Sesetengah kanak-kanak secara semula jadinya lebih sensitif daripada yang lain – mereka meragam, mudah menangis dan kecewa apabila kemahuan mereka tidak dipenuhi. Jika anda mempunyai anak yang beremosi, berempati atau sentiasa gelisah, adakah ini perkara yang patut dirisaukan sebagai ibu bapa? Adakah ini akan menyukarkan anda untuk mendisiplinkan mereka?
Siapakah kanak-kanak sensitif?
Walaupun menangis ialah hal yang biasa bagi kebanyakan kanak-kanak, kanak-kanak yang emosinya sensitif lebih mudah tertekan. Mereka sering menangis, kerap risau akan terlibat dengan masalah, sentiasa perlu dipujuk dan biasanya sukar menerima perubahan. Sensitiviti dalam kalangan kanak-kanak bukanlah sifat yang buruk; malah, ramai kanak-kanak sensitif yang amat baik hati. Namun begitu, kerana mereka merasakan setiap emosi dengan lebih kuat berbanding kanak-kanak biasa, mereka boleh menjadi terlebih teruja, sangat takut atau amat marah.
Terdapat beberapa petanda yang dapat membantu anda mengenal pasti jika anak anda adalah seorang kanak-kanak yang amat sensitif. Contohnya, jika anak anda tidak menyukai kejutan, atau jika mereka tidak selesa walaupun dengan sedikit perubahan, mereka mungkin seorang yang sensitif. Anda juga mungkin menyedari yang mereka hanya dapat lakukan yang terbaik jika tiada orang tidak dikenali bersama mereka kerana mereka biasanya sangat pemalu. Kadangkala, mereka mudah terasa hati, tak dapat menerima kritikan, memberikan reaksi berlebihan dalam sesetengah situasi baru dan asyik merungut apabila terdapat perubahan dalam rutin mereka.
Apa anda boleh lakukan?
Sebagai ibu bapa, anda boleh membantu mewujudkan persekitaran kondusif untuk anak anda dan mengajar mereka strategi daya tindak (coping strategies) untuk memudahkan mereka meneroka dunia di sekeliling. Jika boleh, elakkan menggunakan label untuk menggambarkan mereka – contohnya, jangan mengatakan sesuatu seperti “Aliya terlalu sensitif,” “Chee Kian sangat pemalu,” atau “Rayna terlalu senyap” – walaupun ketika bercakap tentang mereka dalam kalangan kawan-kawan atau keluarga sendiri.
Sebaliknya, sentiasa fokus pada sifat positif yang ada dalam diri individu sensitif. Kanak-kanak dengan sensitiviti yang tinggi atau sensitiviti pemprosesan deria boleh mempunyai banyak sifat positif seperti sifat empati, intuisi, berfikir secara mendalam, kreativiti, muhasabah diri dan ketelitian. Dengan bimbingan yang betul, kasih sayang dan sokongan, anda boleh memupuk sifat-sifat yang bagus ini dalam diri anak anda.
Sentiasa hormati perasaan mereka dan berikan mereka ruang dan masa yang cukup untuk memproses perasaan mereka. Jangan menidakkan atau meremehkan perasaan mereka dengan berkata seperti “Janganlah sensitif sangat!” Berikan masa bertenang yang cukup, tetapkan batasan yang sesuai dan cadangkan tindakan lain jika perlu.
Perlu juga diingatkan bahawa semua orang mempunyai kekuatan dan kelemahan mereka sendiri. Individu yang sangat sensitif mungkin mempunyai sifat-sifat positif tertentu, namun sensitiviti juga mendatangkan beberapa cabaran yang perlu dihadapi bersama oleh kanak-kanak tersebut dan ibu bapa mereka. Yang bagusnya, jika strategi positif boleh dilaksanakan, kanak-kanak ini dapat memanfaatkan sensitiviti mereka untuk maju ke hadapan. Jika perlu, anda amat digalakkan untuk mendapatkan bantuan pakar supaya boleh berhubung dengan lebih baik dengan anak anda. Akhir sekali, anda harus sentiasa bersikap positif dan memanfaatkan semua sumber dalam perjalanan untuk membimbing anak anda menjadi seorang dewasa yang sihat, gembira dan sejahtera pada masa hadapan!