Pengasuhan Positif

Polio: Sasaran Seterusnya untuk Pembasmian

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), cacar merupakan satu-satunya penyakit manusia yang telah dibasmi secara rasmi sehingga kini. Ini bermakna tiada lagi kes cacar baharu yang dikesan di seluruh dunia. Polio merupakan antara penyakit yang menjadi sasaran utama untuk dibasmi pada masa hadapan. Tetapi, bolehkah misi ini dicapai?

Apakah itu polio?

Polio atau poliomielitis ialah penyakit berjangkit disebabkan oleh poliovirus yang boleh menjangkiti saraf tunjang atau pangkal otak, hingga boleh menyebabkan lumpuh. Biasanya polio menjangkiti kanak-kanak bawah umur lima tahun tetapi sesiapa saja yang belum divaksin berisiko untuk dijangkiti. Penyakit ini merebak melalui penyebaran najis-ke-mulut dan mulut-ke-mulut, dan salah satu faktor risiko penularan ialah kekurangan akses kepada air bersih dan sanitasi yang baik.

Kebanyakan orang yang dijangkiti tidak mempunyai gejala atau hanya mengalami gejala seperti influenza ringan (cth. demam, sakit kepala, sakit tekak). Sesetengah individu mungkin mengalami gejala seperti influenza yang lebih teruk, serta kekejangan atau sakit leher atau anggota badan. Kebanyakan individu yang dijangkiti akan pulih selepas beberapa hari (polio tidak lumpuh), tetapi dalam sesetengah kes, penyakit ini boleh menyebabkan lumpuh kekal (polio lumpuh), yang juga boleh menyebabkan kematian akibat kesukaran bernafas.

Mengapakah polio berbahaya?

Polio ialah penyakit yang melemahkan badan dan mengancam nyawa, serta boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti:

  • Lumpuh kekal: Kelemahan atau ketidakupayaan untuk menggerakkan tangan, kaki, atau kedua-duanya. Dianggarkan 1 daripada 200 jangkitan akan menyebabkan lumpuh dan 5-10% daripada pesakit yang lumpuh akan meninggal kerana otot pernafasan mereka lumpuh, lalu menyebabkan mereka tidak dapat bernafas. Semasa wabak polio pada masa lalu, “paru-paru besi” harus digunakan untuk membantu pesakit bernafas.
  • Meningitis: Radang pada membran pelindung yang meliputi otak dan saraf tunjang. Ia mungkin berlaku kepada kira-kira 1-5 daripada 100 orang yang dijangkiti.
  • Sindrom pasca-polio: Ini adalah masalah yang berlaku kepada bekas pesakit polio selepas lama pulih daripada jangkitan pertama. Ia menjejaskan 25-40% daripada bekas pesakit polio, yang mungkin mengalami gejala seperti kelemahan otot, sakit sendi, dan keletihan selepas 15-40 tahun jangkitan sembuh. Ia tidak merebak atau mengancam nyawa tetapi boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfungsi secara berdikari.
  • Komplikasi lain termasuk sakit kronik dan kekejangan otot yang menyebabkan tulang atau sendi terbentuk tidak normal.

Seorang pesakit polio dalam “paru-paru besi”, mesin bantuan pernafasan yang digunakan untuk merangsang pernafasan apabila kawalan otot hilang

Rancangan untuk membasmi polio

Penyingkiran Pembasmian
·       Penurunan bilangan jangkitan kepada sifar secara tidak kekal disebabkan usaha yang diambil

·       Hanya berlaku di kawasan yang tertentu

·       Jangkitan boleh kembali jika usaha tidak diteruskan

·       Penurunan bilangan jangkitan kepada sifar secara kekal disebabkan usaha yang diambil

·       Berlaku di seluruh dunia

·       Jangkitan tidak akan kembali

 

Pada tahun 1988, Inisiatif Pembasmian Polio Global (Global Polio Eradication Initiative, GPEI) telah ditubuhkan oleh WHO dan rakan kongsi lain dengan misi untuk membasmi polio daripada dunia. Hasil inisiatif ini, lebih daripada 2.5 bilion kanak-kanak telah diimunisasi dan kira-kira 20 juta kes lumpuh dalam kalangan kanak-kanak dapat dielakkan.

Sejak itu, polio telah disingkirkan daripada kebanyakan negara di seluruh dunia – kes telah berkurang lebih daripada 99%, daripada kira-kira 350,000 kes di lebih daripada 125 negara endemik kepada hanya dua negara endemik pada hari ini, iaitu Afghanistan dan Pakistan. Namun, wabak varian poliovirus kadangkala masih berlaku di negara lain disebabkan oleh kadar imunisasi yang rendah atau faktor-faktor lain.

Ini terjadi di Malaysia pada akhir tahun 2019, apabila wabak polio muncul semula buat pertama kali dalam tempoh 27 tahun. Empat kes dilaporkan di Sabah dan kanak-kanak tersebut didapati tidak pernah menerima atau melengkapkan imunisasi polio mereka. Sebelum wabak kali ini, kes polio terakhir yang dilaporkan di Malaysia adalah pada tahun 1992 dan Malaysia diisytiharkan bebas polio sejak tahun 2000. Hasil usaha proaktif oleh pihak berkuasa untuk mengawal wabak tersebut, WHO sekali lagi mengisytiharkan Malaysia bebas polio pada September 2021.

Peranan vaksinasi

Vaksinasi berperanan penting dalam mencegah dan membasmi polio kerana tidak ada ubat atau rawatan khusus untuk penyakit ini. Terdapat dua jenis vaksin polio:

  • Vaksin polio tidak aktif (IPV): Mengandungi poliovirus yang telah mati dan diberikan melalui suntikan intramuskular atau intradermal.
  • Vaksin polio oral (OPV): Mengandungi poliovirus hidup dan diberikan melalui mulut.

Di Malaysia, vaksinasi polio adalah sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan. IPV diberikan sebagai vaksin enam serangkai yang juga melindungi daripada tetanus, difteria, pertusis, hepatitis B, dan Haemophilus influenzae jenis B, selain daripada polio. Vaksin ini diberikan kepada kanak-kanak pada usia 2, 3, 5, dan 18 bulan.

Dunia berada di ambang pembasmian polio tetapi usaha bersepadu dari segi politik, ekonomi dan pendidikan sosial diperlukan untuk mencapai matlamat ini. Program imunisasi polio perlu diperkasakan dengan memastikan semua bayi – tidak kira lokasi, status, atau kewarganegaraan – melengkapkan vaksinasi polio mereka. Selain itu, program pemantauan penyakit yang mantap dan tindak balas pantas terhadap wabak juga penting dalam usaha ini. Melalui kerjasama antara pelbagai pihak, kita pasti dapat mencapai misi untuk mengakhiri wabak polio buat selama-lamanya!

Langgani surat berita pengasuhan kami.