Pandemik COVID-19 telah mengubah secara drastik bagaimana kita berinteraksi dan mengasuh anak-anak kita. Ini termasuklah bagaimana mereka bergaul dengan rakan sebaya, iaitu melalui playdate, di sekolah, dll.
Playdate, satu kegiatan di mana beberapa ibu bapa mengatur supaya anak-anak mereka bertemu dan bermain bersama, merupakan satu cara untuk menggalakkan interaksi sosial antara kanak-kanak. Malangnya, pandemik dan sekatan pergerakan menghalang kanak-kanak pergi ke playdate, dan kekurangan interaksi dengan rakan sebaya mereka menjadi kebimbangan sesetengah ibu bapa. Kini, ketika kita mula memasuki era pasca-COVID-19, ibu bapa mula merancang semula playdate untuk anak-anak.
Namun, sepertimana yang kita pelajari semasa pandemik, mencegah lebih baik daripada merawat. Ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati, bukan saja terhadap COVID-19, malah jangkitan lain seperti influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), dan respiratory syncitial virus (RSV). Malah, COVID-19 juga masih menjadi ancaman kerana ia boleh bermutasi menjadi varian membimbangkan yang baru. Maka, ibu bapa harus sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga semasa anak mereka pergi ke playdate dengan mengukuhkan perkara asas seperti kebersihan tangan dan adab pernafasan.
Kebersihan tangan: asas keselamatan
Kebersihan tangan sememangnya satu asas, namun ia makin penting semasa pandemik. Sebelum merancang playdate, anda perlu mendidik anak anda dan rakan-rakannya cara membersihkan tangan dengan betul.
Ajar mereka untuk membasuh tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya selama 20 saat, terutamanya apabila mula-mula sampai, sebelum dan selepas menggunakan tandas, sebelum makan, dan sebelum pulang ke rumah. Jika tiada sabun dan air, guna pencuci tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 60% alkohol sebagai alternatif. Galakkan mereka membasuh tangan dengan kerap sepanjang pertemuan untuk mengurangkan risiko penyebaran kuman.
Adab pernafasan: prihatin terhadap orang lain
Kanak-kanak sering terlupa tentang adab pernafasan, seperti menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin. Sebagai ibu bapa, penting untuk menggalakkan amalan tersebut semasa pertemuan. Ajar anak anda untuk menutup muka dengan bahagian dalam siku atau tisu apabila batuk atau bersin, dan segera buang tisu yang telah diguna.
Ingatkan mereka supaya tidak menyentuh muka, terutamanya mata, hidung, dan mulut, untuk mengurangkan risiko penyebaran kuman. Pastikan ada komunikasi terbuka dengan ibu bapa yang lain agar mereka juga boleh memupuk amalan ini di rumah.
Merancang pertemuan yang selamat
Bagi merancang playdate yang selamat, terdapat faktor tambahan yang perlu dipertimbangkan selain daripada kebersihan tangan dan adab pernafasan:
- Komunikasi: Sebelum merancang playdate, berbincang dahulu secara terbuka dan jujur dengan ibu bapa kanak-kanak lain. Bincangkan kerisauan, jangkaan dan langkah keselamatan yang dipersetujui kedua-dua pihak. Persefahaman dan kerjasama amat penting untuk playdate yang selamat dan berjaya.
- Jangan hadiri jika sakit: Jika anda atau anak anda rasa tidak sihat, maklumkan kepada ibu bapa yang lain dan jangan hadir ke playdate. Jika anda ialah penganjurnya, anda boleh menunda pertemuan itu hingga semua orang sihat. Jadi pihak yang bertanggungjawab dan jangan sebarkan jangkitan kepada orang lain.
- Hadkan saiz dan masa: Pastikan sesi playdate ini hanya terhad kepada kumpulan kecil kanak-kanak. Kumpulan yang kecil lebih mudah dikawal, jadi lebih senang untuk memastikan langkah keselamatan dipatuhi. Tempoh sesi tersebut juga sepatutnya tidak terlalu lama – satu sesi sosial selama 1-2 jam sudah cukup untuk kanak-kanak.
- Aktiviti luar rumah: Pilih aktiviti luar rumah jika boleh kerana udara segar dan ruang terbuka boleh mengurangkan risiko penyebaran jangkitan. Lakukan aktiviti seperti berkelah, melawat taman, atau meneroka alam, di mana jarak fizikal lebih mudah dikawal.
- Cuci mainan dan permukaan: Sebelum dan selepas pertemuan, basuh dan cuci mainan dan permukaan yang kerap disentuh untuk mengurangkan risiko kontaminasi.
- Tetapkan peraturan: Tetapkan peraturan asas, contohnya tidak boleh memukul atau menggigit, tidak boleh mengejek nama, serta menghormati mainan dan barang masing-masing. Bincang dengan ibu bapa lain tentang pengawasan orang dewasa, panduan pemakanan, ruang bermain, dll.
- Vaksinasi: Pastikan vaksinasi anak anda lengkap mengikut jadual program imunisasi kebangsaan. Jangan lupa untuk dapatkan vaksin COVID-19 dan dos penggalaknya jika anak anda layak menerimanya (berumur 5 tahun ke atas). Vaksin tambahan lain yang disarankan juga boleh didapati. Rujuk doktor anak anda untuk mengetahui lebih lanjut.
- Berseronok! Jangan biarkan peraturan menghalang anak anda daripada bergembira. Yang paling penting adalah mereka boleh bergaul dan bermain dengan rakan-rakan mereka.
Semasa tempoh peralihan ke era pasca-COVID-19 ini, keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita perlu menjadi keutamaan semasa playdate. Dengan mengikuti tip-tip ini, kita boleh memastikan anak-anak kita mendapat manfaat interaksi sosial di samping menjaga kesihatan mereka.