Pengasuhan Positif

Membesarkan Remaja Celik Kewangan

Pengajaran aspek kewangan kendiri yang awal penting untuk menyediakan anak anda dengan kemahiran pengurusan wang yang baik sebelum memasuki alam dewasa. Titik permulaan pengajaran adalah apabila anda memberi wang saku atau elaun untuk anak anda. Apabila mencapai usia remaja, lebih banyak aspek pendidikan kewangan yang perlu anak anda pelajari.

Berikut beberapa langkah untuk mendidik remaja celik kewangan:

Belanjawan

  • Mulakan dengan elaun tetap. Mempunyai pendapatan tetap membolehkan anak remaja anda lebih memahami tabiat kewangannya dan lebih sedar tentang perbelanjaan dan had belanjawannya. Ini akan membantu anak remaja anda menguruskan gaji apabila mula bekerja.
  • Memahami “keperluan” vs “kemahuan”. Ajar cara untuk membezakan kedua-dua jenis perbelanjaan. Contohnya, laptop yang sesuai untuk melakukan projek sekolah ialah satu keperluan, tapi komputer dengan ciri permainan video terbaru ialah satu kemahuan.
  • Rancang dan catat perbelanjaan. Tunjukkan cara untuk menyimpan rekod semua wang yang dia terima dan guna setiap hari. Cadangkan cara yang mudah dan sesuai untuk mencatat semua perbelanjaannya, contohnya melalui aplikasi atau perisian. Ia mungkin sukar pada mulanya, tapi lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.
  • Bincangkan hal kewangan secara terbuka. Benarkan anak remaja anda menyertai perbincangan keluarga tentang kewangan. Jelaskan sebab di sebalik keputusan kewangan anda. Dengan ini, anak remaja anda juga boleh mengamalkannya dalam hidup.

Simpanan

  • Buka akaun. Bantu anak remaja anda membuka akaun bank atau simpanan jika masih belum ada. Memiliki akaun bank sendiri akan membuatkannya rasa berdikari dan bertanggungjawab ke atas kewangannya. Pastikan jika ada had umur sebelum membuka akaun untuk anak anda.
  • Fokus pada simpanan, bukan perbelanjaan. Jangan fokus pada sasaran dan pencapaian kebendaan seperti rumah, kereta dan peranti semata-mata, tapi kongsikan sasaran simpanan anda dan strategi pengurusan kewangan dengan anak remaja anda.
  • Jadikan satu tabiat. Bantu anak remaja anda menyimpan dengan tetap. Ada banyak kaedah yang boleh dicuba untuk menyimpan wang. Contohnya, satu cara popular adalah dengan menabung setiap duit kertas RM5 (atau nilai lain) yang diterima.

Perlindungan

  • Awas dengan penipuan. Ajar anak remaja anda untuk mengesan cubaan penipuan dan beri amaran tentang taktik yang digunakan penipu. Pastikan dia memaklumkan anda secepat mungkin jika dia mengesyaki apa-apa yang meragukan.
  • Lindungi peranti daripada digodam. Pastikan komputer, tablet dan telefon pintar dilindungi daripada virus dan perisian hasad (malware). Dia perlu menggunakan kata laluan yang kuat untuk melindungi akaunnya dan memastikan peranti sentiasa dikemaskini.
  • Berhati-hati dengan pencuri identiti. Nasihat anak remaja anda agar berhati-hati apabila berkongsi/memberi butiran peribadi. Jangan kongsi maklumat sensitif (cth. MyKad, pasport, akaun bank) dalam talian atau dengan mana-mana pihak ketiga yang tidak dikenali.

Ini sekadar beberapa tip asas untuk mendidik anak remaja anda. Apabila dia bersedia, anda juga boleh mengajar aspek-aspek lain berkaitan pendidikan kewangan, seperti insuran, pinjaman, kad kredit, pelaburan dan cukai. Dengan kemahiran dan pengetahuan ini, anak remaja anda pasti bersedia untuk berhadapan dengan “dunia sebenar” kelak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen