ini sering mengakibatkan kebimbangan yang tidak perlu.

Ibu bapa mungkin mempunyai soalan-soalan seperti: Pada usia berapakah anak saya mula bercakap? Tanda perkembangan yang mana sepatutnya muncul dahulu? Dan mengapa kanak-kanak lain mula berjalan lebih awal daripada anak saya? Bagi menjawab soalan-soalan ini, adalah penting untuk menyedari bahawa setiap anak adalah unik, dan memahami topik ini dengan lebih mendalam pula akan memberi ketenangan yang diperlukan kepada ibu bapa.

Mengapa kita perlu memantau?

Tanda-tanda perkembangan menjadi petunjuk kepada kesihatan perkembangan anak anda. Apabila tanda perkembangan mereka dicapai dalam jangka masa yang sepatutnya, ia bermakna anak anda sedang berkembang mengikut jangkaan. Ibu bapa dinasihatkan untuk memulakan pemantauan tanda-tanda perkembangan sejak usia 2 bulan hingga 5 tahun, dan beberapa cara seperti senarai semak manual atau aplikasi telefon pintar boleh digunakan untuk memudahkan tugas ini. Rekod ini boleh dikongsi dengan doktor anak anda semasa penilaian kesihatan untuk mengemaskini perkembangannya.

Mereka berjalan atau bercakap dahulu?

Ini bergantung. Kebanyakan kanak-kanak akan mula berjalan sebelum mengucapkan kata-kata mudah menjelang ulang tahun pertama mereka. Perbezaan dalam mencapai tanda perkembangan adalah normal selagi kemajuan dicapai pada masanya. Ibu bapa perlu memberi perhatian pada pencapaian-pencapaian asas yang membawa kepada tanda perkembangan terkemudian, seperti duduk dan berdiri sebelum berjalan, atau membebel dan bertindak balas kepada bunyi sebelum bercakap, untuk mengenal pasti jika terdapat kelewatan. Tidak ada bukti saintifik kukuh yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang bercakap awal akan lewat berjalan. Selain itu, kedua-dua kemahiran ini berkembang di bahagian otak yang berbeza.

Bagaimana jika sudah terlambat?

Kebanyakan kanak-kanak yang lewat mencapai tahap perkembangan akan masih mencapainya tak lama kemudian. Walaupun begitu, dalam hal yang melibatkan perkembangan anak anda, tindakan awal adalah penting untuk membolehkan intervensi bermula secepat mungkin. Intervensi awal telah didapati menyokong perkembangan kanak-kanak melalui proses neuroplastisiti, di mana otak berkemungkinan untuk beradaptasi dengan lebih baik semasa tempoh kritikal 1000 hari pertama kehidupan. Kelewatan dalam mencapai sebilangan atau semua tanda perkembangan, serta kehilangan kemahiran yang telah diperoleh boleh menjadi tanda-tanda awal masalah perkembangan.

Namun, sebelum membuat sebarang kesimpulan, lebih baik anda dapatkan nasihat perubatan untuk diagnosa yang tepat dan menentukan pelan rawatan. Pada awalnya, anda boleh berjumpa doktor keluarga atau pakar pediatrik, dan sekiranya perlu, atau untuk penentuan diagnosa secara lebih terperinci, anda boleh mendapatkan nasihat doktor perkembangan kanak-kanak ataupun doktor psikiatri kanak-kanak dan remaja. Dari segi rawatan, rujukan kepada terapi pertuturan, fizikal, cara kerja, atau tingkah laku mengikut kesesuaian dan panduan daripada pihak doktor boleh membantu anak anda memperoleh kemahiran baru. Di samping itu, memberi rangsangan perkembangan dan memulakan persekolahan merupakan langkah-langkah yang munasabah untuk dipertimbangkan.

Bagaimana pula jika terlalu awal?

Ibu bapa mungkin mempunyai tanggapan jika anak-anak mereka boleh berjalan atau bercakap lebih awal daripada biasa, mereka mungkin berbakat. Mencapai tanda perkembangan lebih awal adalah perbezaan yang normal dan kecerdasan tidak boleh diukur semudah itu. Kepercayaan pada pendapat ini mungkin memberi tekanan ke atas ibu bapa untuk memastikan prestasi terbaik daripada anak mereka sejak usia muda. Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk melihat tanda perkembangan sebagai batu loncatan bagi anak anda memperoleh kemahiran seterusnya dan bukan sebagai penanda kejayaan masa depan.

Memantau tanda perkembangan anak anda kadangkala boleh jadi meresahkan. Menerima kenyataan bahawa kemajuan setiap anak tidak sama boleh melegakan ibu bapa, lalu membolehkan anda untuk sentiasa menyediakan persekitaran yang membina perkembangan positif anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.