Pengasuhan Positif

Pradiabetes: Cegah Diabetes Sebelum Terlambat!

Diabetes melitus merupakan salah satu isu kesihatan yang paling membimbangkan di peringkat global. Di Malaysia, kadar kejadian penyakit diabetes dalam kalangan orang dewasa telah meningkat secara berterusan daripada 11.2% pada 2011 kepada 13.4% pada 2015 dan 18.3% pada 2019. Salah satu petanda utama diabetes ialah pradiabetes. Tetapi tidak ramai yang sedar akan masalah ini, terutamanya dalam kalangan kanak kanak.

Apa itu pradiabetes?

Pradiabetes ialah satu keadaan di mana paras gula dalam darah adalah lebih tinggi daripada biasa, tetapi tidak cukup tinggi untuk dianggap sebagai diabetes. Ia berlaku apabila badan tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin, lalu menyebabkan pengumpulan gula dalam darah.

Individu dengan pradiabetes mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat diabetes jenis 2 dan penyakit tidak berjangkit lain, seperti sakit jantung dan angin ahmar. Sebuah tinjauan sistematik melibatkan kajian-kajian dari tahun 1995 ke 2021 menganggarkan kadar kejadian pradiabetes dalam kalangan dewasa di Malaysia adalah 11.62%.

Apakah gejala-gejalanya?

Pradiabetes lazimnya tidak menunjukkan gejala yang jelas. Apabila gejala muncul, ia biasanya petanda bahawa pradiabetes telah berubah menjadi diabetes jenis 2. Berikut merupakan beberapa gejala yang sering dialami:

Gejala Pradiabetes Diabetes
Acanthosis nigricans (kulit menjadi gelap pada sesetengah bahagian tubuh, cth. leher, siku, lutut) Ya Ya
Kerap membuang air kecil Tidak Ya
Kerap dahaga/lapar Tidak Ya
Penglihatan kabur Tidak Ya
Mudah mendapat jangkitan Tidak Ya

Contoh acanthosis nigricans pada kanak-kanak, antara tanda pradiabetes and diabetes

Apakah faktor risiko dalam kalangan kanak-kanak?

Anda digalakkan untuk memeriksa paras gula dalam darah anak anda jika mereka mempunyai faktor-faktor risiko berikut:

  • Berat badan berlebihan atau obesiti
  • Sejarah keluarga dengan diabetes jenis 2
  • Kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Sindrom ovari polisistik

Bagaimana cara untuk mendiagnosis pradiabetes?

Ujian paras gula dalam darah yang sama digunakan untuk mendiagnosis pradiabetes dan diabetes.

Ujian Normal Pradiabetes Diabetes
Tahap gula darah berpuasa (mmol/L) <5.6 5.6-6.9 ≥7.0
Ujian toleransi gula oral (mmol/L) <7.8 7.8-11.0 ≥11.1
Hemoglobin A1c (%) <5.7 5.7-6.4 ≥6.5

Rujukan: ISPAD Clinical Practice Consensus Guidelines 2022: Type 2 diabetes in children and adolescents

Apa yang boleh dilakukan?

Berita baiknya adalah pradiabetes boleh dipulihkan, tidak seperti diabetes. Dengan mengamalkan langkah-langkah ini, diabetes dapat dicegah atau ditangguhkan:

·       Memastikan tabiat pemakanan yang sihat. Beri anak anda diet yang seimbang dan kurangkan gula, garam dan makanan yang diproses. Oleh kerana kanak-kanak masih dalam proses tumbesaran, perubahan diet harus ditumpukan kepada pilihan makanan sihat berbanding mengawal saiz hidangan.

·       Galakkan aktiviti fizikal. Sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal dengan intensiti sederhana atau tinggi setiap hari adalah digalakkan.

·       Sasarkan atau kekalkan berat badan yang sihat. Berat badan berlebihan dan obesiti adalah antara faktor risiko.

·       Hadkan masa skrin. Masa skrin (screen time) untuk rekreasi harus dihadkan kepada tidak lebih satu jam sehari untuk kanak-kanak berumur antara dua ke lima tahun, dan tidak lebih dua jam sehari untuk kanak-kanak berumur enam tahun dan ke atas.

·       Dapatkan tidur yang cukup. Kanak-kanak kecil (3-5 tahun) perlu tidur 10-13 jam sehari termasuk tidur siang, manakala kanak-kanak yang bersekolah (6-13 tahun) perlu tidur 9-11 jam sehari.

Rujukan: Clinical Practice Guidelines – Management of Obesity 2nd Edition (2023)

Pradiabetes mungkin tidak mudah untuk dikesan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, kerana kita sering menganggap diabetes dan masalah kesihatan yang berkaitan hanya berlaku kepada orang dewasa. Tetapi ia adalah penyumbang utama kepada peningkatan kadar diabetes di peringkat global. Mujurlah dengan pencegahan awal, pradiabetes dapat dipulihkan dan diabetes dapat dielakkan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.