Batuk dalam kanak-kanak bukanlah hal yang aneh. Malah, sebagai ibu bapa, kita sering menganggap yang ia tidak perlu dirisaukan. Namun, bukan semua batuk adalah sama. Sesetengah batuk mungkin menandakan masalah yang lebih serius. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk memahami jenis-jenis batuk yang berbeza pada kanak-kanak.
Apakah jenis batuk yang berbeza dan puncanya dalam kanak-kanak?
- Batuk berkahak – Apabila kanak-kanak batuk dan menghasilkan cecair pekat berlendir (mukus). Dalam sesetengah kes, mukus atau kahak ini berwarna hijau atau kuning, dan ini mungkin petanda jangkitan pernafasan (cth. selesema biasa, influenza, dll.).1
- Batuk menyalak – Biasanya kedengaran seperti bunyi kasar seperti “salakan anjing laut”, batuk menyalak (barky) merupakan gejala penyakit krup (croup). Ini berlaku akibat keradangan salur pernafasan atas, yang selalunya mengakibatkan suara serak dan bunyi halus nyaring semasa bernafas.2 Dalam kebanyakan kes, krup berpunca daripada jangkitan virus.3
- Batuk berdehit – Kedengaran seperti bunyi siulan nyaring, yang paling ketara semasa menghembuskan nafas dan biasanya disebabkan oleh salur pernafasan yang menyempit (cth. bronkiolitis virus, asma, dll.).3,4 Batuk berdehit juga mungkin berpunca daripada salur pernafasan yang tersekat akibat objek asing.4
- Batuk berpanjangan – Batuk untuk satu tempoh yang lama (berminggu-minggu) mungkin merupakan tanda jangkitan virus.2 Antara punca lain termasuklah asma, alahan, atau masalah kronik yang menjejaskan sistem pernafasan.1,2
- Batuk berdesis – Batuk yang pendek dan cepat serta bunyi berdesis apabila kanak-kanak menarik nafas.1,5 Ia disebabkan oleh penyakit yang boleh dicegah vaksin yang dipanggil batuk kokol atau pertusis. Batuk kokol boleh menyebabkan kesukaran bernafas dalam kanak-kanak kecil.1
Ringkasan Punca Utama Batuk Dalam Kanak-kanak6 |
· Jangkitan salur pernafasan (bakteria, virus, dll.)
· Penyakit pneumokokus · Alahan · Asma · Refluks gastroesofagus (GER) · Perengsa persekitaran (cth. udara sejuk, asap rokok, pencemaran, dll.) · Tertelan objek asing · Masalah menelan atau masalah struktur salur udara |
Bilakah ibu bapa patut risau tentang batuk pada kanak-kanak?
Batuk boleh menjadi serius. Bincang dengan doktor sekiranya anak anda batuk dan menunjukkan mana-mana gejala berikut1,2:
- Demam panas (suhu lebih 38°C)
- Bibir, muka, atau lidah bertukar biru
- Kuat meragam atau selalu mengantuk
- Sukar bernafas (cth. bernafas laju, sesak nafas, dll.)
- Dehidrasi (cth. pening, mulut kering, mata cekung, kurang kencing, dll.)
- Bunyi “berdesis” semasa menarik nafas selepas batuk
- Batuk berdarah
Mencegah batuk pada kanak-kanak
Batuk ialah gejala tidak khusus yang boleh berlaku dan mendatangkan pelbagai masalah berbeza kepada kanak-kanak. Oleh itu, pencegahan batuk bergantung pada puncanya. Namun begitu, terdapat beberapa tip umum untuk mencegah batuk pada kanak-kanak:
- Amalkan kebersihan yang baik. Ini termasuklah kerap membasuh tangan dengan sabun dan mengelakkan daripada menyentuh muka dengan tangan. Ini boleh mencegah penyebaran jangkitan yang menyebabkan batuk.6
- Pastikan imunisasi dikemaskini. Sesetengah penyakit berjangkit yang menyebabkan batuk pada kanak-kanak boleh dicegah dengan vaksinasi.6 Contohnya, batuk kokol boleh dicegah dengan memastikan kanak-kanak kecil mendapat vaksin Difteria Tetanus Pertusis (DTaP).7 Selain itu, wanita hamil boleh mendapatkan vaksin Tetanus Difteria Pertusis (Tdap) untuk memberi perlindungan awal kepada bayi mereka.7 Contoh penyakit lain yang boleh dicegah oleh vaksin ialah penyakit pneumokokus dan influenza.6
- Patuhi pelan tindakan asma/alahan. Jika batuk berpunca daripada asma atau alahan, ibu bapa harus merujuk kepada pakar perubatan untuk menetapkan pelan tindakan. Ini boleh membantu mengurangkan keterukan dan kekerapan batuk.6
- Awasi bahaya tercekik. Jangan berikan anak anda objek asing yang boleh menyebabkan bahaya tercekik.6 Contohnya, duit syiling, mainan plastik kecil, bungkusan produk, dll.
Kesimpulan
Oleh itu, ibu bapa wajib menyedari bahawa batuk dalam kanak-kanak juga boleh menandakan masalah serius. Dengan mengetahui jenis-jenis batuk yang berbeza serta mengambil langkah pencegahan, kita boleh menjamin kesihatan anak kita. Pertahanan terbaik adalah dengan mengambil tahu dan bertindak proaktif.