Pengasuhan Positif

Penyakit Hati Dalam Kanak-kanak

Sebagai ibu bapa, kita harus sedar tentang penyakit-penyakit yang boleh menjejaskan anak-anak kita; ini termasuklah penyakit berkaitan hati. Dengan memahami penyakit-penyakit ini, ibu bapa boleh mengambil langkah awal untuk memastikan anak-anak menerima rawatan dan sokongan terbaik demi tumbesaran dan kesejahteraan mereka.

Peranan penting hati

Ramai yang tahu tentang peranan hati dalam penyahtoksinan – ia berfungsi menyingkirkan toksin dan sisa daripada darah kita. Sisa ini akhirnya akan keluar daripada badan menerusi air kencing.1 Namun, ramai yang tidak tahu bahawa hati mempunyai lebih daripada 500 peranan berbeza dalam tubuh kita.1 Berikut ialah ringkasan peranan penting hati:

Ringkasan Peranan Penting Hati1
·       Membantu pencernaan dengan penghasilan hempedu – cecair yang membantu menguraikan dan menyerap nutrien (cth. lemak, vitamin, dll.)

·       Simpanan tenaga dalam bentuk gula

·       Simpanan vitamin dan mineral (cth. vitamin A, D, E, K, dan B12)

·       Penghasilan protein (cth. protein pembekuan darah, hormon, dll.)

·       Perlindungan daripada jangkitan

Jenis penyakit hati yang berbeza dalam kanak-kanak

Hati ialah organ kedua terbesar dalam tubuh manusia, dan seperti organ lain, hati juga terdedah kepada pelbagai penyakit berbeza.2 Antara contoh penyakit hati dalam kanak-kanak ialah:

  • Kegagalan Hati Akut – Hilang upaya untuk berfungsi secara tiba-tiba dan pantas, biasanya dalam masa beberapa hari.2 Ia boleh terjadi kepada kanak-kanak tanpa mengira umur, dan boleh disebabkan oleh jangkitan virus, penyakit genetik hati, pendedahan kepada toksin persekitaran (cendawan liar, racun serangga, dll.) dan ubat-ubatan tertentu.3
  • Hepatitis Akibat Virus – Keradangan hati akibat jangkitan virus (cth. virus hepatitis A, B, C, D, dan E).2 Jenis-jenis hepatitis berbeza dikategorikan berdasarkan virus yang menjangkiti, dan semuanya mempunyai kesan klinikal tersendiri. Contohnya, hepatitis A boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, dan sakit perut kepada kanak-kanak.4 Hepatitis B pula menyebabkan keadaan kronik yang boleh membawa kepada parut berkekalan pada hati, kegagalan hati, malah barah hati.5
  • Penyakit Genetik – Sesetengah penyakit genetik, seperti sindrom Alagille, sindrom Crigler-Najjar, penyakit storan glikogen jenis 1 dan banyak lagi, boleh menjejaskan hati.6 Penyakit genetik ini boleh mengganggu fungsi normal hati.
  • Penyakit Hati Berlemak Bukan Alkohol (Non-alcoholic Fatty Liver Disease, NAFLD) – Penyakit hati kronik yang biasa terjadi kepada kanak-kanak akibat pengumpulan lemak berlebihan pada hati.6 Lama-kelamaan, ini boleh melarat menjadi Steatohepatitis Bukan Alkohol (Non-alcoholic Steatohepatitis, NASH), yang boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan pada hati.7

Pencegahan penyakit hati dalam kanak-kanak

Pencegahan penyakit hati bergantung kepada puncanya. Berikut beberapa tip untuk mencegah penyakit hati dalam kanak-kanak:

  • Dapatkan vaksin. Terdapat jangkitan tertentu yang menyebabkan penyakit hati (cth. hepatitis A dan B) yang boleh dicegah dengan vaksinasi.8 Vaksin hepatitis boleh didapati secara berasingan (vaksin hepatitis A atau B) atau secara kombinasi (vaksin hepatitis A dan B). Bincang dengan doktor anda bagi mengetahui lebih lanjut tentang vaksin hepatitis untuk kanak-kanak.9
  • Amalkan langkah-langkah kebersihan. Penyebaran jangkitan, termasuk yang menyebabkan hepatitis, boleh dikurangkan dengan mengambil langkah-langkah seperti membasuh tangan dengan kerap, mengelakkan pengambilan minuman/makanan tercemar, dan lain-lain.8
  • Terapkan pemakanan sihat. Obesiti diketahui sebagai faktor risiko penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), maka pemakanan sihat boleh mencegah perkembangannya. Ini termasuklah amalan diet yang seimbang, sederhana dan pelbagai yang mengutamakan pengambilan buah dan sayur segar.8
  • Amalkan gaya hidup sihat dan aktif. Selain daripada pemakanan sihat, anda juga harus pastikan anak anda kerap bersenam dan tidur secukupnya pada waktu malam. Ini boleh membantu mengekalkan berat badan yang sihat dan mencegah NAFLD.8

Kesimpulan

Ibu bapa harus mempunyai pemahaman yang baik tentang pelbagai penyakit hati yang boleh menjejaskan kanak-kanak. Ibu bapa yang sedar tentang risikonya dan mengambil langkah pencegahan boleh berperanan aktif dalam melindungi si kecil daripada masalah kesihatan berkaitan hati.

Langgani surat berita pengasuhan kami.