Kesan pandemik di seluruh dunia telah membentuk semula persekitaran kerja tradisional, lalu mendatangkan era kerja jarak jauh dan anjal (flexible). Perubahan ini didorong oleh keperluan untuk menyesuaikan diri, dan ini menyumbang kepada peningkatan keanjalan di tempat kerja. Apabila keanjalan kerja menjadi kebiasaan, pertembungan antara kerjaya dan keluarga dilihat makin ketara, lalu menampilkan manfaat dan cabaran baru kepada ibu bapa.
Menerapkan keanjalan
Kerja hibrid dan jarak jauh telah mengubah cara ibu bapa menguruskan tanggungjawab kerjaya dan keluarga. Keanjalan yang baru diperoleh ini memberi ibu bapa peluang untuk menentukan waktu kerja, lalu membolehkan penyertaan aktif dalam acara keluarga yang penting, pengurusan hal-ehwal kesihatan, serta kehadiran semasa detik-detik penting dalam hidup anak-anak. Dengan tiadanya keperluan untuk berulang-alik ke tempat kerja yang pernah menjadi beban harian, ibu bapa bebas daripada tekanan akibat perjalanan dan kesesakan lalu lintas, serta mendapat lebih masa untuk kerja yang efisyen dan interaksi keluarga yang berkualiti.
Asas kepada perubahan ini adalah harapan untuk mencapai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan. Kebolehan menyusun waktu kerja membolehkan ibu bapa untuk melaksanakan tanggungjawab kerja tanpa menjejaskan peranan penting mereka dalam keluarga, dan ini mengurangkan tekanan dan menyumbang kepada kesejahteraan mental.
Mencari keseimbangan
Namun begitu, kerja jarak jauh/hibrid tidak datang tanpa cabaran. Sempadan yang kian kabur antara kerjaya dan kehidupan peribadi mendatangkan rintangan besar, serta menyukarkan ibu bapa untuk benar-benar menumpukan pada keluarga semasa detik-detik bersama. Pengasingan diri kesan daripada kurangnya interaksi bersemuka dengan rakan sekerja juga menjejaskan hubungan sosial dan sokongan yang dahulunya didapati oleh ibu bapa dari tempat kerja.
Perhubungan berterusan melalui emel dan mesyuarat secara maya mencabar ibu bapa dalam menguruskan tanggungjawab kerja di samping tugas-tugas rumah tangga. Kesukaran untuk menangani gangguan di rumah, seperti anak meragam dan perbalahan antara anak, boleh menjejaskan perancangan untuk mengimbangi kerjaya dan keibubapaan, walaupun telah dirancang rapi.
Aturan yang sesuai
Makin ramai majikan memilih untuk menghadapi cabaran-cabaran ini dengan menawarkan jadual anjal dan memberikan ibu bapa kebebasan untuk memilih waktu kerja mereka dalam had yang ditetapkan. Ini terbukti bermanfaat bagi ibu bapa yang menggalas beberapa tanggungjawab berbeza. Walaupun mungkin ada yang risau tentang peluang naik pangkat yang menurun jika tidak bekerja di pejabat, keanjalan masa untuk menguruskan keluarga adalah sesuatu yang berbaloi semasa tempoh perubahan ini, di mana keanjalan diperlukan.
Langkah mencapai harmoni
Mencapai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan keluarga adalah satu cabaran yang sering dihadapi ibu bapa di tempat kerja. Untuk menanganinya, penting untuk anda wujudkan satu sempadan yang jelas. Tetapkan waktu kerja yang tertentu dan sediakan ruang kerja yang khas di rumah bagi membantu mengasingkan ruang kerja dan peribadi. Komunikasi berkesan berkenaan tanggungjawab terhadap majikan, rakan sekerja dan ahli keluarga akan memupuk persekitaran yang menyokong. Penyertaan dalam komuniti maya ibu bapa atau kumpulan sokongan di tempat kerja boleh menawarkan perkongsian pengalaman dan nasihat berharga, serta jaringan hubungan yang membina keakraban dan kefahaman dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga.
Sememangnya masa depan kerjaya berkait rapat dengan masa depan keluarga. Ibu bapa perlu bersedia dengan strategi untuk memanfaatkan kerja jarak jauh atau anjal agar kita boleh menerapkan perubahan ini dalam hidup. Mewujudkan satu persekitaran yang boleh memupuk perkembangan kerjaya serta kesejahteraan keluarga menjadi keutamaan dalam landskap yang sentiasa berubah-ubah ini.