Pengasuhan Positif

Tip Mengurangkan Garam, Minyak, dan Gula Untuk Kanak-Kanak

Urbanisasi telah membawa banyak perubahan dalam gaya hidup kita, terutamanya berkaitan apa yang kita makan. Malangnya, perubahan ini telah menyebabkan peningkatan pengambilan garam, minyak, dan gula (salt, oil, sugar, SOS) dalam diet kita, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Peningkatan pengambilan SOS boleh memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan kerana ia dikaitkan dengan pelbagai penyakit tidak berjangkit. Oleh itu, bagaimana ibu bapa boleh mengurangkan pengambilan SOS dalam kalangan anak-anak dengan berkesan?

Memahami SOS

Apakah itu garam?

Garam atau secara saintifiknya dikenali sebagai natrium klorida (NaCl) adalah bahan yang biasa ditemui dalam pelbagai makanan dan sering digunakan sebagai perisa makanan. Garam atau natrium juga boleh ditemui dalam beberapa bahan makanan segar (cth. susu, daging, kerang, dll.). Namun, sebahagian besar garam dalam diet kita datang daripada makanan yang dihasilkan secara komersial (cth. mi segera, telur masin, daging dalam tin, kerepek, dll.). Malah, penambah rasa dan sos seperti sos tiram, sos tomato, sos cili, dan sos ikan juga mengandungi garam yang tinggi.

Cadangan Pengambilan Natrium Harian untuk Kanak-kanak

●        Bayi (0-6 bulan): 120 mg

●        Bayi (7-12 bulan): 370 mg

●        Kanak-kanak (1-3 tahun): 1000 mg

●        Kanak-kanak (4-8 tahun): 1200 mg

●        Kanak-kanak & Remaja (9-18 tahun): 1500 mg

Apakah itu minyak?

Minyak ialah sejenis lemak pemakanan, yang terdiri daripada asid lemak tepu atau tak tepu. Ia biasanya ditemui dalam pelbagai bentuk (iaitu minyak sayuran, kacang, atau bijian). Sebahagian besar pengambilan minyak dalam diet harian biasanya datang daripada pengambilan makanan yang dimasak dalam minyak berlebihan seperti makanan bergoreng dan makanan segera.

Cadangan Pengambilan Minyak Harian untuk Kanak-kanak

●        Maksimum 2½ sudu teh minyak, mentega atau marjerin

Apakah itu gula?

Gula ialah sejenis karbohidrat yang sering dikaitkan dengan rasa manis dalam makanan dan minuman. Gula putih atau sukrosa merupakan bentuk yang paling umum bagi gula. Namun, terdapat pelbagai jenis gula lain termasuklah yang boleh didapati secara semula jadi dalam makanan seperti buah-buahan dan madu, serta gula yang ditambah dalam makanan semasa proses penyediaan dan makanan yang telah dibungkus. Pengambilan gula berlebihan daripada semua sumber haruslah dielakkan. Ini termasuklah kuih tempatan, bubur manis, dan pelbagai jenis minuman bergula. Ini semua mengakibatkan pengambilan gula berlebihan dalam diet kita. Kita juga harus sedar bahawa pengambilan makanan berkarbohidrat secara berlebihan boleh membawa kepada pengambilan gula berlebihan.

Cadangan Pengambilan Gula Harian untuk Kanak-kanak

●        Pengambilan gula mestilah kurang daripada 10% jumlah pengambilan tenaga harian individu.

Kepentingan mengurangkan SOS

Kajian menunjukkan kaitan yang jelas antara penggunaan SOS yang berlebihan dengan pelbagai isu kesihatan.

  • Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, dan angin ahmar.
  • Pengambilan lemak dan minyak yang berlebihan dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti, penyakit jantung koronari, dan beberapa jenis kanser.
  • Pengambilan gula yang berlebihan mengakibatkan pengambilan kalori yang tinggi, yang boleh menyebabkan obesiti, dan peningkatan risiko menghidap diabetes dan karies gigi.

Tips mengurangkan SOS bagi kanak-kanak

  • Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Gunakan Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan untuk mengamalkan diet/pemakanan sihat yang seimbang, sederhana dan pelbagai.
  • Wujudkan persekitaran pemakanan yang sihat. Wujudkan persekitaran makan yang menggalakkan anak anda membuat pilihan makanan yang lebih sihat. Ini termasuk menyediakan pilihan makanan yang sihat untuk stok dapur dan mengehadkan makanan tinggi SOS.
  • Kurangkan pengambilan garam. Apabila memasak di rumah, hanya gunakan sedikit garam dan guna lebih banyak perasa semula jadi (cth. herba, rempah ratus, dll.). Pengambilan makanan ringan yang masin (cth. kerepek ubi, keropok lekor, dll.) juga perlu dihadkan. Ibu bapa harus memilih makanan berbungkus yang kurang natrium semasa membeli-belah – ini juga masa yang sesuai untuk mengajar anak-anak cara membaca label pemakanan dengan betul.
  • Kurangkan pengambilan minyak dan lemak. Semasa memasak, guna daging yang kurang berlemak atau buang lemak berlebihan (cth. membuang kulit ayam). Ibu bapa juga harus memilih kaedah memasak yang lebih sihat (cth. mengukus, merebus, dan memanggang) berbanding menggoreng celur. Kurangkan penggunaan minyak dan lemak semasa memasak. Akhir sekali, ibu bapa harus mengehadkan pengambilan makanan segera dan makanan ringan yang kurang sihat untuk anak-anak.
  • Kurangkan pengambilan gula. Gantikan makanan manis dengan pilihan makanan yang lebih sihat seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, bar bijirin, dll. Ibu bapa juga harus mengehadkan pengambilan pencuci mulut yang manis untuk anak-anak dan hanya memberikannya sekali-sekala. Minuman dengan gula tambahan (cth. minuman manis bergula dalam bungkusan dan tin, teh boba, teh tarik, dll.) juga perlu dikurangkan.

Dengan mengurangkan pengambilan garam, minyak, dan gula (SOS), ibu bapa boleh membantu anak-anak membuat pilihan makanan yang lebih sihat, seterusnya mencegah penyakit tidak berjangkit. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengambil tindakan proaktif serta pencegahan awal dengan membuat sedikit perubahan dalam kehidupan seharian, dan ini akan menyumbang kepada kesihatan anak-anak dalam jangka panjang.

Langgani surat berita pengasuhan kami.