Baligh menandakan satu tempoh perubahan yang dilalui oleh anak anda ketika mereka mula beralih ke alam dewasa. Ketika tempoh ini, ibu bapa seharusnya memahami perubahan yang berlaku terhadap anak remaja mereka dan bagaimana untuk memberi sokongan terhadap keperluan mereka yang berubah.
Apa yang ibu bapa harus jangkakan?
Sepanjang proses baligh, para remaja mengalami pelbagai perubahan fizikal, emosi serta kematangan berfikir. Umumnya, antara perubahan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak termasuklah penghasilan peluh yang meningkat, kulit serta rambut berminyak, kemunculan jerawat, dan lonjakan tumbesaran. Namun begitu, perubahan fizikal tertentu mungkin berbeza bergantung kepada jantina (Jadual 1).
Jadual 1: Perubahan Fizikal Pada Remaja Ketika Baligh Mengikut Jantina | |
Lelaki | Perempuan |
· Perubahan vokal (suara menjadi lebih garau)
· Perubahan saiz testis dan zakar · Pertumbuhan bulu (muka, kemaluan, ketiak, dll.) · Pertambahan berat badan dan pertumbuhan otot · Bahu menjadi bertambah lebar |
· Perkembangan payudara
· Perkembangan fungsi ovari · Pertumbuhan bulu (kemaluan, ketiak, dll.) · Pertambahan berat badan · Pinggul menjadi bertambah lebar · Mula mengalami haid |
Di samping perubahan fizikal, hormon-hormon yang terhasil ketika baligh juga boleh menyebabkan perubahan sosial dan emosi. Maka, ibu bapa harus bersedia jika anak remaja mereka mengalami perubahan emosi, perubahan paras tenaga, dan banyak lagi (Jadual 2).
Jadual 2: Perubahan Sosial/Emosi Pada Remaja Ketika Baligh |
· Perubahan identiti (cth. mencuba pakaian dan gaya baru, gemar mendengar muzik baru, dll.)
· Kecenderungan untuk berdikari (cth. bersiap sedia sendiri untuk ke sekolah, bersedia untuk menggalas lebih banyak tanggungjawab, dll.) · Peningkatan sensitiviti (cth. menjadi lebih sensitif terhadap rupa paras mereka, lebih berahsia tentang kehidupan peribadi, dll.) · Meneroka pengalaman yang baru (cth. mencuba tingkah laku berisiko) |
Tip untuk menyokong anak remaja anda ketika baligh
- Komunikasi terbuka. Sediakan persekitaran yang selamat dan tidak menghakimi untuk anak remaja anda. Ini boleh menggalakkan mereka untuk berkomunikasi secara terbuka dengan anda mengenai perubahan dan cabaran yang mereka alami.
- Kekal tenang dan sabar. Ketika anak remaja anda melalui pelbagai perubahan emosi, ibu bapa seharusnya menjangkakan hal-hal seperti emosi yang tidak stabil dan ledakan emosi secara tiba tiba. Adalah penting untuk bersifat empati serta kekal tenang dan sabar ketika berhadapan dengan emosi mereka yang berubah-ubah.
- Berikan galakan. Puji dan galakkan anak remaja anda ketika mereka menunjukkan sikap, pencapaian, atau usaha yang positif, berbanding memarahi mereka atau menumpukan pada kelakuan negatif mereka.
- Galakkan sikap berdikari. Ketika anak remaja anda membesar, berikan peluang untuk berdikari yang sepadan dengan umur mereka. Sebagai contoh, bersiap sedia sendiri untuk ke sekolah, membungkus bekal makanan sekolah mereka sendiri, merancang jadual pembelajaran mereka sendiri, dll.
- Sediakan bimbingan dan sokongan emosi. Tawarkan bimbingan dan nasihat apabila anak remaja anda menghadapi cabaran (cth. persahabatan, pembelajaran, atau masalah hubungan), jika mereka memerlukannya. Pastikan anak remaja anda tahu anda ada di sisi dan mereka sentiasa boleh meminta sokongan anda.
- Dapatkan bantuan pakar. Jika anak remaja anda mula mengalami perubahan yang mendatangkan kesan teruk terhadap aktiviti seharian mereka (cth. masalah jerawat yang teruk, menghadapi masalah kesihatan mental, perkembangan fizikal yang abnormal, dll.), dapatkan bantuan daripada pakar kesihatan yang bersesuaian.
Baligh ialah tempoh perubahan untuk para remaja, yang ditunjukkan melalui perubahan fizikal, emosi dan sosial. Dengan memahami perubahan berbeza yang dialami oleh para remaja ketika baligh dan bersiap sedia untuk menanganinya, ibu bapa boleh menyokong anak remaja mereka dengan lebih baik ketika tempoh perubahan yang penting ini.