Vaksin memainkan peranan penting dalam pencegahan penyakit, sekaligus menyelamatkan nyawa individu sama ada yang muda atau yang berumur.
Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-kanak
Kenapa kita perlu mengambil banyak dos?
Jika kita melihat buku vaksinasi kanak-kanak, kita akan mendapati bahawa vaksin DTaP/IPV/HepB/Hib memerlukan banyak dos atau suntikan, manakala hanya satu dos diperlukan untuk vaksin BCG. Selain itu, seseorang perlu mendapatkan vaksin influenza setiap tahun. Kenapa sesetengah vaksin memerlukan banyak dos, ada yang memerlukan suntikan setiap tahun, dan ada yang hanya diberi sekali?
Bagi memahami hal ini, mari kita kaji bagaimana vaksin berfungsi. Vaksin mengandungi cebisan bakteria atau virus, yang apabila disuntik atau ditelan, akan merangsang sistem imuniti untuk menghasilkan antibodi. Namun, bagi bayi, satu dos mungkin tidak mencukupi untuk menghasilkan paras antibodi yang cukup tinggi atau bertahan lama. Bagi menghasilkan paras antibodi yang cukup tinggi dan tahan lama, beberapa dos perlu diberi mengikut jadual.
Contoh vaksin untuk bayi yang memerlukan lebih daripada satu dos, serta dos penggalak:
- Difteria/Tetanus/Pertusis/IPV/Hepatitis B/Hib (vaksin enam serangkai) – dos utama diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan, dan dos penggalak pada umur 18 bulan
- Campak, Beguk dan Rubella (Measles, Mumps and Rubella, MMR) – diberi pada umur 9 dan 12 bulan
- Vaksin Konjugat Pneumokokus (Pneumococcal Conjugate Vaccine, PCV) – dos utama diberi pada umur 4 dan 6 bulan, dan dos penggalak pada umur 15 bulan
Kenapa kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun?
Pada masa yang sama, vaksin influenza perlu diambil setiap tahun. Kenapa ini berlaku? Adakah satu dos tidak mencukupi?
Terdapat beberapa jenis virus influenza, di mana dua daripadanya boleh menyebabkan wabak di kalangan manusia, iaitu Influenza A dan B. Influenza A dan B pula sering berubah dari segi komposisi kerana mutasi bahan genetik virus tersebut. Disebabkan komposisi genetik yang berbeza, vaksin untuk influenza juga perlu diubahsuai supaya berkesan untuk kelompok virus influenza berkenaan. Oleh itu, seseorang perlu mengambil vaksin influenza terbaru untuk mendapat perlindungan yang optimum.
Vaksin influenza terkini di pasaran dikenali sebagai vaksin empat serangkai. Ia mengandungi dua strain Influenza A dan dua strain Influenza B. Strain atau subtype yang dimasukkan ke dalam vaksin ini ditentukan oleh para pakar berdasarkan pemerhatian dan ramalan mereka.
Siapa yang patut mengambil vaksin influenza?
Vaksin influenza boleh diberi seawal umur 6 bulan. Semua orang digalakkan mengambil vaksin influenza setiap tahun. Golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan influenza lebih teruk serta komplikasi akibat influenza amat digalakkan untuk mengambil vaksin ini. Antara golongan tersebut adalah:
- Wanita mengandung
- Kanak-kanak bawah umur 5 tahun
- Orang dewasa berumur 65 tahun ke atas
- Individu dengan masalah kesihatan kronik, seperti diabetes, asma, penyakit paru-paru kronik
- Pekerja kesihatan
- Ahli keluarga yang tinggal bersama bayi dan individu rentan lain yang mungkin tidak boleh mengambil vaksin
Tanyalah doktor anda tentang vaksin influenza tahunan. Ia boleh menyelamatkan nyawa anda dan orang lain.