Pengasuhan Positif

Adakah Ini Emosi Biasa atau Gangguan Emosi?

Anak anda sedang melalui proses akil baligh dan anda menyedari yang dia kerap muram, memberi reaksi berlebihan atau berkelakuan berbeza daripada biasa. Adakah ini hanya emosi biasa kerana baligh atau sebenarnya tanda-tanda gangguan emosi?

Kesedihan dan beremosi ialah pengalaman normal dalam kalangan remaja. Namun, apabila perasaan-perasaan ini menjadi melampau, berpanjangan, muncul sendiri tanpa faktor luaran dan mengganggu fungsi normal, tindak balas emosi ini boleh dianggap sebagai gangguan emosi.

Ketika baligh, sesetengah tingkah laku (cth. beremosi, tindakan melulu) sering dilihat dalam kalangan remaja kerana amigdala mereka, iaitu bahagian otak yang terlibat dalam tindak balas emosi, berkembang lebih awal berbanding korteks prefrontal, bahagian otak yang terlibat dalam pemikiran rasional dan penyekatan tingkah laku. Namun, mungkin sukar untuk ibu bapa membezakan antara emosi biasa yang dialami oleh kebanyakan remaja dan gangguan emosi yang terpendam, seperti kemurungan atau gangguan bipolar, memandangkan tanda-tandanya mungkin kelihatan serupa.

Emosi biasa atau gangguan emosi?

Gangguan emosi ialah satu masalah kesihatan mental yang mengganggu keadaan emosi seseorang. Seseorang dengan gangguan emosi boleh mengalami perasaan seperti gembira, sedih, marah atau jengkel secara melampau atau berterusan. Gejala ini perlu dialami selama beberapa minggu atau lebih lama untuk dikira sebagai gangguan emosi. Ia juga boleh mempengaruhi rutin harian, hubungan dan prestasi seseorang di sekolah atau tempat kerja.

Antara contoh gangguan emosi adalah:

  • Kemurungan (cth. gangguan kemurungan berterusan, gangguan afektif bermusim)
  • Gangguan bipolar (cth. bipolar I & II, gangguan siklotimia)
  • Gangguan disforik prahaid (premenstrual dysphoric disorder, PMDD)
  • Gangguan disregulasi mood yang mengganggu (disruptive mood dysregulation disorder, DMDD)

Terdapat tiga faktor utama bagi membezakan emosi yang normal dengan gangguan emosi.

Tahap keterukan

Jika gejalanya lebih ketara dan teruk, masalah yang dialami mungkin gangguan emosi dan bukan sekadar emosi biasa. Antara gejalanya termasuklah perubahan mood, tingkah laku seperti tidur atau makan lebih daripada biasa, menjauhkan diri daripada keluarga dan kawan, rasa tiada harapan atau kesunyian, dll.

  • Normal: Tidur lambat ketika hujung minggu dan rasa penat pada pagi hari sekolah
  • Membimbangkan: Tidur sepanjang masa dan enggan bangun dari katil

Tempoh

Mana-mana gejala yang berterusan selama dua minggu atau lebih mungkin menandakan gangguan emosi. Dalam sesetengah gangguan emosi, gejala mungkin muncul secara tidak tetap, tapi pada kebanyakan masa dalam tempoh setahun.

  • Normal: Perubahan mood yang nampak berlebihan berbanding puncanya (daripada sudut pandang seorang dewasa)
  • Membimbangkan: Mood negatif atau keresahan yang berpanjangan selama beberapa minggu

Domain

Mana-mana gejala yang mempengaruhi beberapa domain/aspek dalam kehidupan remaja, seperti di rumah, di sekolah dan dengan kawan-kawan, mungkin menandakan gangguan emosi, berbanding mood tidak baik yang berkaitan dengan satu situasi tertentu.

  • Normal: Enggan berinteraksi dengan keluarga kerana merajuk
  • Membimbangkan: Mengelak daripada berinteraksi dengan keluarga dan kawan, prestasi di sekolah menurun dan gejala-gejala lain

Sesetengah remaja lebih berisiko tinggi untuk mengalami gangguan emosi, contohnya remaja yang mempunyai masalah keyakinan diri atau masalah pembelajaran, mangsa penderaan fizikal/seksual, remaja dengan sejarah masalah kesihatan mental dalam keluarga, remaja yang baru mengalami kejadian trauma, dll. Jika anda mengesyaki anak remaja anda mengalami gangguan emosi, sila rujuk pakar kesihatan dan sentiasa berikan sokongan kepadanya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.