Pengasuhan Positif

Jadikan Rumah Anda Bebas Influenza

Apabila ada ahli keluarga yang menghidap influenza (juga dipanggil flu), biasanya ahli keluarga lain yang tidak dijangkiti akan meneruskan kegiatan seharian seperti biasa. Namun, setiap ahli keluarga perlu menyedari bahawa influenza mudah tersebar dan menjangkiti sesetengah ahli keluarga. Kita perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang langkah pencegahan yang perlu untuk melindungi keluarga daripada influenza.

Bagaimana influenza tersebar?

Virus influenza lazimnya tersebar melalui titisan pernafasan. Apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin, mereka mengeluarkan titisan pernafasan yang mengandungi virus. Titisan ini boleh memasuki salur pernafasan orang lain dan menjangkiti mereka juga.

Satu lagi cara virus ini boleh tersebar ialah melalui permukaan di rumah (seperti tombol pintu, suis lampu dan meja dapur) yang telah dicemari titisan pernafasan daripada orang yang dijangkiti. Jika individu lain menyentuh permukaan tersebut dan kemudian menyentuh mulut atau hidung mereka, virus tersebut boleh memasuki badan dan menjangkiti mereka juga.

Kenapa penting untuk mencegah penyebaran influenza dalam rumah?

Di negara-negara Asia terutamanya, lazimnya terdapat beberapa generasi ahli keluarga dalam satu rumah (datuk nenek, ibu bapa, anak). Penyebaran influenza boleh mendatangkan kesan ke atas kesihatan mereka kerana dalam satu rumah mungkin terdapat beberapa individu rentan yang boleh mendapat jangkitan teruk, perlu dihantar ke hospital, dan boleh meninggal dunia akibat influenza.

Contoh kumpulan yang berisiko tinggi:

  • Kanak-kanak bawah 5 tahun (terutamanya bawah 2 tahun)
  • Warga tua berumur 65 tahun ke atas
  • Individu dengan penyakit kronik (cth. lelah, penyakit paru-paru kronik, sistem imun lemah)

Influenza boleh menyebabkan komplikasi serius pada kumpulan rentan ini. Contohnya, warga emas mungkin mendapat komplikasi seperti pneumonia, jangkitan telinga,  serta keradangan jantung atau otak. Oleh itu, adalah penting bagi mana-mana keluarga untuk mengambil langkah berhati-hati apabila terdapat kes influenza dalam keluarga, bagi mencegah virus itu daripada tersebar dan mengancam nyawa orang tersayang.

Tip untuk mencegah penyebaran influenza dalam rumah

Berikut beberapa tip untuk mengurangkan penyebaran influenza apabila ada ahli keluarga yang dijangkiti:

  • Amalkan adab pernafasan. Pastikan anda menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, terutamanya jika dijangkiti influenza. Anda boleh menggunakan bahagian dalam siku, tisu, sapu tangan, atau pelitup muka. Pelitup muka dan tisu yang telah digunakan harus dibuang dengan betul.
  • Amalkan kebersihan tangan. Tak kira sama ada anda dijangkiti atau tidak, anda perlu kerap membasuh tangan dengan sabun, terutamanya selepas batuk, bersin, atau sebelum menyentuh muka anda. Anda juga boleh menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol. 
  • Asingkan individu yang dijangkiti. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan “Bilik Kuarantin” yang akan mengurangkan percampuran antara ahli keluarga yang sihat dengan yang dijangkiti. 
  • Lap permukaan dengan kerap. Pastikan permukaan yang sering disentuh selalu dibasuh, dinyahjangkit dan dicuci. Contohnya, suis lampu, permukaan bilik air, tombol pintu, dll. Ini penting kerana virus influenza boleh bertahan sehingga 48 jam di permukaan ini. 
  • Elakkan daripada berkongsi perkakas dapur. Jangan berkongsi sudu, garpu, pinggan dan peralatan dapur lain dengan orang yang dijangkiti.
Mencegah sebelum merawat

Salah satu langkah pencegahan terbaik untuk melindungi diri daripada influenza ialah vaksinasi. Ahli keluarga disarankan untuk mendapatkan suntikan influenza setiap tahun, terutamanya bagi yang dikira berisiko tinggi (cth. kanak-kanak kecil, orang tua, atau yang menghidap penyakit kronik). Di Malaysia, suntikan influenza boleh diberi seawal umur 6 bulan.

Kesimpulannya, amat penting bagi setiap keluarga untuk menyedari betapa bahayanya jangkitan influenza dalam rumah. Ambil langkah kawalan yang betul apabila seseorang dijangkiti dan terapkan amalan pencegahan jangkitan sejak awal bagi melindungi kesejahteraan setiap ahli keluarga di rumah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.