Systemic lupus erythematosus, atau lebih dikenali sebagai penyakit SLE atau lupus, adalah sejenis penyakit autoimun di mana sistem pertahanan badan yang sepatutnya berfungsi membantu badan kita melawan penyakit, sebaliknya melawan organ-organ badan sendiri. Penyakit SLE boleh menyerang pelbagai organ penting tubuh seperti buah pinggang, otak, darah, kulit, sendi, paru-paru dan hampir semua organ lain. Penyakit ini adalah suatu penyakit kronik dan jika tidak mendapat rawatan, ia boleh mengakibatkan kematian.
Adakah penyakit SLE boleh terjadi pada kanak-kanak?
Penyakit SLE lazimnya terjadi pada usia dewasa, namun, penyakit ini juga boleh terjadi pada kanak- kanak terutamanya kanak-kanak perempuan sekitar umur akil baligh. Pesakit SLE kanak-kanak lazimnya mendapat penyakit yang lebih parah daripada pesakit dewasa.
Apakah tanda-tanda penyakit SLE?
Penyakit SLE boleh menampakkan pelbagai jenis tanda bergantung pada organ tubuh yang diserang. Jika SLE menyerang buah pinggang, pesakit akan mempunyai tanda-tanda seperti bengkak badan, kencing berbuih dan tekanan darah tinggi. Jika penyakit SLE menyerang otak, pesakit mungkin akan mendapat sakit kepala, sawan atau menampakkan kelainan peribadi.
Selain itu, tanda-tanda yang sering terjadi pada pesakit SLE adalah demam berpanjangan, selera makan menurun, susut berat badan dan keletihan yang berlebihan daripada biasa. Pesakit SLE juga boleh menampakkan tanda-tanda seperti ruam khusus pada muka (butterfly/malar rash), keguguran rambut, ulser pada lelangit mulut dan sensitif terhadap cahaya matahari.
- Ruam kupu-kupu yang terjadi pada pipi dan dahi, tetapi mengelak lipatan hidung dan mulut
- Kemerahan atau ulser pada lelangit mulut yang tidak menyakitkan
- Keletihan yang berlebihan dan berpanjangan
- Sensitif terhadap cahaya matahari
- Keguguran rambut
Apakah punca penyakit SLE dan bolehkah penyakit ini dicegah?
Penyakit SLE tidak mempunyai punca yang khusus, tetapi faktor genetik, faktor hormon, pendedahan terhadap jangkitan tertentu, ubat-ubatan dan cahaya matahari boleh menjadi pencetus penyakit SLE pada pesakit yang rentan. Malangnya, penyakit ini tidak boleh dicegah.
Bagaimanakah penyakit ini boleh dikenal pasti?
Individu yang mempunyai tanda-tanda yang dicurigai penyakit lupus harus berjumpa dengan doktor yang berpengalaman. Kebiasaannya, penyakit ini didiagnosis dan dirawat oleh pakar penyakit autoimun, atau lebih dikenali sebagai pakar reumatologi. Doktor akan mendapatkan sejarah penyakit yang terperinci, membuat pemeriksaan badan, dan selanjutnya ujian darah dan air kencing, pemeriksaan air tulang belakang dan ujian radiologi, seperti sinar-X, ultrabunyi dan MRI, bergantung kepada organ badan yang diserang. Pesakit yang mempunyai tanda-tanda buah pinggang diserang akan memerlukan ujian biopsi buah pinggang.
Bagaimanakah penyakit ini diubati?
Ubat-ubatan yang diberikan bergantung kepada tahap penyakit. Lazimnya, pesakit SLE memerlukan ubat-ubatan imunosupresif seperti ubat steroid, ubat sitotoksik seperti cyclophosphamide dan ubat- ubatan biologikal seperti rituximab. Pesakit yang menghidap kerosakan buah pinggang yang teruk akan memerlukan rawatan cuci darah (hemodialisis) dan ubat darah tinggi. Sesetengah pesakit akan memerlukan pemindahan darah.
Pesakit SLE juga mungkin memerlukan ubat-ubatan suplemen seperti ubat kalsium dan vitamin D. Semua pesakit SLE perlu menghindari daripada sinaran matahari yang terik dengan menggunakan topi, baju lengan panjang dan losyen pelindung matahari. Selain itu, pesakit SLE dinasihatkan untuk mengelak daripada terdedah kepada orang-orang yang menghidap penyakit-penyakit berjangkit seperti cacar air dan tuberkulosis kerana badan mereka lebih rentan untuk dijangkiti.
Apakah prognosis pesakit SLE?
Walaupun penyakit ini tidak mempunyai penawar, kebanyakan pesakit SLE yang mendapatkan rawatan akan dapat mengawal penyakit ini. Pesakit yang penyakitnya terkawal, lazimnya boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Mereka boleh bersekolah, bersukan dan selanjutnya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, mendapat pekerjaan, berkahwin dan membina keluarga mereka sendiri di masa hadapan. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk kanak-kanak ini mendapat rawatan yang sewajarnya dan tidak berputus asa.