Pengasuhan Positif

Bahaya Influenza Semasa Kehamilan

Jika anda atau pasangan anda pernah hamil sebelum ini, anda pasti tahu bagaimana kehamilan menjadikan badan lebih mudah terkena penyakit. Salah satu ancaman biasa kepada wanita hamil dan anak dalam kandungan ialah influenza. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui tentang penyakit pernafasan ini, bagaimana ia boleh menjejaskan wanita hamil, dan cara untuk mencegahnya.

Bahaya kehamilan

Wanita hamil berisiko lebih tinggi untuk jatuh sakit berbanding wanita tidak hamil yang sama usia. Ini kerana sistem imun secara semula jadi lebih lemah semasa kehamilan, lalu meningkatkan risiko jangkitan, termasuk influenza. Wanita hamil juga lebih mudah mendapat influenza teruk akibat perubahan sistem imun, jantung, dan paru-paru semasa mengandung. Selain itu, influenza juga mendatangkan bahaya kepada bayi dalam kandungan yang sedang berkembang.

Gejala-gejala

Berikut adalah beberapa gejala influenza yang biasa dalam kalangan wanita hamil:

●      Demam sederhana atau tinggi secara mengejut

●      Menggigil

●      Batuk kering

●      Hidung berair

●      Hidung tersumbat

●      Sakit tekak

●      Sakit kepala

●      Sakit otot

●      Hilang selera makan

●      Keletihan

Dapatkan rawatan kecemasan jika anda mengalami mana-mana gejala teruk berikut:

●      Demam atau batuk yang datang dan pergi, atau menjadi lebih teruk

●      Demam panas yang tidak surut selepas mengambil paracetamol

●      Kurang atau tiada pergerakan bayi

●      Pening, kekeliruan, atau tidak larat bangun

●      Kelemahan atau ketidakstabilan yang melampau

●      Masalah pernafasan atau sesak nafas

●      Sakit otot yang teruk

●      Sakit atau tekanan yang berterusan di dada atau perut

●      Sawan

●      Tiada air kencing untuk tempoh yang lama

Komplikasi

Kebanyakan wanita hamil akan pulih daripada influenza tanpa sebarang masalah jika mereka menerima diagnosis dan rawatan awal. Namun, risiko mendapat komplikasi serius akibat influenza adalah lebih tinggi semasa hamil. Berikut adalah beberapa komplikasi yang mungkin terjadi akibat influenza semasa kehamilan:

  • Kemasukan ke hospital atau unit rawatan rapi (ICU)
  • Pneumonia
  • Berat semasa lahir yang rendah
  • Kelahiran pramatang
  • Masalah perkembangan bayi (cth. kecacatan tiub saraf)
  • Keguguran
  • Kematian (ibu atau bayi)

Merawat dan menguruskan influenza

Anda mungkin diberi ubat antivirus jika anda didiagnosis lebih awal. Biasanya doktor akan menyarankan oseltamivir, sejenis ubat antivirus oral, kepada wanita hamil kerana banyak kajian telah mengesahkan keselamatannya. Ubat antivirus tidak akan menyembuhkan influenza secara langsung, tetapi ia boleh menghalang gejala daripada menjadi lebih teruk.

Doktor juga boleh memberi ubat lain untuk merawat gejala tertentu, cth. paracetamol untuk mengurangkan demam, ubat batuk untuk melegakan gejala pernafasan, dll. Pastikan doktor sedar tentang kehamilan anda untuk memastikan anda diberi ubat yang selamat untuk kehamilan. Sentiasa ikut arahan pada semua ubat.

Anda mungkin mengalami gejala selama seminggu atau lebih. Semasa tempoh tersebut, dapatkan rehat secukupnya dan minum banyak cecair untuk mengelakkan dehidrasi. Dan ambil langkah-langkah untuk mengelakkan penyebaran jangkitan kepada orang lain di sekeliling anda, contohnya dengan mengehadkan pergaulan rapat dengan orang lain, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap, dan menutup mulut dan hidung anda apabila bersin atau batuk.

Vaksinasi influenza untuk wanita hamil

Vaksinasi influenza adalah aspek penting dalam penjagaan kesihatan sebelum, semasa dan selepas kehamilan. Vaksin influenza adalah cara terbaik untuk melindungi wanita hamil daripada influenza yang teruk. Semua wanita hamil disyorkan untuk mendapatkan vaksin influenza tidak aktif atau rekombinan semasa mana-mana peringkat kehamilan.

Walaupun anda telah menerima vaksin influenza semasa kehamilan sebelumnya, anda masih perlu mendapatkan vaksin untuk kehamilan terkini. Vaksinasi influenza disyorkan setiap tahun untuk semua orang dewasa, termasuk wanita hamil, kerana strain influenza yang tersebar berbeza dari musim ke musim dan imuniti cenderung untuk menurun seiring dengan masa.

Keselamatan vaksin influenza semasa kehamilan telah dibuktikan oleh banyak kajian dan berjuta-juta orang telah divaksinasi selama ini. Ia juga selamat dan berkesan untuk mendapatkan suntikan influenza bersama vaksin lain yang disyorkan semasa kehamilan, cth. vaksin Tdap (tetanus-difteria-pertusis), vaksin COVID-19.

Selain itu, vaksinasi influenza semasa mengandung juga boleh membantu melindungi bayi baru lahir daripada influenza. Selepas menerima vaksin, antibodi yang dihasilkan oleh ibu dikongsi dengan bayi dalam kandungan melalui uri. Ibu yang divaksin juga boleh berkongsi antibodi dengan bayi mereka selepas kelahiran melalui penyusuan. Imuniti pasif ini penting semasa bulan-bulan terawal kehidupan kerana bayi hanya boleh mendapatkan suntikan influenza apabila mereka berumur 6 bulan.

Tempoh 40 minggu kehamilan merupakan satu perjalanan yang mencabar namun indah dalam kehidupan seorang wanita apabila dia berkorban untuk melahirkan satu nyawa ke dunia. Dan adalah penting bagi bakal ibu untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk memastikan mereka dan bayi mereka sihat dan dilindungi daripada penyakit seperti influenza. Oleh itu, mendapatkan vaksin influenza adalah salah satu perkara penting untuk dimasukkan ke dalam senarai perlu dibuat semasa kehamilan anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.