Pengasuhan Positif

Perjalanan Sihat dan Selamat Bersama Si Pengembara Kecil

Perjalanan bersama bayi dan kanak-kanak kecil mendatangkan cabaran unik serta keriangan kepada keluarga. Berikut beberapa panduan asas untuk membantu ibu bapa bersedia untuk pengembaraan sambil mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan keluarga.

Kerisauan perubatan

Sebelum perjalanan, bincang dengan doktor anda tentang vaksinasi yang disarankan untuk si kecil anda dan ahli keluarga yang lain. Pastikan anak anda telah melengkapkan imunisasi yang dijadualkan dan pertimbangkan vaksin lain yang disarankan berdasarkan destinasi anda. Sesetengah negara memerlukan vaksin khusus untuk melindungi diri daripada penyakit yang mungkin tidak prevalen di Malaysia.

Contoh vaksin yang disarankan semasa mengembara

·       Vaksin influenza

·       Vaksin meningokokus

·       Vaksin demam kuning

·       Vaksin rotavirus

·       Vaksin taun (kolera)

·       Vaksin tifoid

·       Vaksin hepatitis A

Nota untuk ibu hamil/menyusu: Jika anda mengembara semasa hamil atau menyusukan anak, anda juga disarankan untuk mendapatkan vaksin tertentu (cth. vaksin Tdap atau influenza). Selain daripada melindungi diri sendiri, ini boleh memberikan keimunan pasif kepada bayi anda juga. Dapatkan nasihat doktor tentang vaksin yang sesuai.

Anda juga perlu mengkaji lebih awal tentang kemudahan kesihatan di destinasi anda. Senarai pakar pediatrik atau klinik pasti berguna jika berlaku kecemasan atau dijangkiti penyakit. Selain itu, jangan lupa untuk mendapatkan insurans perjalanan yang boleh menampung keperluan kesihatan keluarga anda di luar negara sekiranya berlaku kes-kes perubatan yang tidak dijangka.

Sediakan senarai barangan penting yang perlu dibawa seperti ubat-ubatan yang dipreskripsi, kit bantuan kecemasan, tisu bayi dan termometer digital. Dengan adanya barangan penting seperti ini, ia bukan sahaja akan memudahkan anda, malah memberikan ketenangan.

Apabila tiba di destinasi anda, cuba jadikan tempat tersebut selamat untuk bayi dengan menyembunyikan barangan berbahaya dan memastikan wayar elektrik tidak mudah dicapai.

Pertimbangan pengangkutan

Memilih pengangkutan yang tepat adalah penting apabila mengembara bersama bayi dan kanak-kanak kecil. Pertimbangkan tempoh perjalanan serta keselesaan dan keselamatan anak anda. Apabila menaiki kapal terbang, tempah penerbangan semasa waktu tidur siang anak anda supaya perjalanan lebih tenang. Minta tempat duduk berhadapan dinding dengan ruang basinet untuk bayi.

Jika memandu kereta, rancang untuk berhenti dengan kerap bagi menukar lampin, memberi makan dan meregangkan badan. Pastikan kerusi keselamatan anak anda dipasang dengan betul dan sepadan dengan umur dan beratnya. Anda juga boleh membawa kerusi sorong bayi yang ringan dan mudah diguna.

Apabila mengembara dengan tren atau bas, tanya tentang kemudahan mesra keluarga dan susunan tempat duduk. Periksa juga kalau mereka menyediakan tempat untuk menyalin lampin dan ruang untuk meletakkan kerusi sorong bayi.

Tak kira apa pun jenis pengangkutan, pastikan beg lampin yang lengkap sentiasa tersedia. Masukkan lampin, tisu bayi, persalinan pakaian, snek dan apa-apa barang kegemaran bayi seperti selimutnya. Pastikan anda tidak lupa memasukkan mainan yang sesuai, buku mewarna dan permainan teka-teki untuk menghiburkan anak anda, serta pelbagai snek sihat dan minuman kegemaran anak anda.

Tip menyeronokkan

Tapi jangan biarkan semua perkara serius ini menghalang anda daripada menikmati perjalanan bersama keluarga. Mengembara memberikan pengalaman deria yang kaya buat anak anda. Fikirkan tentang semua perkara yang boleh dilakukannya semasa bercuti: menyentuh pasir di pantai, mendengar bunyian alam dan meneroka rasa-rasa baru daripada pelbagai hidangan!

Galakkan anak anda untuk merakam percutiannya melalui lukisan, gambar atau catatan diari ringkas. Ia merupakan cara terbaik untuk menyimpan memori dan memupuk sifat kreatif. Dan rancang bersama jadual percutian dengan aktiviti-aktiviti seperti melawat muzium mesra kanak-kanak, taman-taman dan tempat kebudayaan.

Yang penting, utamakan kebolehsuaian apabila mengembara bersama kanak-kanak kecil. Bersedia untuk menghadapi lencongan, rengekan dan perubahan rancangan di saat akhir. Terima secara terbuka apa-apa yang berlaku semasa perjalanan dan nikmati hal-hal yang tidak dijangka!

Mengembara bersama bayi dan kanak-kanak kecil semestinya mencabar, tapi ia juga peluang untuk memupuk perkembangan, mengeratkan ikatan dan meneroka dunia. Dengan perancangan dan pengawasan yang baik, anda boleh memastikan kesihatan dan keselamatan mereka sambil mencipta kenangan indah bersama keluarga. Maka, kemaslah beg anda sekarang dan saksikan bagaimana si pengembara kecil anda meneroka dunia dengan penuh rasa kagum dan ingin tahu.

 

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.