Pengasuhan Positif

Cacar Air: Bukan Sekadar Ruam

Cacar, cacar air, cacar lembu, dan cacar monyet semuanya merupakan penyakit “cacar” yang bermaksud jangkitan kulit dengan lepuhan berair. Namun cacar air berbeza daripada penyakit cacar lain yang disebabkan oleh orthopoxvirus; cacar air sebenarnya berpunca daripada virus varicella-zoster yang hanya menjangkiti manusia.

Cacar air 101

Cacar air (juga dikenali sebagai varicella atau chickenpox) merupakan jangkitan virus yang menyebabkan ruam gatal dengan lepuhan kecil berisi cecair. Virus varicella-zoster sangat mudah berjangkit. Sehingga 90% individu yang tidak imun boleh dijangkiti oleh penyakit ini sekiranya terdedah kepadanya. Kira-kira 90% daripada keseluruhan kes berlaku dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya yang berusia bawah dua tahun. Tetapi kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa yang tidak pernah dijangkiti atau divaksin juga berisiko untuk dijangkiti.

Cacar air merebak melalui sentuhan langsung dengan ruam atau cecair lepuhan dan juga boleh merebak melalui titisan pernafasan (daripada batuk atau bersin) daripada individu yang dijangkiti. Seseorang yang dijangkiti boleh menyebarkan penyakit bermula satu ke dua hari sebelum ruam muncul sehingga semua lepuhan telah kering dan membentuk kerak.

Gejala cacar air yang paling biasa dan mudah dikenal pasti adalah ruam yang gatal. Antara gejala umum yang mungkin muncul beberapa hari sebelum ruam adalah seperti berikut:

  • Demam
  • Hilang selera makan
  • Sakit kepala
  • Sakit badan
  • Keletihan

Ruam cacar air muncul 10-21 hari selepas terdedah kepada virus dan biasanya akan bertahan selama 5-10 hari. Ruam akan muncul di muka, dada, dan belakang terlebih dahulu, tetapi ia juga boleh tersebar ke seluruh badan. Dalam sesetengah kes, ruam boleh terbentuk di dalam mulut, mata, anus, atau alat kelamin.

Ruam akan melalui tiga fasa:

  • Papula: Benjolan timbul yang pecah dalam beberapa hari.
  • Vesikel: Lepuhan/gelembung kecil yang boleh pecah dan mengeluarkan cecair.
  • Kuping: Kerak yang menutupi lepuhan yang pecah dan akan sembuh dalam beberapa hari.
  • Semasa dijangkiti, ketiga-tiga fasa ruam boleh muncul pada masa yang sama di bahagian badan yang berbeza.

Kesan cacar air

Selain daripada ruam gatal dan luka yang menyakitkan, cacar air juga boleh menyebabkan komplikasi yang teruk. Bayi yang belum divaksin berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi cacar air. Remaja, orang dewasa dan individu dengan sistem imun yang lemah kerana menghidap kanser, HIV atau masalah kesihatan lain juga berisiko mendapat komplikasi.

Berikut adalah beberapa komplikasi yang mungkin terjadi:

  • Kayap: Virus varicella-zoster bersembunyi dalam sel-sel saraf seseorang selama bertahun-tahun setelah sembuh daripada cacar air. Kemudian, virus ini boleh aktif semula dan menyebabkan penyakit kayap yang mencetuskan lepuhan menyakitkan di salah satu sisi badan atau muka. Hanya individu yang pernah menghidap cacar air yang boleh mendapat kayap dan risikonya lebih tinggi bagi warga tua.
  • Dehidrasi
  • Jangkitan bakteria sekunder akibat luka yang terdedah
  • Sindrom kejutan toksin
  • Ensefalitis (radang otak)
  • Sindrom Reye (pembengkakan otak dan hati pada kanak-kanak yang dijangkiti cacar cair dan mengambil aspirin)
  • Radang paru-paru
  • Sindrom varicella kongenital (pada bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap cacar air semasa hamil)
  • Kematian (sangat jarang)

Selain daripada komplikasi fizikal, pesakit cacar air dan ibu bapa mereka juga perlu berhadapan dengan akibat lain. Sebagai contoh, kanak-kanak yang menghidap cacar air tidak seharusnya menghadiri pusat jagaan harian, tadika atau sekolah untuk mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain; oleh itu, mereka mungkin terlepas pelajaran penting semasa tidak hadir. Ibu bapa juga perlu menanggung perbelanjaan perubatan dan mengambil cuti daripada kerja untuk menjaga anak-anak.

Penjagaan cacar air

Dalam kebanyakan kes, cacar air merupakan penyakit ringan bagi kanak-kanak yang sihat dan boleh diuruskan di rumah. Berikut adalah beberapa langkah untuk menguruskan cacar air:

  • Redakan gejala: Berikan paracetamol kepada anak anda jika dia mengalami demam panas atau luka yang menyakitkan. Untuk mengurangkan kegatalan, sapu losen kalamin pada tempat yang gatal. Pastikan anak anda mendapat banyak rehat.
  • Jangan garu: Menggaru boleh menyebabkan luka, lalu mengakibatkan jangkitan bakteria pada kulit serta parut. Pastikan anak anda memakai sarung tangan dan kukunya dipotong. Jika dia secara tidak sengaja menggaru ruam, minta dia mencuci tangan untuk mengelakkan penyebaran virus kepada orang lain.
  • Jaga suhu badan: Elakkan haba dan peluh kerana ini boleh meningkatkan kegatalan. Minum banyak cecair, terutamanya air kosong, untuk mengelakkan dehidrasi. Elakkan makanan yang keras, pedas, atau masin jika terdapat luka di dalam mulut.

Perlindungan terhadap cacar air

Vaksinasi adalah cara terbaik untuk mencegah cacar air. Vaksin varicella-zoster tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan tetapi boleh didapati di institusi perubatan swasta. Ia ditawarkan sebagai vaksin monovalen atau sebagai vaksin kuadrivalen MMRV, yang melindungi daripada campak, beguk, rubela, dan cacar air. Vaksin boleh diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 12 bulan. Orang yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah juga disyorkan untuk mendapatkan vaksin. Bincang dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi cacar air.

Langgani surat berita pengasuhan kami.