Pengasuhan Positif

Membesarkan Anak Yang Bertutur Berbilang Bahasa

Di dunia kini, di mana kepelbagaian budaya kian berkembang dan menjadi norma, makin ramai kanak-kanak yang mempunyai kebolehan berbilang bahasa. Oleh itu, di negara seperti Malaysia dengan masyarakat berbilang budaya, kanak-kanak yang mampu berbicara setiap hari dalam dua, tiga mahupun empat bahasa bukanlah sesuatu yang luar biasa. Jadi, bagaimana ibu bapa boleh memupuk, menyokong dan membesarkan seorang anak yang boleh bertutur berbilang bahasa?

Manfaat boleh bertutur berbilang bahasa

Kajian menunjukkan pelbagai manfaat membesarkan anak yang boleh bertutur berbilang bahasa. Bertutur dengan kerap dalam lebih daripada satu bahasa sering dikaitkan dengan beberapa perkembangan kognitif seperti peningkatan kemahiran bahasa dan membaca, ingatan, kreativiti, serta kemahiran menyelesaikan masalah. Selain daripada itu, kebolehan bertutur dalam berbilang bahasa juga dikaitkan dengan kemahiran komunikasi (cth. menulis, membaca, pemahaman, mendengar dan bercakap) yang lebih baik. Kebolehan bertutur berbilang bahasa juga membuka peluang pendidikan, kerjaya dan kembara yang lebih luas pada masa hadapan dan meningkatkan lagi kesedaran budaya di kalangan kanak-kanak.

Panduan membesarkan anak yang boleh bertutur berbilang bahasa

  • Bermula sejak awal. Bahasa baru lebih mudah dipelajari pada usia lebih muda berbanding pada usia lebih tua. Oleh itu, ibu bapa digalakkan untuk mendedahkan bahasa baru kepada anak seawal mungkin.
  • Galakkan penglibatan. Galakkan anak anda untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang mendedahkannya kepada bahasa-bahasa berbeza. Sebagai contoh, dengan menghadiri acara kebudayaan atau menikmati media (cth. aktiviti, lawatan, buku, filem, muzik, rancangan TV, dll.) dalam bahasa berbeza. Namun, pastikan anda mengehadkan masa skrin untuk kanak-kanak kecil, terutamanya yang berumur bawah dua tahun. Bagi kanak-kanak lebih besar, masa skrin mereka juga harus dipantau dan dikawal.
  • Jadikan pembelajaran bahasa menyeronokkan. Terapkan pembelajaran bahasa ke dalam aktiviti keluarga yang berbeza. Ini termasuklah permainan, nyanyian lagu dll. Walau bagaimanapun, ibu bapa disarankan untuk tidak memaksa anak-anak belajar bahasa yang baru. Sebaliknya, gunakan penyampaian ilmu dengan cara yang menyeronokkan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran yang positif.
  • Wujudkan persekitaran pelbagai bahasa di rumah. Walaupun masyarakat di Malaysia secara amnya boleh bertutur berbilang bahasa, mungkin lebih berkesan jika ibu bapa juga menggunakan beberapa bahasa berlainan di rumah. Ini mewujudkan satu persekitaran yang mendedahkan anak kepada bahasa berlainan secara berterusan dan organik.

Soalan lazim

“Bilakah masa terbaik untuk kanak-kanak belajar bahasa baru?”

Umumnya, masa terbaik untuk kanak-kanak belajar bahasa baru adalah sebelum anak mencapai umur 10 tahun. Ini adalah kerana otak manusia paling mudah beradaptasi semasa tempoh perkembangan kritikal pada peringkat awal kehidupan. Kanak-kanak pada mulanya membina jaringan saraf di awal usia, diikuti dengan pengurangan (pruning) jaringan apabila makin membesar. Jaringan otak yang kerap digunakan akan diperkuat dan dikekalkan. Oleh itu, pendedahan kepada strategi pembelajaran bahasa yang konsisten dan tepat pada usia yang muda membolehkan tatabahasa dan sebutan dalam bahasa baru dipelajari dengan lebih awal dan lebih mudah.

“Adakah lebih baik untuk anak saya belajar bahasa-bahasa berbeza secara serentak atau berasingan?

Mengajar kanak-kanak bahasa yang berbeza boleh dilakukan secara serentak (perolehan serentak) atau secara berasingan (perolehan berturutan). Tiada “cara terbaik”, kerana ia bergantung kepada beberapa faktor seperti umur, persekitaran bahasa, perkembangan kognitif, ketekalan dan pendedahan kepada bahasa lain, dll. Dalam kebanyakan situasi, keluarga memutuskan untuk menggunakan gabungan kedua-dua jenis pendekatan.

“Adakah belajar banyak bahasa menyebabkan kelewatan bahasa?”

Ini satu salah faham yang biasa – mempelajari bahasa berbeza semasa zaman kanak-kanak tidak menyebabkan kelewatan bahasa (language delay). Bagi kanak-kanak yang tahu dua bahasa, walaupun kosa katanya dalam setiap bahasa secara berasingan mungkin kurang meluas daripada biasa, kosa kata gabungan (kedua-dua bahasa) adalah setanding dengan kanak-kanak yang hanya belajar satu bahasa sahaja.

Terdapat pengecualian kepada saranan ini bagi kanak-kanak yang telah dikenal pasti mengalami kelewatan bahasa oleh pakar. Bagi kanak-kanak ini, mungkin lebih bermanfaat untuk mereka menumpukan kepada perolehan dan penguasaan satu bahasa terlebih dahulu. Namun, pendekatan yang sesuai untuk kanak-kanak ini seharusnya dibincangkan dengan doktor dan pakar terapi yang bekerjasama dengan kanak-kanak tersebut dan keluarganya.

Di Malaysia, kebolehan untuk bercakap dalam pelbagai bahasa adalah sebahagian daripada rutin harian kita. Oleh itu, ibu bapa perlu terlibat secara aktif dalam membantu anak-anak mereka mempelajari bahasa baru. Dengan cara ini, anda bukan sahaja memberikan anak anda anugerah istimewa, iaitu satu bahasa baru, malah anda juga membantu mereka menjadi lebih baik dalam berkomunikasi dengan orang lain.

Langgani surat berita pengasuhan kami.