Pengasuhan Positif

Ibu Bapa vs Media Sosial: Pengaruh Terhadap Kanak-Kanak

Media sosial telah menjadi satu perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan anak-anak kita. Dunia digital pada hari ini yang kian berkembang, dengan pelbagai manfaat dan cabarannya, mendesak ibu bapa untuk mengubah pendekatan mereka dalam pengasuhan. Pendedahan anak-anak kita yang berterusan terhadap media sosial dan peranti pintar pada usia yang muda mungkin mempunyai pelbagai kesan jangka masa panjang yang tidak disedari oleh para ibu bapa. Maka, ibu bapa harus memahami interaksi kompleks yang wujud antara media sosial, pengasuhan dan kanak-kanak.

Pengaruh media sosial ke atas kanak-kanak [Datuk Dr Zulkifli Ismail]

Satu laporan UNICEF memetik satu tinjauan pada 2017 yang menunjukkan bahawa 92% pelajar Malaysia berumur 13-17 tahun mempunyai akaun media sosial, manakala satu tinjauan pada 2018 mendapati 92% kanak-kanak berumur 5-17 tahun menggunakan internet. Hal ini menunjukkan penggunaan media sosial dan internet yang meluas dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, “Media sosial telah menjadi sebahagian daripada hidup kebanyakan kanak-kanak pada hari ini, dan puncanya mudah dilihat. Saluran media sosial telah memudahkan kanak-kanak untuk bersosial dengan menyediakan cara-cara baru untuk berhubung dengan rakan-rakan walau di mana saja mereka berada. Ia telah berkembang menjadi satu taman permainan maya berasaskan minat, waktu lapang dan persahabatan.” Pakar perunding pediatrik tersebut menambah lagi, “Namun, terdapat juga cabaran yang datang dengan media sosial. Bagi ramai kanak-kanak, akaun media sosial mereka adalah sebahagian daripada diri mereka di alam maya. Jadi, apa-apa komen negatif dalam dunia digital akibat buli siber boleh mendatangkan kesan terhadap diri fizikal mereka. Kejadian seperti ini boleh merendahkan keyakinan diri mereka, mengganggu persepsi imej tubuh mereka dan mencetuskan masalah-masalah kesihatan mental.”

Cengkaman media sosial ke atas minda kanak-kanak tidak terhad kepada komen kebencian. Pengerusi Program Pengasuhan Positif itu menjelaskan “Kehadiran personaliti-personaliti dalam talian, pempengaruh media sosial dan trend-trend dalam talian yang sentiasa berubah juga berperanan penting dalam mempengaruhi pilihan kanak-kanak dari segi sosial, etika, intelektual dan kesihatan. Pada usia yang muda, kanak-kanak mudah menerima apa yang disampaikan kepada mereka tanpa kebolehan untuk mengabaikan atau menolak kandungan dan nilai-nilai negatif.” Beliau juga menambah, “Sekatan umur sukar untuk dilaksanakan, dan ini memudahkan kanak-kanak mengakses kandungan yang tidak sesuai bagi umur mereka. Ibu bapa perlu lebih peka dan aktif dalam memantau kegiatan dalam talian kanak-kanak. Mereka juga perlu menggalakkan kanak-kanak untuk bercakap mengenai pengalaman atau kandungan internet yang mereka dapati mengelirukan atau mengganggu.” UNICEF melaporkan bahawa apabila para remaja ditanya mengenai perkara yang paling mengganggu mereka tentang media sosial, ramai yang menyatakan mereka tertekan akibat sesetengah jenis kandungan, selepas menemui video-video ganas, pergaduhan di sekolah, kemalangan, penipuan atas talian dan maklumat palsu.

Media sosial dan peranti: pengasuh digital [Datuk Dr Zulkifli Ismail]

Walaupun teknologi digital mempunyai banyak fungsi yang berguna, membiarkan kanak-kanak kecil menggunakannya tanpa pemantauan juga ada keburukannya. Ibu bapa sering menjadikannya sebagai satu cara mudah untuk memastikan anak-anak terhibur sementara mereka melakukan tugas lain seperti memasak, mengemas rumah, dll. Namun, Datuk Dr Zulkifli memberi amaran bahawa apabila ibu bapa semakin bergantung kepada peranti digital, mereka secara tidak langsung membenarkan “pengasuh digital” ini untuk menggantikan peranan mereka sebagai ibu bapa: “Kanak-kanak yang sering menghabiskan masa yang panjang melihat skrin peranti akan terlepas peluang tidak ternilai untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak. Ini boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan. Waktu skrin yang berpanjangan dengan interaksi yang berkurangan antara ibu bapa dan anak juga menjadikan kanak-kanak berisiko mengalami kelewatan pertuturan dan interaksi sosial.”

Kita perlu berpandangan seimbang terhadap isu ini dengan melihat kepada tabiat ibu bapa juga. Kadangkala ibu bapa juga turut sama bersalah apabila mereka leka dengan peranti mereka dan menghabiskan masa berlebihan di media sosial. Tetapi apa yang menghalang ibu bapa dan anak-anak daripada berhenti menggunakan telefon bimbit mereka dengan mudah? Pakar kardiologi pediatrik itu menjelaskan, “Dalam dunia teknologi hari ini, platform dalam talian direka untuk menarik dan menangkap perhatian para penonton tidak kira umur. Sifat media sosial yang menggoda dan menawan menyukarkan ibu bapa dan anak-anak untuk mengalihkan perhatian daripada skrin. Usaha secara sedar sama-sama diperlukan oleh ibu bapa dan anak-anak bagi membebaskan diri daripada media sosial untuk mencapai keseimbangan antara dunia digital dan nyata. Seharusnya ibu bapa mengamalkan disiplin kendiri secara rutin dalam penggunaan media sosial mereka, di samping memantau waktu skrin anak-anak mereka. Mereka juga harus memastikan bahawa masa yang diperuntukkan bagi aktiviti-aktiviti lain mencukupi, termasuk aktiviti yang menggalakkan kanak-kanak menjadi kreatif, berinteraksi dengan ahli keluarga dan menjadi lebih aktif.”

Kesan jangka masa panjang penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak [Dr Serena In]

Sebagai ibu bapa, kita telah menyaksikan sejak awal bagaimana penggunaan media sosial telah berkembang dan memberi kesan pada anak-anak kita. Oleh itu, ibu bapa juga perlu memahami kesan jangka masa panjang penggunaan media sosial secara berlebihan atau tanpa kawalan ke atas tumbesaran dan kesejahteraan anak-anak.

Dr Serena In mengangkat isu-isu kesihatan mental yang datang dengan penggunaan media sosial yang keterlaluan. Beliau menyatakan, “Penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menjadi faktor penyumbang kepada masalah-masalah kesihatan mental, terutamanya kemurungan, keresahan dan pelbagai tabiat ketagihan. Kanak-kanak yang meluangkan terlalu banyak masa dalam talian juga mungkin berisiko terdedah kepada buli siber and perbandingan sosial berterusan dengan orang lain yang boleh menyebabkan mereka rasa kekurangan dan tidak selesa dengan diri sendiri.”

Pakar psikologi klinikal tersebut menerangkan lagi bagaimana ini boleh menyebabkan masalah imej tubuh. Beliau menambah, “Pemakanan kurang berkhasiat, pertambahan berat badan, karies gigi dan tabiat makan yang tidak sihat telah dikaitkan dengan penggunaan media sosial yang berlebihan. Waktu skrin yang berterusan boleh menyebabkan seseorang menjadi kurang peka dengan pilihan makanan yang sihat dan terlibat dengan tabiat makan tidak terkawal. Selanjutnya, ia boleh memburukkan lagi masalah imej tubuh, yang biasanya dilihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mungkin mempunyai masalah keyakinan diri dan mengambil langkah penurunan berat badan secara tidak sihat. Hal ini berlaku apabila mereka sentiasa terdedah kepada diet-diet popular dan kaedah penurunan berat badan yang keterlaluan yang mungkin dipromosikan oleh orang lain yang taksub dalam mengekalkan tubuh yang sempurna. Ini menyebabkan berlakunya masalah pemakanan, yang merupakan satu isu yang perlu diambil berat oleh ibu bapa.”

Pakar psikologi klinikal itu juga mengetengahkan bahawa masalah tingkah laku adalah antara kesan negatif jangka panjang penggunaan media sosial yang berlebihan dalam kalangan kanak-kanak. Beliau menjelaskan, “Kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan dalam kalangan kanak-kanak mempunyai kaitan dengan kemungkinan terjadinya masalah tingkah laku seperti hiperaktiviti, sukar menumpukan perhatian, gangguan tidur dan isu tingkah laku.”

Apa yang ibu bapa boleh lakukan tentang perkara ini? [Dr Mary Marret]

Menyedari bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan boleh meninggalkan kesan jangka panjang yang negatif terhadap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan langkah pertama yang penting. Seterusnya, apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk menerapkan tabiat baik dalam penggunaan media sosial oleh anak-anak mereka?

Menurut Dr Mary Joseph Marret, “Ibu bapa boleh membantu dengan menetapkan batasan yang jelas dan membimbing anak-anak mereka untuk mengamalkan kawalan kendiri. Kebanyakan ibu bapa sedar akan keperluan untuk menetapkan had masa dari segi tempoh dan masa khusus untuk anak-anak dibenarkan mengakses media sosial. Namun, tidak semua ibu bapa sedar akan kepentingan peraturan dan bimbingan apabila melibatkan aktiviti dalam talian anak-anak. Ibu bapa perlu mencari keseimbangan antara memberi anak-anak kebebasan seadanya untuk bersosial dengan rakan-rakan, serta melindungi mereka daripada bahaya media sosial dan pemangsa dalam talian. Bagi kanak-kanak lebih kecil, ini mungkin melibatkan pembatasan fungsi perbualan dengan orang tidak dikenali atau menetapkan had kandungan bagi memastikan mereka hanya terdedah kepada kandungan yang bersesuaian dengan umur. Apabila kanak-kanak semakin besar, ibu bapa perlu mengadakan perbincangan terbuka mengenai keperluan mengamalkan kawalan kendiri, melindungi keselamatan peribadi dan mengelakkan daripada membuat ulasan dan pernyataan yang biadab atau tidak sopan.”

Ibu bapa juga harus mengamalkan komunikasi terbuka dan mengadakan perbincangan berterusan dengan anak-anak mereka mengenai media sosial. Pakar perunding pediatrik itu berkata, “Ibu bapa harus mengadakan perbualan berterusan mengenai media sosial dengan anak-anak mereka. Penting untuk memupuk persekitaran dan hubungan di rumah yang menyediakan ruang selamat untuk kanak-kanak berbicara dengan bebas mengenai pengalaman mereka di media sosial tanpa rasa takut dinilai. Ini akan menggalakkan kanak-kanak untuk mendapatkan nasihat daripada ibu bapa mereka dan membantu mereka apabila menghadapi kesukaran seperti buli siber atau gangguan seksual dalam talian.” Tambahan lagi, Dr Mary menekankan kepentingan ibu bapa sebagai teladan untuk kanak-kanak. Beliau menyatakan, “Ibu bapa harus mengamalkan apa yang mereka ajarkan. Menetapkan batasan untuk diri sendiri akan mengajar anak anda untuk menjadikannya contoh untuk diikuti.”

Langkah untuk ibu bapa mendekatkan diri dengan anak-anak [Dr Serena In & Dr Mary Marret]

Satu langkah yang berkesan untuk mengelakkan kanak-kanak daripada menggunakan teknologi dan media sosial secara berlebihan atau tidak berhemah adalah dengan berusaha untuk lebih melibatkan diri dan berkomunikasi dengan mereka. Ini bermakna meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dan menyediakan satu persekitaran di mana si kecil anda rasa difahami dan dihargai.

Dr Serena menekankan “Hubungan antara ibu bapa dan anak-anak telah berubah di zaman media sosial ini. Kanak-kanak pastinya akan makin renggang daripada ibu bapa akibat masa yang dihabiskan dengan banyak pada peranti dan media sosial. Oleh itu, ibu bapa perlu giat berusaha untuk memupuk hubungan yang lebih erat, antaranya dengan sentiasa ada secara fizikal dan emosi untuk anak-anak apabila diperlukan.” Tambahan lagi, Dr Serena juga menyatakan kepentingan untuk membina kepercayaan antara ibu bapa dan anak agar dapat merapatkan lagi hubungan. Katanya, “Apabila terdapat sifat saling mempercayai antara ibu bapa dan anak, ini dapat membantu untuk membina hubungan yang lebih erat dan kuat. Hal ini membuatkan ibu bapa lebih mudah didekati dan relevan, dan anak-anak akan mula rasa lebih selesa untuk bercakap tentang pandangan dan perasaan mereka secara lebih terbuka.”

Dr Mary bersetuju dengan hal ini, dan menekankan lagi kepentingan komunikasi yang baik. Beliau menjelaskan, “Apabila remaja tidak lagi rasa tertekan, mereka akan lebih mudah berhubung. Cara mereka berhubung boleh jadi semudah berkongsi tentang hari mereka. Jika ibu bapa terus bersifat terbuka dan menunjukkan minat, mereka pasti boleh mendengar lebih banyak lagi. Jadi, ibu bapa perlu terus melibatkan diri dan memberikan tumpuan kepada anak-anak bagi memudahkan komunikasi terbuka dalam hubungan dan mendekatkan diri dengan mereka.”

Kesimpulan

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, kita harus mengubah gaya pengasuhan kita untuk mengendalikan pendedahan anak-anak kepada peranti dan media sosial secara berkesan. Bentuk-bentuk teknologi ini kini menjadi “pengasuh digital”, lalu mengambil alih detik-detik perhubungan antara ibu bapa dan anak-anak yang tidak ternilai. Tambahan lagi, kesan-kesan negatif yang mungkin muncul seperti masalah kesihatan mental, masalah imej tubuh, buli siber dan pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai menunjukkan betapa pentingnya pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa harus menetapkan peraturan asas mengenai waktu skrin oleh anak-anak dan mengadakan perbincangan terbuka mengenai penggunaan media sosial mereka.

Ibu bapa juga perlu mendekati anak-anak mereka dan menyediakan satu persekitaran selamat tanpa prasangka supaya mereka rasa lebih selesa untuk bersuara apabila membincangkan pengalaman media sosial mereka. Di dunia digital yang sering berubah-ubah ini, kita sebagai ibu bapa juga perlu sentiasa menyesuaikan diri.

 

Bersama Dr Mary Joseph Marret, Pakar Perunding Pediatrik

Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi, Program Pengasuhan Positif

Langgani surat berita pengasuhan kami.