Pengasuhan Positif

Memupuk Strategi Daya Tindak Sihat Dalam Anak Anda

Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan asas terbaik bagi masa depan anak kita. Strategi daya tindak (coping strategies) adalah antara tunjang utama bagi asas ini dan boleh mengajar kemahiran yang diperlukannya untuk menangani cabaran hidup.

Apa itu strategi daya tindak?

Strategi daya tindak ialah beberapa cara atau teknik mental dan kelakuan untuk menguruskan tindak balas kepada tekanan, masalah atau rasa tidak selesa. Tindak balas ini bukan saja secara emosi, tapi boleh jadi secara fisiologi, kognitif dan kelakuan. Oleh itu, daya tindak bukan sekadar pengurusan emosi, tapi juga kemahiran pemikiran dan tingkah laku adaptif.

Kenapa strategi daya tindak penting bagi kanak-kanak?

Hidup jadi makin rumit apabila kita membesar. Kanak-kanak memerlukan mekanisme daya tindak yang sihat apabila masuk ke alam dewasa, agar mereka boleh bertahan lebih baik ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup. Ini lebih penting sejak beberapa tahun kebelakangan kerana terdapat laporan peningkatan masalah psikologi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia. Kajian menunjukkan daya tindak yang lemah terhadap pengalaman sukar pada zaman kanak-kanak mungkin menyebabkan risiko lebih tinggi mendapat masalah psikologi semasa remaja atau dewasa.

Strategi daya tindak sihat vs tidak sihat

Terdapat pelbagai strategi daya tindak yang kita gunakan untuk menangani masalah dan tekanan, dan ada cara yang lebih sihat berbanding yang lain. Ya, daya tindak juga boleh jadi tidak sihat!

Strategi Daya Tindak Tidak Sihat

Tindakan yang diambil untuk menangani masalah, tapi mengekalkan kebimbangan dan boleh menyebabkan masalah psikologi (dan kadangkala fizikal). Dalam sesetengah kes, ini boleh memberikan kelegaan pantas tapi sementara daripada tekanan, dan boleh jadi bahaya dalam jangka panjang. Strategi daya tindak ini biasanya berfokuskan emosi.

Contoh strategi daya tindak tidak sihat:

  • Merenung atau berfikir berpanjangan tentang emosi negatif mungkin dilihat seperti satu cara penyelesaian, tapi dilakukan berulang-ulang tanpa henti hingga membuatkan diri letih secara mental dan fizikal sampai kemurungan.
  • Ekspresi emosi yang meledak seperti bertempik atau memukul bantal. Emosi yang makin meningkat berlawanan dengan daya tindak yang tenang. Ia juga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Strategi Daya Tindak Sihat

Tindakan yang diambil untuk mengawal emosi bagi menggalakkan hasil yang berfaedah seperti menyelesaikan masalah. Ini biasanya strategi daya tindak berfokuskan masalah dengan cara mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian secara aktif. Dalam sesetengah kes, strategi daya tindak ini mungkin tidak memberikan kelegaan pantas daripada tekanan, tapi dalam jangka panjang, akan berhasil untuk mengurangkan tekanan dan keresahan.

Strategi daya tindak sihat membolehkan kanak-kanak menerima emosi mereka dan belajar bahawa penyelesaian masalah secara aktif boleh mengurangkan kebimbangan dengan lebih berkesan berbanding sekadar menumpukan pada emosi mereka. Namun, sesetengah daya tindak berfokuskan emosi juga boleh membantu dalam jangka pendek. Ini termasuklah dengan latihan mengalihkan perhatian seperti bertenang, berhibur, bersenam dan melibatkan diri dengan hobi. Tuntasnya, strategi berfokuskan masalah lebih berkesan.

Tip memupuk strategi daya tindak sihat dalam anak anda

  • Bermula awal. Mengajar anak anda untuk menangani masalah menggunakan strategi daya tindak sihat sejak awal boleh mengurangkan kemungkinannya menghadapi masalah menguruskan emosi, kelakuan dan fikiran apabila lebih tua.
  • Ajar anak anda mengenal pasti emosi. Kanak-kanak yang mengenali emosi lebih pandai mengawalnya. Bantu anak anda memahami bagaimana emosinya muncul dan bagaimana ia boleh diubah. Apabila dia makin faham dengan sebab dan punca emosinya, dia akan lebih pandai mengawal emosinya. Kanak-kanak yang boleh menyatakan apa yang mereka rasa lebih mudah mendapat bantuan menyelesaikan masalah.
  •  Tunjukkan contoh yang baik. Kenal pasti strategi daya tindak anda sendiri. Strategi yang anda guna boleh mempengaruhi strategi daya tindak anak anda. Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk menjadi teladan dan mengamalkan strategi daya tindak sihat di depan anak anda. Anda juga boleh menunjukkan emosi negatif kerana ia semulajadi dan anak anda juga akan mengalaminya. Membiasakan diri dengan emosi akan sangat membantu anak anda memahami cara mengatur emosi.
  • Tumpukan pada perkembangan, bukan hukuman. Bina suasana di rumah yang menggalakkan dan memudahkan perkembangan strategi daya tindak sihat, bukannya menghukum daya tindak tidak sihat. Ini boleh dilakukan dengan memperakui perasaan anak anda, bekerjasama dengannya untuk menyelesaikan masalah dan memujinya apabila bijak bertindak.
  • Sedar dengan strategi daya tindak tidak sihat. Jika anda perasan anak anda menunjukkan strategi daya tindak tidak sihat (cth. mengelakkan diri, menafikan, menyalahkan diri), lebih baik anda campur tangan dan melatihnya agar dia menggunakan kaedah yang lebih berkesan.

 Ingatlah, daya tindak atau coping bukan sekadar mengawal emosi. Ia juga cara kita berfikir dan berkelakuan. Dengan membantu anak anda menghubungkan pemikiran dan kepercayaannya dengan kelakuan dan emosinya, anda boleh memberikannya rasa penguasaan ke atas diri sendiri semasa membesar. Kemahiran menyelesaikan masalah membentuk strategi daya tindak yang berkesan yang penting dalam hidup. Memupuk strategi daya tindak sihat dalam kanak-kanak sejak awal bukan saja mengurangkan risiko masalah psikologi apabila dewasa, tapi juga menggalakkan mereka agar berdaya tahan.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen