Pengasuhan Positif

Memahami Rawatan COVID-19 Sebagai Ibu Bapa

Apabila kanak-kanak dijangkiti COVID-19, pasti sukar untuk ibu bapa memahami pelbagai rawatan yang ada. Dengan kes yang meningkat pada awal tahun ini, ibu bapa perlu memastikan si kecil mereka mendapat penjagaan terbaik apabila berhadapan dengan jangkitan COVID-19.

Tahap-tahap klinikal COVID-19

Tahap 1 & 2: Ringan

  • Tiada sebarang gejala atau bergejala tanpa radang paru-paru.
  • Tahap 1 merujuk kepada individu tanpa gejala – bermakna keputusan ujian COVID-19 mereka positif, tapi tiada gejala fizikal yang muncul.
  • Tahap 2 merujuk kepada individu bergejala tanpa radang paru-paru – bermakna mereka menunjukkan gejala fizikal seperti hidung tersumbat, sakit tekak, batuk atau demam selama kurang daripada 7 hari.

Tahap 3: Sederhana

  • Merujuk kepada individu dijangkiti yang mempunyai gejala fizikal yang disebutkan di atas, di samping menghidap radang paru-paru (jangkitan paru-paru atau pneumonia). Ini meningkatkan kadar pernafasan dan kesukaran bernafas.
  • Gejala tambahan juga mungkin muncul, seperti muntah, cirit-birit, sakit perut, keletihan dan kehilangan deria bau/rasa.

Tahap 4: Teruk

  • Merujuk kepada individu dijangkiti yang menunjukkan gejala fizikal, menghidap radang paru-paru DAN memerlukan oksigen tambahan.
  • Gejala lain yang menjejaskan sistem organ yang berbeza juga boleh muncul. Contohnya, sistem saraf (iaitu kelesuan, tahap kesedaran menurun, sawan, dll.), dan sistem pencernaan (iaitu dehidrasi, kesukaran makan, dll.).

Tahap 5: Kritikal

  • Merujuk kepada individu dijangkiti yang menunjukkan kemerosotan penyakit secara mendadak. Individu ini biasanya mengalami kegagalan sistem pernafasan dan memerlukan bantuan pernafasan secara mekanikal.
  • Individu ini mungkin menunjukkan kegagalan organ lain (cth. kegagalan jantung, kecederaan hati, kecederaan buah pinggang, dll.).

Rawatan untuk setiap kumpulan umur

Kanak-kanak & remaja

Semasa artikel ini ditulis, tiada satu ubat atau terapi yang berkesan dengan sendirinya dalam merawat kanak-kanak dan remaja yang dijangkiti COVID-19. Berita baiknya, kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti akan pulih dengan penjagaan sokongan, termasuk yang berikut:

  • Antipiretik (cth. parasetamol) – Untuk mengurangkan demam semasa jangkitan COVID-19.
  • Oksigen tambahan – Untuk memberikan oksigen tambahan yang boleh melegakan kesukaran bernafas dan mencegah komplikasi melibatkan oksigen yang tidak mencukupi dalam badan.
  • Penghidratan intravena – Penyaluran cecair secara terus ke dalam salur darah vena. Ini ialah cara pantas untuk memulihkan elektrolit, mengekalkan keseimbangan cecair, dan mencegah dehidrasi.
  • Antibiotik – Antibiotik boleh digunakan jika terdapat jangkitan bakteria sekunder.

Orang dewasa

Dalam kebanyakan kes, penjagaan sokongan sudah cukup bagi orang dewasa yang dijangkiti COVID-19. Bagi individu yang menghidap jangkitan ringan atau sederhana, antivirus boleh digunakan, terutamanya untuk mereka yang tidak divaksinasi, vaksinasinya tidak lengkap, atau mempunyai faktor risiko (misalnya obesiti, masalah jantung kronik, dll.). Namun, jika penyakit menjadi semakin teruk atau kritikal, rawatan yang lebih agresif seperti modulator imuniti atau terapi antikoagulasi akan digunakan.

Peranan vaksinasi dalam mengawal COVID-19

Kajian terkini yang dijalankan dalam kalangan orang dewasa menunjukkan bahawa vaksin COVID-19 adalah berkesan. Malah, sebuah kajian tempatan mendapati bahawa kemungkinan berlaku kematian akibat jangkitan COVID-19 adalah 40x lebih rendah dengan dua dos dan 62x lebih rendah dengan pemberian dos penggalak. Vaksin COVID-19 juga boleh mencegah penyakit teruk dan mengelakkan kemasukan ke hospital.

Di samping itu, vaksin juga mengurangkan risiko penularan virus kepada orang lain. Ini penting terutamanya bagi golongan kanak-kanak, kerana ia memberi perlindungan kepada seluruh keluarga, memastikan kanak-kanak boleh ke sekolah, dan membantu usaha mengurangkan penyebaran COVID-19 dalam komuniti. Di Malaysia, vaksinasi COVID-19 disarankan kepada semua kanak-kanak berumur 5-11 tahun. Berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak.

Soalan tentang dos penggalak

Siapa yang perlu mendapatkan dos penggalak?

Dos penggalak disyorkan untuk golongan rentan seperti warga emas, serta individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau diabetes. Golongan ini akan mendapat manfaat dan perlindungan tambahan daripada dos ketiga, yang dikenali sebagai dos penggalak.

 

Bilakah dos penggalak boleh diambil?

Bagi individu berisiko tinggi berumur 12-17 tahun, tunggu tiga bulan selepas dos utama yang ketiga sebelum mendapatkan dos penggalak pertama. Individu yang berumur 18 tahun ke atas harus mendapatkan dos penggalak kedua enam bulan selepas menerima dos penggalak pertama. Rujuk pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat khusus mengenai dos penggalak kedua.

 

Di manakah dos penggalak boleh didapati?

Bincang bersama doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai lokasi untuk mendapatkan dos penggalak.

Dalam hal berkaitan COVID-19, ibu bapa perlu memahami tahap jangkitan dan rawatan yang boleh didapati. Walaupun protokol terapi dan rawatan khusus untuk kanak-kanak sentiasa dikemas kini, majoriti kanak-kanak yang dijangkiti pulih dengan penjagaan sokongan. Vaksinasi boleh mengurangkan risiko penyakit teruk, dan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada individu tetapi juga komuniti. Pepatah ada mengatakan, “Mencegah lebih baik daripada mengubati”, dan sebagai ibu bapa, anda harus sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan pilihan rawatan untuk COVID-19 bagi kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.