Pengasuhan Positif

Memahami COVID-19 & Varian SARS-CoV-2

Semasa pandemik beberapa tahun kebelakangan ini, anda tentu pernah mendengar istilah seperti varian, subvarian, Alpha, Beta, Delta, Omicron, atau yang terkini, Arcturus, Eris dan Pirola. Tetapi adakah anda tahu apa maksudnya dan bagaimana ini boleh membantu kita memahami virus tersebut dan mengawal wabak ini?

Apa itu varian?

Virus cenderung untuk berevolusi apabila ia tersebar dalam kalangan manusia. Ini kerana perubahan kod genetik yang berlaku semasa replikasi genom, yang mungkin berpunca daripada mutasi genetik atau rekombinasi virus.

Kebanyakan perubahan genetik tidak menjejaskan ciri-ciri virus. Namun, ada perubahan yang boleh mengubah ciri-ciri penting, seperti kadar penyebaran, keterukan gejala penyakit, kebolehan virus mengelak vaksin dan ketahanan terhadap ubat-ubatan. Apabila virus melalui perubahan penting kesan daripada satu atau lebih mutasi yang menjadikannya berbeza daripada virus asal, ia dikenali sebagai ‘varian’.

Kepelbagaian varian

Semasa pandemik, varian SARS-CoV-2 yang berkongsi sifat dan ciri-ciri boleh dibahagikan kepada kategori berikut berdasarkan penilaian risiko:

  • Varian dalam pemantauan (Variants under monitoring, VUM): Varian dengan perubahan genetik yang disyaki boleh memberi kesan pada ciri-ciri virus, serta menunjukkan tanda-tanda awal kelebihan dari segi pertumbuhan berbanding varian lain yang sedang tersebar, namun bukti kesannya pada skala lebih besar masih belum jelas, dan memerlukan pemantauan lanjut dan penilaian semula dengan bukti baru.
  • Varian yang menarik perhatian (Variants of interest, VOI): Varian dengan perubahan genetik yang dijangka atau diketahui memberi kesan pada ciri-ciri virus (cth. kadar penyebaran, kemudaratan, pengelakan antibodi, kerentanan pada ubat-ubatan) dan diketahui mempunyai kelebihan dari segi pertumbuhan berbanding varian lain di banyak kawasan, dengan kadar kejadian dan bilangan kes yang makin meningkat atau kesan-kesan lain yang menunjukkan terdapat risiko yang makin besar terhadap kesihatan awam sedunia.
  • Varian yang menjadi kerisauan (Variants of concern, VOC): Varian yang mempunyai ciri-ciri VOI dan memenuhi salah satu syarat berikut berbanding varian lain:
    • Peningkatan mendadak dari segi keterukan penyakit
    • Perubahan epidemiologi COVID-19 yang amat menjejaskan keupayaan sistem kesihatan untuk menyediakan rawatan kepada pesakit hingga memerlukan intervensi kesihatan awam secara besar-besaran
    • Penurunan mendadak dari segi keberkesanan vaksin terhadap penyakit teruk

Sepanjang pandemik COVID-19, SARS-CoV-2 terus bermutasi dan banyak varian telah dikenal pasti di seluruh dunia. Pada Mei 2021, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula menggunakan huruf Yunani untuk melabel VOC dan VOI agar lebih mudah untuk orang ramai membincangkan dan merujuk kepada varian SARS-CoV-2 yang penting.

Berikut beberapa varian utama:

  • Alpha (B.1.1.7): Ia merupakan varian pertama yang menggunakan label huruf Yunani. Varian ini pertama kali dilaporkan di United Kingdom pada November 2020. Kajian menunjukkan bahawa varian ini 40-80% lebih mudah merebak berbanding virus asal. Ia merupakan varian utama sebelum kemunculan varian Delta yang lebih agresif.
  • Delta (B.1.617.2): Varian ini pertama kali dikesan di India pada Oktober 2020. Ia menjadi varian utama sehinggalah varian Omikron menggantikannya pada pertengahan Disember 2021. Kajian menjangkakan bahawa Delta menyebabkan dua kali lebih banyak jangkitan berbanding varian sebelumnya.
  • Omicron (B.1.1.529) dan subvariannya: Varian Omicron yang asal pertama kali dikesan di Botswana dan dilaporkan di Afrika Selatan pada November 2021. Varian ini mula muncul dan merebak dengan pantas di negara lain, lalu menjadikannya varian utama yang tersebar di seluruh dunia pada penghujung 2021. Pada 2022 dan 2023, ia menghasilkan beberapa subvarian, seperti BA.2.75 (digelar “Centaurus”), XBB.1.16 (digelar “Arcturus”), EG.5 (digelar “Eris”) dan BA.2.86 (digelar “Pirola”). Lebih daripada 98% jujukan genetik yang boleh didapati orang awam sejak Februari 2022 terdiri daripada varian-varian Omicron, oleh itu varian SARS-CoV-2 yang baru besar kemungkinan akan muncul daripada varian-varian ini.

Varian dan vaksinasi

Kepelbagaian varian SARS-CoV-2 menyukarkan usaha kita dalam mengawal COVID-19, walaupun beberapa vaksin telah dihasilkan dan diedarkan ke serata dunia. Menurut kajian, sesetengah varian lebih tahan terhadap vaksin dan boleh mengelak daripada tindak balas imun. Ini merupakan salah satu penjelasan kenapa jangkitan semula terjadi kepada individu yang telah sembuh daripada COVID-19 atau yang telah divaksin.

Walaupun terdapat kemunculan varian baru, mujurlah vaksinasi masih boleh melindungi kita daripada akibat buruk COVID-19. Vaksin sedia ada dijangka boleh memberikan sekurang-kurangnya sebahagian perlindungan terhadap varian baru kerana vaksin biasanya dicipta untuk menghasilkan tindak balas imun yang luas. Maka, perubahan pada genom virus tidak semestinya menjadikan vaksin tidak berkesan sepenuhnya. Kandungan vaksin juga boleh diubah suai untuk memberi perlindungan terhadap varian-varian baru ini. Para saintis, penyelidik dan pegawai kesihatan juga sedang bekerjasama untuk memahami bagaimana varian-varian ini mempengaruhi sifat-sifat virus dan keberkesanan vaksin, serta bagaimana vaksin boleh ditambah baik dan dikemas kini.

Buat masa ini, pencegahan masih lagi perlindungan terbaik terhadap COVID-19. Selain daripada langkah pencegahan biasa seperti amalan kebersihan dan adab pernafasan yang baik, dos penggalak juga disarankan bagi golongan berisiko tinggi 6-12 bulan selepas dos terdahulu. Vaksinasi yang lengkap, serta dos penggalak, boleh mengurangkan risiko penyakit teruk, kemasukan ke hospital, dan kematian. Bincang dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang dos penggalak vaksin COVID-19 dan bagaimana untuk mendapatkannya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.